“Buntu”

07/10/2017 | miza

Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

 

3

 

Idea kebiasaannya muncul tanpa diundang, mungkin ketika anda sedang asyik menonton televisyen ataupun ketika mengetatkan tali keselamatan pada pinggang anda sebelum memulakan terjunan bungee. Seolah-olah lagi kita mahu ajak, lagi ia tidak mahu datang. Mungkin idea ini mempunyai persona yang pesimistik, sedikit introvert dan mungkin pemalu?

Komplikasi ketandusan idea semestinya memberikan impak yang signifikan kepada para pengkarya yang sentiasa dahagakan buah fikiran yang baru dan bernas. Keadaan ini sangatlah kritikal jika ianya berterusan kerana tanpa idea-idea yang segar yang mampu ditampilkan, tidak akan ada dasar untuk mengeluarkan hasil karya yang baharu.

“Ah, aku betul-betul buntu ini,” keluh manusia A. Kerut di dahi jelas kelihatan, dia begitu tertekan dengan ketidakperimanusiaan otaknya yang menolak untuk bekerja lebih masa untuk menghasilkan idea yang unik.

 

4

 

Lagi tertekan seseorang untuk mengatasi masalah buntu ini, lagi padat dan sempit jalan penyelesaiannya. Tambah lagi apabila seseorang itu hanya bertemankan empat sudut dinding biliknya dan lampu yang agak samar-samar. Beginilah, seseorang tidak sama sekali perlu bertungkus-lumus melatih otaknya untuk ligat bergerak supaya mampu mencerna idea yang bernas kerana pembentukan idea biasanya berlaku secara semulajadi.
Apabila pemikiran berada di dalam kotak kebuntuan, jadikan ia sebagai, mungkin salah satu cara otak untuk berehat seketika. Jangan terlampau serabut untuk memaksa otak bekerja, namun, cuba untuk memberikannya lebih banyak rangsangan sama ada dari segi sensori ataupun memori. Walhal Thomas Edison pun memerlukan sebiji epal untuk jatuh mengenai kepalanya untuk dia mengasaskan formula mengenai graviti.

Jadi, apa jenis bahan rangsangan yang membolehkan idea itu terjadi? Keluar dari konteks pejabat, keluar daripada bangunan lima tingkat anda, hirup udara yang lebih segar. Rancang perjalanan bersama-sama rakan ke destinasi yang baru. Cuba keluar dari kepompong rutin yang selalu anda jalani. Rasai makanan dari negara yang tidak pernah anda tahu kewujudannya, cari hobi baru yang anda ingin selalu cuba tetapi terlampau takut untuk mencuba.
Apapun, cuba untuk mencuba. Cuba untuk mencuba supaya anda lebih selesa untuk keluar daripada kotak yang memampatkan idea-idea anda ke dalam ruang yang sempit. Cuba sesuatu yang baharu supaya otak anda terangsang dan mampu mencerna idea yang baharu. Cuba untuk cuba keluar daripada kebuntuan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 31 (Jun/ Julai 2016)

FG31 Cover