Teks & Foto: Sawlihim Bakar

Latar hadapan
Kebanyakan gambar kelihatan cacat disebabkan oleh latar hadapan yang tidak perlu atau mengganggu. Ini adalah kesilapan biasa yang mungkin disebabkan oleh jurugambar yang berada terlalu jauh daripada subjek ketika rakaman terutamanya jika menggunakan lensa bersudut luas. Latar hadapan yang tidak diingini boleh dihapuskan dengan bergerak lebih dekat kepada subjek atau dengan mengubah sudut pandangan lensa dan arah rakaman. Tetapi dalam kebanyakan kes, latar hadapan perlu jelas. Pastikan latar hadapan tiada begitu menonjol dan boleh mengganggu subjek utama. Anda perlu mengosongkan subjek sampingan yang tidak mempunyai kaitan dengan gambar.
Secara amnya latar hadapan mengandungi “leading line” yang membawa mata penonton ke dalam gambar tersebut dan ke arah “Point of interest”. Samada garis ini adalah objek tunggal, objek bersiri atau bayang-bayang, ianya harus diberi tumpuan terperinci.

Latar belakang
Latar belakang merupakan salah satu daripada unsur utama dalam menentukan nilai sebuah komposisi yang baik. Latar belakang membantu menyokong kekuatan cerita yang ada pada keseluruhan gambar. Perhatikan jika latar belakang mengandungi sebarang objek gangguan seperti pokok atau tiang.Seperti yang dibincangkan saudara Jidin berkenaan teori Gestalt, objek itu boleh kelihatan dalam gambar seolah-olah tumbuh dari kepala subjek utama.
Latar belakang perlu membuatkan subjek utama menonjol dengan cara terbaik. Latar belakang yang kabur adalah cara berkesan untuk menonjolkan subjek utama iaitu dengan menggunakan kesan bokeh daripada bukaan apertur yang besar. Dalam kes subjek bergerak, subjek utama yang tajam dan latar belakang yang kabur boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah “Panning”.
Kadang-kala, anda mungkin mahu membalikkan kesan ini seolah-olah subjek utama kabur dengan latar belakang yang tajam. Ini dapat membawa gambaran yang lebih dekat kepada penonton untuk menceritakan mengenai pergerakan. Menggunakan kelajuan pengatup yang perlahan untuk menghasilkan kesan pegerakan.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 12 (Apr/ Mei 2013)
