Kritik Khas FOTOGRAFI Bersempena lawatan rasmi Presiden Obama ke Malaysia

08/09/2017 | miza

Teks: Hakimi bin Halim

 

KUALA LUMPUR, 26 April -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Majlis Jamuan Negara Meraikan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia di Istana Negara di sini, malam ini. 
-- fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA
Barack Obama dan Yang Dipertuan Agong Malaysia Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah – Gambar Ihsan Mazlan Samion, BERNAMA

 

Pete Souza: Memotret Tuan Presiden
Tugas menjadi jurufoto figura terkenal seperti Sultan, Raja, Perdana Menteri dan orang-orang popular tentulah menjadi idaman ramai jurufoto terutamanya jurufoto dokumentari ataupun wartawan foto. Pernah ketika saya masih belajar di Universiti Teknologi MARA Shah Alam mempunyai keinginan yang sama. Apabila keluar latihan industri, saya memohon untuk berlatih di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan berpeluang merakam figura-figura penting tanah air antaranya Yang Di Pertuan Agong pada ketika itu Sultan Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Sultan Syed Jamalullail, Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir bin Mohamed serta Timbalan Perdana Menteri ketika itu (sekarang Perdana Menteri) Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan ramai lagi.

Saya merasa sangat bertuah pada ketika itu malah dapat bersua kadang-kadang bersembang seketika ketika melakukan tugasan. Apatah lagi melihat senior-senior daripada BERNAMA sendiri seperti Mazlan Samion yang pada masa itu antara jurufoto muda yang berbakat besar dan sering diberi tugasan penting dan pernah juga mendapat tugasan untuk mengiringi Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ke satu persidangan antarabangsa dan bertemu Presiden Bush. Koleksi gambar-gambar mereka menyentap semangat saya untuk pada suatu hari dapat menjadi jurufoto berita am dan politik. Akhirnya saya memilih untuk terperap di bilik kuliah dan mengajar asas fotografi dan seni halus sahaja.

Apapun minat terhadap mengkaji gambar-gambar seperti ini masih lagi diteruskan dari semasa ke semasa. Membandingkan gambar-gambar pemimpin luar dan pemimpin dalam negara menjadi ruji, malah turut dibincangkan di dalam kelas. Melihat sebuah gambar semasa masih seorang pelajar iaitu gambar Presiden John F Kennedy dipotret di ‘Oval Office’ dengan anaknya bermain di bawah meja Presiden menjadikan saya teruja dan mengatakan “Kenapa gambar pemimpin kita tidak macam mereka?”.

KUALA LUMPUR, 26 April -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melihat keramahan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang bersalaman denga para peserta yang membuat persembahan selepas Majlis Jamuan Negara Meraikan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia di Istana Negara di sini, malam ini. 
-- fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA
Barack Obama diiringi Yang Dipertuan Agong Malaysia Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah bermesra dengan kanak-kanak berpakaian pelbagai suku kaum semasa menghadiri Santapan Diraja di Istana Negara pada 26 April 2014 – Gambar Ihsan Mazlan Samion, BERNAMA

Di Malaysia kita ditunjukkan gambar pemimpin oleh jurufoto-jurufoto dengan begitu lurus sekali. Pemimpin mestilah dipotret seperti seorang malaikat yang menyelamatkan manusia. Maka kita sering dapat melihat di Facebook bagaimana di sebelah ‘kanan’ gambar pemimpin memberi bantuan itu dan ini manakala di sebelah ‘kiri’ gambar pemimpin sedang berdoa dengan khusyuk merendah diri sekali.

Oleh yang demikian, jika dibandingkan dengan gambar-gambar Pete Souza, Ketua Jurufoto Rumah Putih untuk Presiden Obama ianya sangat terkesan di hati. Presiden Obama tidak berdiri sendiri tetapi berdiri di samping orang terpenting dalam kareernya iaitu jurufotonya Souza. Souza tidak hanya menjadi perakam gambar bagi figura penting ini, tetapi menjadi pembentuk imej seorang Presiden.

Pete Souza telah berada bersama-sama dengan Presiden Barack Obama setiap masa dalam setiap detik penting kareer Obama sebagai Presiden. Setiap detik suka duka dilalui bersama-sama tanpa sebarang prejudis samada prejudis dirinya terhadap Obama atau prejudis Obama terhadap dirinya. Ini dapat dilihat dalam Dokumentari National Geography: The Obama White House Through The Lens, pada minit ke 32.24 sehingga 32.40, apabila ditanya tentang hubungan beliau dengan Obama, Souza (2010) menjelaskan bahawa Obama adalah sebagai seorang sahabat dalam terma ‘perhubungan profesional’. Manakala Obama (2010) dalam minit ke 32.47 sehingga minit 33.50 memberi pengiktirafan kepada Souza bahawa hubungan mereka bukan sekadar sahabat sekerja malah sudah seperti keluarga kerana Souza berada dalam kehidupannya di kala susah ataupun senang.

Daripada itu, tidaklah pelik apabila kita melihat Souza dan karya-karyanya begitu cemerlang disebabkan keikhlasan beliau dalam setiap rakaman yang dihasilkan. Souza tidak menggambarkan Obama sebagai seorang presiden yang tipikal sepertimana seorang jurufoto memotret gambar pemimpin. Lebih daripada itu Souza sebenarnya memotret seorang ‘manusia biasa’ yang menjadi presiden dan menghadapi tugas hariannya sebagai presiden bagi rakyat sebuah negara yang berjumlah 250 juta manusia. Beliau tidak hanya menguruskan jutaan manusia, malah setiap keputusan beliau boleh mempengaruhi manusia-manusia di dunia. Oleh yang demikian, Souza menjalankan tugas yang hebat dimana Obama dipotret dari kaca mata seorang sahabat yang melihat beliau sebagai manusia biasa.

Rakyat Amerika khasnya dan masyarakat dunia amnya sering tertanya-tanya dan berprasangka terhadap seorang Presiden Amerika. Jika diberikan satu perkataan kepada setiap orang terhadap Presiden Amerika dari dahulu hingga kini, mungkin ada yang akan mengatakan ‘Pembunuh’, ‘Kejam’, ‘Penyembelih’, ‘Penipu’ dan sebagainya. Tetapi Souza, dengan keakraban yang luar biasa dan mempunyai akses langsung dengan Obama menafikan semua ini melalui visual. Maka tidak ada kata-kata lain yang keluar dari murut penggemar-penggemar karya Souza selain ‘wow’ atau ‘bagaimana beliau boleh sedekat itu?’.

Malah Obama kerap dipotret dengan pelbagai wajah iaitu wajah bersama rakyat, wajah bersama pekerjanya dan wajah sebagai seorang bapa dan suami. Semuanya diambil secara spontan dan setiap rakaman dirakam dengan amat istimewa. Lebih istimewa apabila Obama dipotret dikala berseorangan dengan pelbagai ekspresi terutamanya ketika krisis ekonomi terburuk sejak Great Depression dimana wajah susah hati, tertekan dan seolah-olah mahu bersendiri telah membentuk imej seorang Presiden bahawa beliau ialah seorang manusia biasa yang menghadapi cabaran seperti manusia-manusia lainnya.

MAZLAN_PETE
Pete Souza, Ketua Jurufoto Rumah Putih untuk Presiden Barack Obama bergambar kenangan dengan jurufoto daripada BERNAMA, Mazlan Samion. – Gambar ihsan Mazlan Samion, BERNAMA

Seperti kata-kata Robert Capa “Jika gambar kamu tidak cukup bagus, bererti kamu tidak cukup dekat”, Pete Souza seolah-olah tidak mengambil enteng setiap perkara yang bagi orang lain tidak penting, tetapi sangat penting pada dirinya. Ini dapat dilihat apabila beliau merakam sekeping gambar dimana ianya menunjukkan draf ucapan yang ditulis oleh Ketua Penulis Ucapan Presiden, Jon Favreau tetapi mempunyai kesan cantasan oleh Obama dengan pen beliau.

Selain daripada itu, Obama digambarkan sebagai seorang yang bersahaja, cergas dan cerdas dalam setiap ucapannya dan kelihatan meyakinkan. Ini dapat dilihat dalam setiap siri gambar ucapan-ucapan beliau yang kelihatan muda, segak, bersahaja dan bertenaga dengan sering menggunakan rakaman rendah bagi menampakkan kehebatan seorang Presiden. Begitu juga gambar-gambar di belakang tabir sebelum ucapan-ucapan beliau disampaikan.

Lawatan beliau ke Malaysia juga telah menghasilkan siri-siri gambar sepanjang lawatan yang amat istimewa dan dapat dilihat di Laman Web Rasmi Rumah Putih. Sebagai seorang pensyarah dalam bidang fotografi, saya begitu teruja dengan kehadiran Obama ke Malaysia bukan kerana Obama yang hadir, tetapi bersama-samanya tetap diiringi oleh Pete Souza. Sebagai seorang yang mengagumi beliau, saya menjangkakan terhasilnya buah tangan yang baik yang akan dibawa ke Rumah Putih dan menjadi sebahagian daripada sejarah antara dua buah negara.

Kekaguman terhadap Souza perlulah difahami bukan kekaguman biasa, tetapi kekaguman terhadap seorang jurufoto yang tidak kelihatan di dalam sebuah gambar, tetapi membentuk suatu pemikiran baharu di kalangan jutaan manusia di seluruh dunia.

Bagi mengakhiri tulisan saya, saya ingin berkongsi satu post dalam laman Facebook saya bertarikh 27 April 2014

“Souza adalah ‘White House Photographer’ untuk President Obama. Karya-karya beliau sebenarnya banyak mencorak pemikiran rakyat Amerika terhadap Presiden mereka. Dia tidak menggambarkan Obama sebagai Malaikat atau Superman apatah lagi syaitan. Tetapi menggambarkan Obama sebagai SEORANG MANUSIA BIASA BERGELAR PEMIMPIN. Spontan, bersahaja dan tidak klise. Lalu tidak sahaja Obama itu dikenali sebagai Presiden Kulit Hitam pertama dan muda. Malah juga Ikon Pop kepada dunia. Mungkin juga tanpa Souza, Obama tidaklah seperti Obama yg kita kenal hari ini. — As I see it. Mau jugak aku tulis kat FOTOGRAFIKA utk next issue ni”

Rujukan :
Nat Geo Documentary Film, National Geography: The Obama White House Through the Lens, 2010
Frei, Christian (Producers) & Frei, Christian (Director). (2001). War Photographer [Motion picture]. Switzerland:Christian frei filmproductions.& SUISSIMAGE.
http://www.ctpost.com/news/slideshow/Behind-the-scenes-photos-Obama-pushes-health-486/photo-137345.php
http://www.whitehouse.gov/photos-and-video/photogallery/presidents-trip-asia-0
http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Barack_Obama_and_Michelle_Obama_share_a_private_moment_in_a_freight_elevator_at_an_Inaugural_Ball_in_Washington,_D.C.,_Jan._20,_2009.jpg

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 19 (Jun/ Julai 2014)

fg19