Menghurai Gambar BAHAGIAN 4 : Menghurai Gaya (Describing Style)

02/09/2017 | miza

Teks: Hakimi bin Halim

Mourning-a-soldier-killed-in-the-civil-war-Bosnia-©-1993-by-James-Nachtwey
Bosnia, 1993 – Mourning a soldier killed in the civil war (diperolehi pada 19 September 2013 di http://www.jamesnachtwey.com/)

 

Ketika dalam pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Pengimejan Kreatif UiTM, saya begitu taksub dengan Henri Cartier- Bresson. Sehingga ideologi dan kepercayaan tokoh ini terhadap pengkaryaan seboleh-bolehnya mahu ditiru oleh saya. Buku-buku yang berkaitan dengan beliau dibeli oleh saya hasil dari upah memotret gambar perkahwinan. Kalau boleh, potret perkahwinan pun mahu saya ikut gaya beliau. Tetapi memandangkan pemikiran pengantin tidak sampai ke tahap itu, maka hasrat itu saya lupakan.

Kemudian masuk seorang pensyarah baru. Semasa saya pelajar, saya memang suka bergaul dengan pensyarah. Tidak lain hanya untuk mendapatkan ilmu. Kemudian saya berjumpa dengannya dan minta koleksi gambar-gambar saya untuk dikritik. Beliau bertanya akan aliran dan penggayaan saya dalam menghasilkan karya. Maka saya pun dengan yakin berkata, “Encik, saya banyak dipengaruhi oleh Cartier- Bresson”. Beliau membalas “Kau kaji lagi Cartier- Bresson, aku tengok tak sama pun. Saya tengok, kerja kamu lebih hampir dengan Eugene Smith. Kau tak habis baca ni.” kata- kata beliau membuatkan saya terkedu dan malu.

Ini adalah sorotan pengalaman saya sebagai pelajar. Sedangkan yang membaca pun banyak lompongnya, inikan pula kalau jenis pelajar yang sambil lewa sahaja, atau buat kerja dahulu fikirkan rujukan kemudian. Sebagai ahli akademik, saya merasakan perlunya kefahaman penggemar tegar fotografi terhadap tokoh-tokoh fotografi dunia seperti barisan jurugambar Magnum. Ilmu pengetahuan ini yang membezakan kita dengan orang lain. Di zaman semua orang boleh menjadi jurufoto, amatlah penting seorang jurufoto tidak hanya dapat membincangkan aspek teknikal sahaja, malah dapat merungkai konteks pengkaryaan. Era Post Modern ini membuatkan ilmuan dan pengamal kesenian berbincang terhadap konteks pengkaryaan yang dilihat lebih penting dari kandungan karya. (Mungkin isu ini boleh dipanjangkan dalam penulisan dan wacana akan datang).

Oleh yang demikian, apakah itu style atau gaya? Dalam konteks yang lebih luas, gaya merupakan gabungan antara kepelbagaian objek seni dari seorang artis, aliran zaman, lokasi geografi dan ianya dapat dikenali dengan cara semua aspek di atas dipandu atau diuruskan oleh artis dari segi hal benda dan elemen luaran. Untuk menilai gaya jurufoto, ianya adalah dengan mengambil kira subjek yang dipilih, medium fotografi digunakan, dan aspek formalistik dalam gambar yang diuruskan. Sebagai contoh, dengan kesemua penilaian di atas, karya Richard Avedon selalunya ditafsirkan oleh pengkritik bahawa beliau mempunyai kecenderungan samada menghasilkan penggayaan bersifat dokumentari atau fiksyen, mungkin juga fesyen. Perbincangan-perbincangan ini berlanjutan sehingga pengkritik mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza terhadap gaya Avedon. (Barret, 2005 : 31)
Mengkritik dan Memperhalusi Penggayaan
Terdapat pelbagai kaedah dalam memperhalusi penggayaan seseorang jurufoto atau artis. Dengan kaedah-kaedah ini, pengkritik akan dapat merungkai penggayaan yang dihasilkan oleh artis tersebut. Walau bagaimanapun, pendapat-pendapat seseorang pengkritik dengan pengkritik yang lain dan juga pendapat pengkritik dengan artis yang menghasilkan karya tersebut berkemungkinan berbeza. Ini kerana tafsiran seni adalah bersifat subjektif dan open ended. Yang lebih penting adalah perbincangan terhadap karya yang dihasilkan. Sekiranya terdapat percanggahan dalam perbincangan, itu adalah perkara biasa kerana perkara–perkara subjektif membawa kepada retorik dan retorik membawa kepada pendapat yang pelbagai. Pendapat yang pelbagai pula selalunya meninggalkan provokasi dan provokasi perlu diselesaikan secara profesional di dalam penulisan, wacana atau meja rundingan. Begitulah sifat ahli ilmu dalam merungkai jawapan-jawapan dari persoalan-persoalan yang dilontarkan. Untuk mengenal penggayaan, adalah penting untuk kita mengenal.

1. Objek Seni
2. Aliran
3. Period
4. Faktor Geografi
Daripada 4 faktor ini, kita akan mengambil karya James Nachtwey sebagai kajian kes.
Objek Seni
Ini adalah karya Nachtwey dalam kejadian perang dan penghapusan etnik di Bosnia pada sekitar tahun 1993. Soalan di sini, adakah karya ini dapat dikatakan sebagai objek seni yang baik? Jawapannya sudah tentu ya. Karya ini boleh dikelaskan sebagai objek seni yang baik. Objek seni adalah objek yang mempunyai pengurusan yang baik dari segala segi dalam membentuk satu karya, terutamanya dari aspek penghuraian dan pemaknaan. Tanpa salah satu daripada aspek ini, ianya tidak dapat dikatakan sebagai objek seni. Objek seni bergantung kepada aspek-aspek kritikal dan estetik. Ini yang membezakan antara art object dengan craft object. Jika dilihat daripada karya Nachtwey, ianya sudah mencapai satu tahap yang terlalu tinggi dimana komposisi dan peristiwa yang dirakam seolah-olah merupakan ulangan terhadap peristiwa-peristiwa yang dirakam dalam catan-catan seni Eropah Abad ke 17 oleh Caravaggio atau karya Seni Neo Classic Amerika oleh Benjamin West. Olahan-olahan Nachtwey samada beliau sedar atau tidak mempunyai pengaruh-pengaruh seni sebelum seni moden.

1

2
Karya Catan Caravaggio (atas) Calling of Saint Matthew, dihasilkan pada 1599-1600 dan Karya Benjamin West (bawah) The Death of General Wolfe, 1770.

Tidakkah olahan dari aspek dramatic kedua-dua karya ini hampir sama dengan karya Nachtwey?

Aliran
Apabila kita bercakap berkenaan aliran seni, apa-apa yang kita kenal dan sering kita bincangkan adalah berkenaan gerakan-gerakan seni barat. Contohnya seperti Realism, Neo Classicism, Romanticism, Impressionism, Post dan Neo Impresionism, Expressionism dan Neo Expressionism dan sebagainya. Maka, fotografi terletak dalam aliran mana? Apakah aliran yang kita hendak putuskan untuk karya Nachtwey ini? Ini sukar untuk kita jelaskan. Seperti Avedon, pengkritik mempunyai pandangan berbeza-beza terhadap gerakan atau gaya beliau. Ada yang mengatakan fictional work, fashion dan documentary. Kita sudah tentu tahu bahawa Nachtwey menjenamakan dirinya sebagai Jurufoto Perang. Saya berpendapat bahawa terdapat unsur-unsur Realism yang kuat dalam karya Nachtwey dimana beliau mempunyai keinginan yang kuat untuk merakam peristiwa yang sebenarnya terjadi kepada orang biasa dalam peperangan dan beliau berpendapat bahawa beliau merupakan perakam imej-imej manusia yang sebenarnya telah menjadi produk-produk yang dihasilkan akibat peperangan (Nachtwey :2001). Mungkin pembaca sekalian mempunyai pandangan yang berbeza. Dalam memahami masalah aliran, pemahaman terhadap sejarah seni adalah penting dimana kita tidak dapat membuat andaian-andaian tanpa pengetahuan berkenaan gerakan-gerakan seni yang pernah wujud dalam dunia ini.

Zaman (Period)
Terdapat beberapa zaman dalam kesenian seperti, Seni Pra Sejarah, Tamadun Awal, Renaissance, Mannerism, Baroque, Rococo, Abad Ke 17, 18 dan 19, Seni Moden atau merujuk kepada abad ke 20, Seni Kontemporari yang bermula sekitar 70an dan sekarang ini orang bercakap mengenai Seni Post –Modern. Seperti biasa, fotografi seperti jarang ditekankan di mana-mana zaman dan seolah-olah zamannya berdiri sendiri seiring dengan perkembangan dunia. Fotografi juga sering dikaitkan dengan Seni Moden dimana fotografi bersifat dokumentari kerap digolongkan dalam kelompok yang tersebut. Bagi jurufoto eksperimentasi, mereka dapat dikelompokkan dalam Seni Kontemporari atau Kelompok Post-Modernist. Saya melihat, karya Nachtwey tidak mengikut semua yang disebut di atas. Zaman yang dirakam oleh Nachtwey merupakan transisi atau peralihan daripada kejadian dan pergolakan yang berlaku di dunia di antara akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21. Nachtwey tidak terikat dengan ‘Terminologi Period atau Zaman’ yang diberikan oleh sarjana barat. Beliau adalah perakam kejadian-kejadian dramatik pada zamannya sepertimana yang dilakukan oleh Robert Capa, Dorothea Lange, Walker Evans dan lain-lain jurufoto hebat dunia.

Faktor Geografi
Gambar yang dirakam oleh Nachtwey di merata dunia memberi kita klu–klu lokasi ianya dirakam, dari segi warna kulit subjek, pakaian, pemandangan, bahasa badan subjek dan sebagainya. Semua ini menunjukkan dengan jelas berkenaan tempat dan masa kejadian itu dirakamkan.

Penutup
Penghuraian gaya atau style merupakan satu topik yang terlalu besar dan boleh menimbulkan perdebatan disebabkan ‘gambar tidak boleh bercakap untuk dirinya’. Penerangan di atas adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan isu ini yang sebenarnya terlalu luas. Gambar adalah satu saluran komunikasi secara satu hala kepada pemerhati. Apabila pemerhati cuba memahami gambar dan berkongsi dengan pemerhati yang lain, percanggahan akan terjadi dan mungkin merebak lebih cepat ke merata tempat dan menyebabkan ianya terus dibincangkan. Oleh yang demikian, tugas pemerhati, pengkritik atau penilai adalah menyediakan hujah supaya idea dan perbincangan tidak menjadi kosong malah perbincangan tersebut dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Rujukan
-Barret. T, “Criticizing Photograph: An Introduction to Understand Images” Ohio: The Ohio State University, (Mayfield Publishing Company California: Third Edition, 2000)
-Frei, Christian (Producers) & Frei, Christian (Director). (2001). War Photographer[Motion picture]. Switzerland:Christian frei filmproductions.& SUISSIMAGE.
-Honour, H., Fleming J. 2009, A World History of Art (Revised Seventh Edition) : London, Laurence King Publishing Ltd.
-http://www.jamesnachtwey.com/

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/ Nov 2013)

fg15-cover