Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

Warna, satu elemen penting dalam kehidupan seharian, cahaya memasuki ruang mata dan memenuhi aliran penglihatan. Warna dapat mempengaruhi satu-satu perkara dan mengubah perspektif perkara tersebut. Warna acap kali bermain-main di dalam diri seorang pengkarya, kotak fikirannya dipenuhi dengan bayangan karya seterusnya. Apabila hitam bertemu putih, kontra akan tercipta. Warna-warna pastel lembut mewujudkan suasana serba tenang, bak angin sepoi-sepoi yang meniup lembut dedaun di pokok.
Karya yang hebat ialah karya yang dapat bermain dengan emosi penonton; emosi yang dapat dikuasai apabila pengkarya boleh menggunakan eksperimentasi terhadap karya yang ingin diketengahkan. Dengan warna, penonton boleh terpegun dan melahirkan mood dan perasaan yang pelbagai. Hubungan antara penonton dan pengkarya ialah sesuatu yang kritikal yang perlu diperoleh sekiranya ingin mesej tersirat karya tersebut tersebar.
Emosi selalu dikaitkan dengan warna kerana emosi manusia mempunyai banyak cabang-cabang yang berlainan. Begitu juga dengan warna, setiap warna mempunyai bayang yang berbeza, ketepuan warna yang berlainan menjadikannya lebih eksentrik daripada yang lain. Setiap warna harus diteliti dengan baik, sama seperti setiap emosi.
Dengan warna, penimbulan rasa boleh dihidupkan serasi dengan apa-apa yang pengkarya ingin sampaikan.
Mesej sesebuah karya boleh disalah ertikan kerana manusia mempunyai pelbagai ragam sudut pandangan. Di sinilah objektif campuran warna mula bertindak. Prinsip warna perlu dimanipulasi oleh pengkarya supaya hanya pesanan yang ingin disampaikan sahaja dapat disebarkan. Tetapi dengan warna jugalah dapat memberikan pandangan subjektif yang pelbagai dan luas. Hanya mengikut persepsi empunya minda untuk mengertikannya mengikut aliran pemikiran masing-masing.
Ya, warna itu sangatlah subjektif. Warna mempunyai potensi yang luas untuk melilit dirinya di sekeliling kotak fikiran kita dan sedikit sebanyak memberi kesan yang mendalam ke atas diri kita.
Para saintis juga bertungkus-lumus untuk membuktikan warna dapat menguasai corak kehidupan kita tanpa kita sedari. Medium-medium pengkaryaan dapat dinaiktaraf untuk menjadi lebih elok dan bagus apabila seseorang pengkarya itu dapat menambat sesebuah idea yang menghubungkan poin A ke poin B dengan campuran warna yang memberangsangkan di mata audiens dengan jaya sekali melalui karya yang dicipta.

Dengan warna, capaian ekstensif terhadap sesuatu definisi dapat dijalankan. Ini bermaksud sekiranya pengkarya ingin mengulas topik yang ingin disampaikan dengan lebih mendalam dan teliti, warna dapat menjadi medium untuk memberi akses yang lebih mudah daripada pengkarya kepada penonton. Kerana dengan warna, kecelaruan atau kegembiraan dapat dikecapi. Ketiadaan warna tepu menyebabkan sesuatu karya kelihatan pucat lesu dan seolah-olah tidak bermaya dan tidak punya visi yang begitu cerah.
Penerapan warna dalam satu-satu karya dengan berpandukan mesej yang ingin disampaikan semestinya membuahkan hasil yang lebih mantap. Pendekatan yang relevan mengenai warna yang ingin dipilih, dan juga mood yang ingin diketengahkan dapat dijadikan panduan untuk memudahkan penghasilan karya. Sesebuah karya tidak seharusnya mempunyai apa-apa batasan, tidak perlu terlalu mengikut apa-apa panduan kerana akan membantutkan sesi kreativiti pengkarya. Warna yang pelbagai dan potensi percampuran warna yang begitu ekstensif boleh diubahsuai mengikut susur galur sesebuah karya yang ingin dihasilkan. Warna dapat membebaskan pemikiran; supaya menjadi lebih berani dan gah dalam mencuba sesuatu yang lebih berbentuk eksperimental dan tidak klise.
Kesudahannya, warna tidak ada batasan. Samada pengkarya mengambil risiko dan tegar untuk bermain dengan warna-warna yang terang mahupun yang suram, akhirnya warna dapat menjadi sesuatu yang menghubungkan antara mesej karya dan penonton kerana warna ialah medium pengantaraan yang dipenuhi dengan pelbagai perasaan, kegelisahan, kegembiraan mahupun kecelaruan; setiap mesej yang berbeza tetapi masih mempunyai relevansi terhadap pengkarya dan penonton beliau.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 21 (Okt/ Nov 2014)
