Interpretasi dunia melalui pancaindera

11/10/2017 | miza

Temuramah: Miza         Foto: Mohd Nadly Aizat Bin Mohd Nudri

 

Nadly Aizat - Profile Picture

 

Boleh perkenalkan serba sedikit mengenai diri saudara?
Nama saya ialah Mohd Nadly Aizat Bin Mohd Nudri. Saya berasal dari Taiping, Perak dan baharu sahaja pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian peringkat ijazah di New Zealand dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi nano selama 4 tahun.

Nadly Aizat - Lupines Tekapo
Lupines Tekapo

 

Sejak bila saudara melibatkan diri dalam bidang fotografi?
Minat saya terhadap fotografi bermula semasa saya memulakan pengajian di New Zealand pada tahun 2009. New Zealand merupakan negara yang cantik dan mempunyai pemandangan yang indah. Saya merasakan bahawa sekiranya gambar pemandangan indah diambil hanya sekadar dalam bentuk “snapshot” sahaja, maka keindahan itu tidak dapat diabadikan dan akan hanya tinggal sebagai sekeping gambar yang menjadi bukti bahawa saya pernah berada di New Zealand. Bermula dari situ, saya bertekad untuk mempelajari selok-belok fotografi dengan baik dan juga sebagai hobi masa lapang saya di luar waktu kuliah.

Nadly Aizat - Whangarei Falls
Whangarei Falls

Ada sesiapakah yang memberi inspirasi kepada saudara?
Orang yang mula-mula sekali memberikan dorongan kepada saya dalam bidang fotografi ini ialah rakan serumah saya di New Zealand iaitu saudara Lutfi Sheikh Ghazali. Beliau telah banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya tentang asas-asas fotografi ketika itu. Saya juga telah banyak mengkaji hasil karya jurugambar-jurugambar terkenal antarabangsa seperti Ansel Adams, Mike Langford, Trey Ratcliff dan ramai lagi.

Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengenai hasil karya saudara ini?
Gambar – gambar ini merupakan antara yang terbaik dari koleksi landskap saya di New Zealand. Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, New Zealand merupakan negara yang mempunyai landskap antara yang terindah di dunia. Oleh demikian, saya telah memperuntukkan masa sepanjang cuti semester dan cuti musim panas saya dalam tahun terakhir pengajian untuk menjelajah hampir di seluruh bahagian di negara ini, dengan tujuan untuk merakamkan keindahan pemandangan yang ada dengan lensa dan kamera. Kebiasaannya saya mengembara secara solo dengan pelbagai cara seperti menaiki bas, menunggang basikal dan berjalan kaki mengembara ke bahagian–bahagian terpencil negara ini.

Saya berminat dengan genre landskap ini kerana sebagai seorang jurufoto dan pengembara, saya dapat merasakan kepuasan menjelajah ke tempat-tempat yang mempunyai pemandangan yang cukup indah dan yang lebih penting, saya dapat menikmati pemandangan tersebut pada waktu dan ketika ia kelihatan cukup cantik sekali iaitu pada waktu awal pagi dan lewat petang (magic hour). Keduanya, apabila pemandangan ini dirakam dalam bentuk sekeping gambar, ia menggamit kenangan dan memori sehinggakan saya menanam tekad untuk kembali semula ke tempat tersebut pada masa hadapan.

Reflection of the mountains on the lagoon at Glenorchy, New Zealand.
Glenorchy

Satu lagi bentuk kepuasan yang menyebabkan saya berminat dengan genre landskap ini ialah gambar-gambar yang diambil berupaya untuk menyampaikan mesej kepada sesiapa yang melihatnya, bahawa sememangnya ada lagi tempat di atas muka bumi ini yang cantik dan indah serta tidak terusik oleh pembangunan.
Apakah maksud fotografi kepada saudara?
Fotografi ialah suatu cara untuk saya mengekspresikan pendapat dan perasaan saya terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Ia membolehkan saya untuk menunjukkan kepada orang lain tentang cara saya menginterpretasikan dunia melalui pancaindera yang ada. Di dalam konteks fotografi landskap, saya cuba untuk merakamkan kehebatan alam ciptaan Tuhan yang berada di sekeliling kita dan kemudiannya berkongsi dengan orang lain dengan harapan supaya kita yang merupakan hamba ciptaan-Nya mengingati Tuhan dan sedar mengapa kita diciptakan di atas muka bumi ini.

Selain itu, fotografi juga memberikan saya peluang untuk keluar dari hiruk-pikuk kesibukan tugasan dan tekanan yang ada, dan ia membolehkan saya untuk melakukan sesuatu yang kreatif dan produktif supaya saya merasa gembira dan puas.

 

Nadly Aizat - Lake Brunner

 

www.nadlyaizat.com
www.facebook.com/nadlyaizat
www.flickr.com/photos/nadlyaizat

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/ Sept 2013)

fg14-cover_new-updated