Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Kelainan adalah suatu yang sangat dicari-cari oleh ramai pengamal dan penggiat seni fotografi tanahair. Kelainan memang berupaya untuk mendatangkan atau menghasilkan sesuatu impak yang kuat dalam membuka perspektif minda agar terus terangsang dan menjana lebih ilham dan kapasiti intelektual. Dalam pada masa yang sama kelainan juga dapat menyumbang kepada satu kepudaran secara halus dan perlahan-lahan sekiranya dititip dengan kerangka dan corak pembawakan yang salah. Falsafah kehidupan dan seni adalah selari dengan pembangunan peribadi seseorang pengkarya. Di sinilah ramai yang tidak sedar kerana masih lagi juah dengan deretan intipati kosong yang disajikan. Ruang dalam dan norma diri seseorang pengkarya itu adalah apa-apa yang disajikannya dalam setiap persembahan imejan dan visualnya. Wujud satu pertautan antara idea serta naratif cerita dan intipati dalaman seseorang pengkarya tersebut. Daripada sinilah kematangan dan ketelitian dalam berkarya akan terbentuk.
Kelainan umpama suatu formula kimia baru yang apabila diresepikan dengan betul akan menghasilkan satu bentuk campuran foto yang dapat membangkitkan satu keinginan yang sangat tinggi untuk kita merasai akan kelazatan hidangan fotografi tersebut. Seorang pensyarah seni yang juga seorang artis terkenal tanahair pernah memberitahu kepada saya bahawa di dalam suatu ruang pameran seni, kelainan inilah yang kita kenali sebagai wow factor. Apabila bingkai gambar telah siap digantung untuk dipamerkan, ia terus sahaja dapat memberi satu perasaan yang berbeza kepada sang pemerhati tatkala mereka memerhatikan karya-karya tersebut. Bentuk dan fungsi sesuatu karya yang jitu tidak pernah luput ditelan zaman. Sentuhan-sentuhan yang berkualiti akan memacu satu corak komposisi yang baik dan menjadikan sesuatu karya itu suatu objek seni yang signifikan dalam memberi kefahaman dan mendidik masyarakat melalui pengimejan.

Di negara kita Malaysia yang tercinta ramai yang ingin kelihatan berbeza atau lain daripada yang lain. Masing-masing mengungguli carta kelainan yang dibawa dan direncana secara berbeza-beza atau terikut-ikut dengan pergerakan semasa aliran seni fotografi di Malaysia. Masing-masing telah berjaya kini. Buktinya, laman sosial mereka sentiasa menjadi pujaan hangat hati-hati pencinta seni visual dan aliran fotografi yang mahukan satu bentuk kelainan dalam menjelajahi karya-karya tempatan, karya-karya anak tempatan. Hanya anak tempatan yang sepatutnya layak dalam memaparkan rencah sosio-budaya dalam perspektif acuan tempatan yang mudah difahami dan dicerna olah masyarakat.
Tidak cukup dengan kejayaan masing-masing dalam menerajui satu trend terkini atau gaya pembaharuan aliran fotografi tanahair, golongan ini juga telah menjadi ‘alim-ulama’, guru penasihat, kaunseling dan pakar dalam segala macam bidang. Memang menarik untuk kita terus melewati daerah-daerah mereka yang tidak ada sempadan dan penghujungnya itu. Persoalan yang sering hadir di kotak minda saya apabila berurusan dengan perkara seperti ini ialah “Sampai bilakah?” Sampai bila kita mahu memacu satu sindiran visual yang sebenarnya akan dipulangkan semula kepada kita, kepada muka kita? Kita sepatutnya terus berjuang untuk mengangkat nilai-nilai artistik dan humanistik dalam aliran seni fotografi kita, inilah sebenarnya tanggungjawab sosial kita. Setiap karya yang baik pasti ada kupasan yang menarik disebaliknya.
Satu hari sewaktu sedang bersarapan di pinggir Lorong Haji Taib 2, saya leka memerhatikan gelagat manusia dua alam yang sedang mencari pelanggan untuk perkhidmatan seks luar tabii. Bergelumang di kotak fikiran tentang aliran mereka, mengenai apa-apa yang mereka dan pelanggan mereka cari selain dari kepuasan seks. Tiba – tiba satu suara pertengahan umur menegur saya lantas berkata, “ Mereka tu lain dik , mereka mahu kelainan dalam diri mereka , dalam jiwa mereka …”.
Kelainan untuk jiwa mereka? Adakah kelainan itu satu wadah untuk pengisian jiwa? Jiwa mana yang mahu mereka isi? Kelainan bagaimana yang mahu mereka panji-panjikan? Persoalan itu terus bermain di ruang legar kepala saya. Di negara kita, semuanya mahu mencari kelainan. Persoalannya, bagaimanakah kelainan itu dapat membezakan kita dengan yang lain? Adakah satu bentuk kelainan yang negatif atau satu bentuk kelainan yang positif? Di sinilah ramai yang telah tersilap memilih pembawakan fotografi mereka.

Ramai yang telah terjerat dalam permainan sendiri. Ramai yang telah memasang suis bom jangka lantas disimpan di dalam kocek sendiri. Mencari kelainan namun malang apabila ketidaktentuan yang hadir dalam berkarya. Inginkan sesuatu yang berlainan dengan menyimpang-siurkan corak perakaman imej dengan ekperimentasi pelbagai hala hingga menyalakan api-api kekalutan dalam jalur persembahan mereka. Ramai juga yang bangkit daripada kegagalan. Paling menyedihkan apabila yang telah gagal sama sekali masih terus menakhoda aliran seni pseudo-fotografi di tanahair kita Malaysia yang tercinta ini. Kita harus ingat bahawa ranting yang telah mati tak akan terus kekal di batang pokok andai tanah, benih dan baja tidak diganti.
Kita harus bangun. Bangun untuk terus meletakkan aliran seni fotografi tanahair kita di tempat yang sepatutnya. Malulah kita pada pejuang-pejuang terdahulu seperti Allahyarham Ismail Hashim(1940 – 2013) yang telah banyak berjasa dalam menjulang dan mengangkat martabat aliran seni fotografi di tanahair kita Malaysia yang tercinta. Melaluinya beliau mendidik masyarakat dalam satu lingkungan seni yang sangat puitis, asli dan tulus dalam maksud penyampaiannya. Sentiasa hadir segar dengan sindiran-sindiran halus dan tajam dalam mengupas makna sebenar erti kehidupan. Aspirasi seni dan estetika yang beliau bawa dalam setiap karya beliau adalah sangat tinggi nilainya.
Imaginasi yang kreatif adalah sangat genting dalam melahirkan karya-karya yang penuh dengan kesinambungan efektif pada skala perkembangan sosio-intelektualiti masyarakat. Nilai-nilai kreativiti yang tinggi dapat membangkitkan keghairahan imaginasi seorang pencinta seni. Peranan paling jelas sesebuah imejan fotografi adalah melalui ekspresi seninya dan bukannya status luarbiasa di laman sosial untuk menguatkan bingkai imejan yang telah hancur selepas diacuankan oleh nilai peribadi seseorang pengendali kamera yang memualkan. Butiran-butiran halus dari perspektif yang berbeza tentang sesuatu subjek yang sebenarnya biasa pada pandangan mata adalah contoh satu tahap kreativiti yang mampan. Pemartabatan isi, makna dan kandungan karya pasti akan menjadi satu sumber inspirasi yang berguna untuk semua pihak. Motif sesebuah karya adalah penting dan motif bukanlah sesuatu nilai sampingan pada sesebuah karya sebaliknya motif adalah apa-apa yang memandu kita dalam sesuatu manifestasi dan intipati yang sangat relevan dalam setiap naratif kita.
Teruslah kita mencari kelainan dalam setiap juzuk karya kita. Kita nobatkan satu bentuk karya yang relevan kepada peradaban semasa atau kontemporari yang ada kini. Satupadukan gagasan teknikal dan estetik yang ada pada diri kita selama ini. Sama-samalah kita bantu akan perkembangan dan aliran pemikiran yang berguna melalui karya-karya fotografi kita. Kitalah yang memberi nafas dan wajah kepada setiap karya kita. Noktah.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/ Mac 2015)
