Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Dunia dan keakrabannya bersama-sama kebodohan memang tidak dapat dipisahkan, umpama manusia dengan ‘whatsapp’, umpama Obama dengan David Cameron. Dunia mendambakan kebodohan kerana dalam kebodohan itu adanya satu keindahan tentang apa-apa yang perlu kita terima atau tolak. Penolakan dan penerimaan, penafian dan deklarasi, suatu pilihan dan bukannya suatu paksaan. Setiap penolakan itu adalah tanda bahawa kita benci atau tidak akur untuk menerima akan suatu kebodohan itu.
Hari itu saya di satu daerah mimpi, mimpi yang agak meresahkan, mimpi yang agak menjengkelkan, mimpi yang panas dengan sulaman kekalutan yang terus bermain di minda. Adakah mimpi ini akan terus di wayang kulitkan di dunia realiti? Mohon pada alam agar ini tidak berlaku. Namun, alam tetap dengan putarannya, sarat dengan segala isi kebijaksanaan dan kebodohannya hasil segala gerak lakon sang pelakon dan sandiwara semasanya.

Mimpi itu berlaku di suatu negeri yang digelar Negeri Kolam Ria, di dalamnya ada rantaian molekul-molekul air jernih lagi berklorin. Riak-riak air yang sentiasa tenang dan damai pada hari itu telah didatangi sekelompok manusia yang berinstrumenkan gadget-gadget yang dapat mengeluarkan imej-imej di persada dada mereka. Subjek yang terhidang di hadapan mata perakam dan di depan gadget tadi akan terakam dalam bentuk imejan-imejan yang akan terhasil hanya dengan satu butang dedahan. Hanya dengan satu butang dedahan maka semuanya akan terdedah? Segala rahsia akan disingkap? Segala norma dan lingkungan budi akan ditelanjangkan?
Subjek yang saya lihat di dalam mimpi itu ialah seorang anak gadis yang sedia molek untuk turun, terjun masuk ke dalam sebuah kolam di Negeri Kolam Ria. Kutu-kutu air, amoeba dan segala parasit air yang selama ini bebas aman lari bertempiaran untuk memberi laluan kepada makhluk yang suci ini, manusia. Satu makhluk yang suci sedang berada di dalam kolam penuh dengan klorin di Negeri Kolam Ria. Saya menantikan sesuatu yang pasti menarik untuk terus dilarik dalam mimpi saya itu. Segalanya bergantung kepada gerak laku sang pelakon bersama gadget unggul mereka.
Gadget terus diledak, berpusing di segenap penjuru kolam, sang pengendali terus bergulingan dengan mulianya di sekeliling kolam, menanti dalam kerakusan, saya terus memerhati, peluh jantan telah lama mengalir, deras umpama air di bawah terowong Smart, tiba-tiba satu suara kasar menerpa ke telinga saya, “Untuk apa ini semua?. Untuk apa ini semua?” berulang kali kedengaran di pintu telinga.
Ledakan laungan suara tadi terus mematikan perjalanan mimpi saya, dan saya terus kembali sedar di atas meja komputer saya . Teraba-raba mencari makna mimpi Kolam Ria tadi. Telah hampir bertahun-tahun lamanya namun erti dan retorika mimpi tadi masih sukar untuk diertikan. Mungkin saya perlu berjumpa Bomoh Mimpi untuk memberikan tafsiran mimpi saya itu. Antara realiti dan fantasi, saya tersepit di celah-celah pemahaman mimpi.
Setiap penghasilan karya seni dan fotografi tidak terlepas dari intipati utama seni visual iaitu SFC(subject – form – content) atau subjek, bentuk olahan karya dan pengisiannya. Kita harus ingat setiap karya visual akan mendasari dan direndami oleh satu tatapan visual komunikasi dan persepsi mata secara sambil lewa atau secara ilmiah dan akademik bergantung kepada intelektualiti seseorang pemerhati atau penerima. Ini adalah konsep dan teori seni yang pasti akan dilalui oleh setiap hasilan imejan yang terhasil dari lensa–lensa tadi. Proses ini akan terus bergerak sampai bila-bila kerana di sinilah letaknya kesinambungan seni visual itu sebagai satu bidang yang terus dikaji, diajar dan dihayati di setiap peringkat di sekolah, universiti mahupun di kolej-kolej seni foto di ‘University of Facebook’.

Kita yang menggerakkan wadah seni fotografi ini harus terus mengekalkan legasinya sebagai satu wadah yang menunjangi domain-domain kognitif, psikomotor, intelektualiti dan tentulah satu platform komunikasi visual untuk kita berbicara bersama-sama masyarakat melalui pengimejan, gambar-gambar atau karya seni yang kita hasilkan. Pihak atau entiti yang tidak sealiran dengan pembawakan ini umpama golongan perosak seni, seni dipincangkan untuk kepentingan diri sendiri.
Sebenarnya, semua harus bermula dengan pemikiran dan idea. Pemikiran dan idea yang baik akan menjelmakan hasilan karya fotografi yang baik. Pemikiran dan idea yang tidak baik akan menjelmakan hasilan karya fotografi yang tidak baik, berkecamuk dari segi nilai dan falsafahnya, berkecamuk dari segi estetika dan peradabannya. Malangnya kini, dunia dan kitaran modennya telah menjadikan manusia hari ini umpama robot yang lemah daya berfikir. Manusia dicorakkan dengan satu pembawakan yang longgar tanpa perlu banyak berfikir mengenai setiap kesan akhir hasil daripada segala apa-apa yang telah mereka lakukan. Prinsip-prinsip harmoni asas dalam fotografi seperti elemen garisan, rupa, jalinan, nilai dan warna telah kita lupakan. Kita hanya mahu berseronok tanpa sebab sedangkan sikap seperti inilah yang akan menyebabkan kita terhumban ke dalam lautan dan hanyut.
Pengkarya seni foto yang cerdik, pintar dan berintelektualiti tinggi pasti akan hadir dengan satu modul atau hasilan kerja yang penuh dan sarat dengan persoalan kemasyarakatan, kebudayaan, isu-isu semasa dan yang paling penting ialah satu penyampaian ilmu dengan imej visual sebagai simbolismnya. Bagi yang lemah untuk berkarya, mereka akan tampil dengan pembawakan murahan dalam olahan idea, konsep dan gubahan karya tetapi senjata mereka ialah ‘University of Facebook’, doktrin-doktrin dan status murahan hanya untuk memperkuatkan idea ubi kayu mereka. Lebih menyedihkan lagi, dalam dunia yang tiada batasan ini, kebodohan akan terus disokong walaupun tidak akan membuahkan hasil yang baik untuk semua golongan. Hasilnya banyak, namun langsung tidak boleh dituai atau dipetik, apatah lagi ingin dicernakan.
Corak berfikir kita dalam penghasilan karya dan penerimaan sesuatu karya itu harus seakan-akan menjalani suatu bentuk terapi. Suatu terapi yang panjang yang dapat mengembalikan semula kejernihan masyarakat foto kita. Ini adalah tugas semua, tidak kira dalam golongan elit, marhaen, gelandangan atau daripada meja dan kerusi empuk ahli akademik yang berada di menara gading. Dunia berputar dan begitu jugalah akan segala isi makhluknya. Putaran yang harmonis pastinya lama, namun percayalah sandiwara ini pasti ada penamatnya. Daerah ini masih luas, masih banyak lagi daratan ilmu dan seni yang boleh diteroka. Kita tidak hanya mahu menjajah kolam air, kita mahu pergi lebih jauh, jauh ke laut dalam dan bukannya hanya lemas tanpa pelampung di kolam yang kecil.

Seni dan agihannya dalam mendidik masyarakat sebenarnya sangatlah besar. Ini termasuklah seni fotografi dan semua aliran-aliran di bawah payungnya. Malanglah apabila ada di kalangan kita yang menampilkan diri sebagai penggiat seni fotografi, tetapi masih memperlecehkan kejituan dan impaks seni fotografi itu sendiri. Seni untuk membangun masyarakat dan bukannya untuk menjumudkan adab serta daya saing corak pemikiran masyarakat. Harus ada ketelusan di dalam segenap penyampaiannya. Pusat pada penerimaan dan penaakulan hari ini lebih tertumpu kepada penampilan seseorang dan bukan lagi manifestasi serta corak karya mereka. Cuba kita berfikir sejenak, apakah yang akan berlaku dalam 10 tahun yang akan datang andai pembawakan seperti ini terus kita maktubkan dalam kesinambungan aliran seni fotografi di tanahair kita?
Dunia terus berputar dengan rakus dalam menghampiri penghujungnya. Mahukah kita agar seni fotografi kita terus sinonim dengan peradaban dunia yang terus kucar-kacir dalam menuju penghujungnya. Kita jangan lupa bahawa kita hari ini akan jadi satu sejarah dan satu generasi baru akan tumbuh selepas era kita. Andai kata kita hidup semula tentulah kita mahu melihat sesuatu yang lebih baik dari segala kebaikan yang ada pada zaman kita. Menurut Achdiat K. Mihardja, “Seni adalah kegiatan rohani manusia yang merefleksikan realiti (dunia nyata) dalam suatu karya yang ada pengajaran melalui bentuk dan isinya, seni juga mempunyai daya untuk membangkitkan pengalaman tertentu dalam alam rohani si penerimanya.”. Disamping membangkitkan pengalaman tertentu, seni juga mempunyai sifat komunikatif yang lebih kuat berbanding platform yang lain. Andai kata kita hari ini memahami akan kekuatan seni fotografi sebagai satu tunjang untuk mendidik masyarakat tentulah kita tidak akan terus menghumbankan elemen-elemen seni itu terus ke dasar Kolam Ria yang memang sedia menantikan mangsanya. Belum terlambat buat kita, ayuh bangun dan kita timbus kolam-kolam ini dengan hasilan yang lebih jitu, murni dan tidak menyongsangi peradaban kemanusiaan. Kita jadikan karya kita sebagai satu bentuk perjuangan.
Perjuangan untuk memartabatkan seni fotografi. Perjuangan yang penuh perit dan getir tapi masih merupakan suatu perjuangan yang harmoni.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 20 (Ogos/ Sept 2014)
11