Dunia Kecil yang Unik dan Menawan

06/09/2017 | miza

Teks & Foto: Dr. Sharkawi Che Din

 

MAKRO_004
Canon EOS 1DX, MP-E65mm f/2.8 1-5x Macro, ISO 500

 

Definisi Fotografi Makro
Apabila membincangkan fotografi makro, maka tiga kelasifikasi fotografi makro perlu diperjelaskan supaya sebarang kekeliruan dapat dielak oleh bakal jurugambar alam semulajadi yang memfokus kepada fotografi makro.

Tiga kelasifikasi yang biasanya dikaitkan dengan bidang ini adalah istilah fotografi jarak dekat (close up), fotografi makro dan fotografi mikro. Klasifikasi pertama yakni fotografi jarak dekat adalah popular dalam kalangan peminat fotografi kerana jika objek sekuntum bunga dapat dirakam penuh, maka ia adalah termasuk dalam kategori fotografi jarak dekat.

Fotografi makro merujuk kepada objek saiz sebenar yang bersamaan dengan saiz sensor kamera digital yang digunakan. Jika ini berlaku maka ia dirujuk sebagai pemberasan 100% ataupun sedia difahami oleh kalangan jurugambar profesional sebagai pembesaran 1:1 (satu nisbah satu). Keupayaan pembesaran ini biasanya dihasilkan oleh lensa khusus seperti lensa makro. Contohnya, jika saiz objek adalah lebih kecil daripada saiz sensor kamera maka objek yang dirakam dan gambar yang dihasilkan bukanlah gambar daripada kategori makro tetapi ia adalah dalam kategori gambar berjarak dekat.

Fotografi mikro adalah merujuk kepada pembesaran yang melebih sepuluh kali ganda (atau lebih) pembesaran daripada saiz asal. Penggunaan peralatan yang lebih khusus adalah diperlukan.
Dunia Fotografi Makro
Secara umumnya semua subjek adalah sesuai untuk diaplikasikan dengan teknik fotografi jarak dekat, fotografi makro dan fotografi mikro. Namum begitu, antara subjek yang popular dalam kalangan jurugambar sebagai subjek makro adalah terdiri daripada subjek alam semulajadi seperti bunga-bunga, serangga, tumbuh-tumbuhan kecil yang unik bentuknya. Subjek-subjek tersebut adalah bersaiz kecil yang kelihatan fotogenik apabila ia dipindahkan ke medium fotografi.

Hasil gambar foto makro digunakan secara meluas dalam pelbagai kegunaan sama ada untuk tujuan komersial atau pun tujuan artistik. Sama seperti bidang pengkhususan fotografi yang lain, gambar foto makro juga seringkali digunakan untuk tujuan komersial seperti periklanan, fotografi stock dan untuk visualisasi saintifik.

Persiapan
Semua jenis kamera berupaya merakam semua subjek secara dekat dengan menggunakan mod atau fungsi makro binaan dalaman kamera atau dengan menggunakan lensa khusus yang berupaya merakam objek-objek bersaiz kecil. Dua jenis kamera yang popular dalam kalangan peminat fotografi makro adalah kemera kompak ‘point and shot’ dan kamera Digital Single Lens Reflect (DSLR).

Kamera Kompak
Kamera jenis ini dimiliki oleh majoriti peminat fotografi tetapi keupayaannya adalah terhad. Biasanya, kamera kompak menggunakan lensa binaan dalaman dan mod Macro yang disediakan dalam kamera tidak berupaya merakam subjek secara saiz sebenar. Walau bagaimanapun, kamera kompak berupaya merakam gambar-gambar jarak dekat seperti rama-rama, kuntuman bunga, embun dan pelbagai objek alam semulajadi.

Kamera DSLR
Jenis ini merupakan kamera yang popular di kalangan jurugambar amatur dan profesional. Kamera jenis ini memberikan kawalan sepenuhnya terhadap pelbagai jenis pengambaran yang dilakukan dan kualiti gambar juga adalah lebih tinggi berbanding dengan kualiti gambar yang dihasilkan dengan kamera kompak.

MAKRO_006
EOS 1DX, MP-E65mm f/4 1-5x Macro, ISO500

Alatan tambahan untuk fotografi Makro

Penuras Jarak Dekat (Close-up filters)
Alatan alternatif yang murah dan mudah diperolehi bagi menambahkan keupayaan lensa bukan makro adalah penggunaan ‘close-up filters’ atau penuras jarak dekat. Penuras ini digunakan dengan cara memasang penuras tersebut di hadapan lensa bukan makro yang bertujuan menambahkan magnifikasi lensa untuk merakam objek-objek yang kecil. Penuras close-up ini disediakan dalam lima set pembesaran yang dirujuk sebagai +1, +2, +3, +4 dan +10. Kelima-lima set kanta pembesar ini boleh digunakan secara serentak atau digabungkan dengan mana-mana kekuatan pembesaran yang diperlukan. Walau bagaimanapun, secara kebiasaannya, hanya dua penuras digunakan secara serentak bagi memaksimakan kualiti gambar yang dihasilkan.

Tiub Penyambungan makro
Tiub penyambungan atau ‘extension tube’ adalah tiub yang memiliki hanya ruang kosong yang dipasang di antara lensa dan badan kamera. Fungsi utamanya adalah mudah iaitu menjarakkan kedudukan lensa dengan badan kamera dan mendekatkan jarak fokus supaya keupayaan pembesaran diperoleh. Penggunaan Tiub ini tidak menjejaskan kualiti gambar kerana tidak terdapat sebarang kanta di dalamnya berbanding dengan penggunaan penuras jarak dekat. Tiub ini disediakan dalam tiga keupayaan pembesaran iaitu 12mm, 20mm dan 36mm. Ketiga-tiga tiub ini boleh digunakan secara serentak atau satu demi satu bergantung kepada tahap pembesaran yang diperlukan.

Lensa Makro
Kebanyakan jurugambar profesional menggunakan lensa khas yakni lensa makro untuk rakaman gambar-gambar makro yang membolehkan pembesaran sehingga 100% saiz sebenar atau lebih sehingga lima(5) kali pembesaran daipada saiz asal sesuatu objek.

Jurugambar
Faktor utama mengapa jurugambar alam semulajadi biasanya meminati dunia fotografi makro kerana ia bukan sahaja bidang yang unik malah ia juga memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Hal ini demikian kerana bukannya mudah untuk merakam serangga bersaiz kecil yang selalu bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Contohnya semut, secara fizikalnya bersaiz kecil dan agak sukar untuk berada kekal di satu lokasi yang sama untuk durasi yang lama. Namun begitu, dengan kesabaran yang ada pada seseorang jurugambar, beliau sanggup meluangkan masa menunggu momen terbaik untuk merakam aksi seekor semut ataupun serangga-serangga kecil yang lain.

Selain daripada objek-objek bersaiz kecil yang menjadi subjek utama jurugambar fotografi makro, keupayaan melihat juga adalah penting bukan sahaja untuk fotografi makro malah dalam semua bidang fotografi yang lain. Keupayaan melihat yang dimaksudkan adalah merujuk kepada bagaimana keupayaan seseorang jurugambar itu melihat dan seterusnya memilih sudut pandangan yang berupaya menghasilkan impak pada komposisi sesebuah gambar. Penguasaan terhadap sudut pandangan (point of view) juga amat penting supaya objek-objek bersaiz kecil ini dapat ‘diletakkan’ secara berseni dan fotogenik.

MAKRO_003
EOS 1Ds Mark III, EF100 Makro F4.0 1/125 Handheld, ISO200

Teknik
Teknik fotografi makro secara umumnya adalah sama dengan bidang-bidang fotografi yang lain. Namun begitu, secara kebiasaannya, jurugambar akan memilih untuk merakamkan objek utama samada dalam persekitarannya yang asal, yakni rama-rama di atas sekuntum bunga, ataupun memfokus pada bahagian-bahagian khusus objek seperti fokus kepada mata, kepala serangga dan sebagainya.

Daripada segi teknikal, penggunaan apertur yang bersaiz kecil dapat menghasilkan kedalaman yang semulajadi yang kemudiannya akan menyumbang kepada kejelasan dan perincian terhadap objek yang dirakam. Umpamanya, penggunaan bukaan saiz apertur yang besar seperti f1.8 akan menghasilkan ruang fokus yang terhad. Ini bermakna, jika jurugambar memfokus kepada seekor serangga, hanya bahagian mata sahaja yang kelihatan tajam sementara bahagian kepala dan badan akan kelihatan kabur atau dirujuk sebagai terkeluar daripada titik fokus. Sebaliknya, jika semua bahagian serangga tersebut hendak dirakam supaya semuanya kelihatan tajam maka penggunaan bukaan aperture yang bersaiz lebih kecil seperti f22 adalah diperlukan.

Penggunaan tripod membantu mengelakkan kamera daripada bergoyang seterusnya akan menyebabkan gambar kabur. Akan tetapi, penggunaan tripod kadang-kadang menyukarkan jurugambar untuk bergerak atau mengikut jejak pergerakan serangga dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Penggunaan ISO yang tinggi seperti 800 hingga 2000 akan menghasilkan kesan noise pada imej digital. Namun begitu, penggunaan bukaan apertur yang kecil biasanya akan memanjangkan durasi dedahan yang menyebabkan kamera bergoyang sebaik sahaja butang pelepas pengatup ditekan. Ini juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan gambar kelihatan kabur. Contohnya, dedahan asal adalah 1/15saat dengan penggunaan ISO100. Akan tetapi dedahan ini akan berubah menjadi lebih pantas (seperti 1/250) jika ISO diubah kepada yang lebih tinggi seperti contohnya 2000. Penggunaan kelajuan pengatup yang tinggi penting untuk membolehkan gambar dirakam dengan lebih tajam. Penggunaan cahaya tambahan daripada lampu denyar juga dapat membantu mengelakkan penggunaan ISO yang tinggi dan mengawal kelajuan pengatup yang bersesuaian dengan objek yang bakal dirakam.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/ Mac 2014)

fg17-cover-rgb