Pengorbanan Seorang Jurugambar

28/08/2017 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

 

Kejayaan seorang pemain menuntut pengorbanan yang tinggi
Kejayaan seorang pemain menuntut pengorbanan yang tinggi

 

Salam hormat dan bertemu lagi dalam penulisan saya yang dijadikan platform untuk saya berkongsi ilmu fotografi dan pengalaman saya dengan para pembaca majalah fotografika.

Pada keluaran yang lalu, saya berkongsi “Rutin Asas” seorang jurugambar sukan. Saya berharap rutin ini boleh dijadikan panduan buat anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut perkara-perkara yang harus dilakukan apabila mendapat tugasan dalam fotografi sukan.

Seperti umum sedia maklum, penghujung tahun merupakan waktu yang paling sibuk dalam kalendar dunia sukan. Semasa artikel ini ditulis, saya sibuk dengan tugasan di dua kejohanan golf terbesar di negara kita iaitu Sime Darby LPGA Malaysia dan CIMB Classic.

Mungkin secara kebetulan, kejohanan golf CIMB Classic berlangsung ketika umat Islam di Malaysia meraikan Hari Raya AidilAdha atau lebih dikenali dengan nama Hari Raya Qurban. Demi tugasan, saya terpaksa mengorbankan masa untuk meraikan hari lebaran apabila terpaksa bertugas di pagi hari raya sempena kejohanan golf CIMB Classic 2012 di The Mines Golf Club, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali kedua saya tidak dapat meraikan hari lebaran bersama keluarga akibat tugasan dan saya merasakan inilah pengorbanan yang harus saya lalukan demi kerjaya saya dalam bidang fotografi.

Namun begitu, perasaan sedih sedikit terubat apabila bertemu dengan rakan-rakan jurugambar dari media dan agensi lain yang sama-sama terpaksa bertugas di pagi lebaran. Walaupun tanpa ketupat, rendang dan lemang, tugasan yang diamanahkan tetap kami selesaikan.

Pengorbanan jurugambar-jurugambar ini saya anggap terlalu besar, kerana jurugambar ini terpaksa berkorban demi memastikan setiap berita tetap disampaikan kepada umum. Pengorbanan jurugambar ini sebenarnya jarang dihargai.

Pengorbanan untuk merubah sikap anda perlu bagi membolehkan anda berdiri sebaris dengan jurugambar professional ini

Untuk itu, bagi penulisan artikel kali ini, saya kongsikan pengorbanan yang harus dilakukan oleh jurugambar sebagai panduan untuk anda sekiranya anda benar-benar serius untuk menjadikan bidang fotografi sukan ini sebagai satu kerjaya.
Pengorbanan bekerja lebih Masa.
Sebagai seorang jurugambar sukan, waktu kerja anda tidak menentu. Disebabkan waktu kerja yang tidak menentu, anda terpaksa berkorban masa anda dari melakukan aktiviti-aktiviti sosial ataupun aktiviti-aktiviti riadah yang lain.

Salah seorang sahabat saya yang bertugas sebagai seorang profesor di salah sebuah universiti terkemuka di Bandar Sunway pernah berkata, bertapa mudahnya tugas sebagai seorang jurugambar sukan. Hanya perlu menekan pengatup dan mengenakan bayaran yang tinggi mengalahkan gaji seorang pegawai berkelulusan ijazah. Sedangkan waktu kerja jurugambar ini pendek jika dibandingkan dengan waktu kerja seorang pegawai selama 5hari seminggu.

Saya hanya tersenyum mendengar kata-kata beliau kerana saya sedar hakikat sebenarnya, waktu kerja seorang jurugambar sukan adalah lebih panjang dari 5hari seminggu. Sekiranya saya diberi tugasan di kejohanan golf, saya akan bertugas selama 7 hari. Dari hari Isnin hinggalah ke hari Ahad. Apabila selesai kejohanan tersebut, tugas saya tidak terhenti di situ. Apabila pulang, saya tidak akan terus berehat tetapi terpaksa pula mengorbankan masa saya untuk kerja-kerja menyunting ribuan keping gambar sebelum diserahkan kepada pelanggan saya. Proses suntingan ini adakalanya memaksa saya untuk berkurung di dalam bilik selama berjam-jam dan adakalanya sehingga jam 4 pagi dan mengambil masa hampir seminggu untuk disiapkan. Bayangkan sekiranya jadual tugasan saya bersambung-sambung. Sudah pasti saya terpaksa melakukan kerja-kerja menyunting gambar pada sebelah malam sehingga ke lewat pagi dan pada waktu siang terpaksa pula melakukan tugasan yang baru. Waktu bekerja lebih masa ini tidak dilihat dan dinilai oleh mereka. Inilah pengorbanan yang terpaksa kita lakukan iaitu bekerja melebihi masa tanpa dapat dilihat atau diketahui oleh orang lain.
Pengorbanan Waktu Bersama Keluarga
Ini merupakan pengorbanan yang paling besar yang harus anda lakukan dan ramai yang gagal untuk melakukan pengorbanan ini.

Sebagai seorang jurugambar sukan, anda harus faham dan sentiasa berkata pada diri sendiri bahawa waktu kerja anda bukan dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang dan bukannya dari Isnin hingga hari Jumaat, 5 hari seminggu.

Yang paling penting, sekiranya anda telah berkeluarga, perkara ini harus dimaklumkan kepada isteri dan anak-anak anda. Isteri harus sedar, anda tidak boleh diharapkan untuk melakukan kerja-kerja rutin harian seperti mengambil anak dari sekolah, menghantar anak ke kelas tiusyen, disebabkan waktu kerja anda yang tidak menentu. Tapi AWAS, ini bukanlah alasan untuk anda melepaskan tanggungjawab anda sebagai ketua keluarga. Namun ianya sekadar peringatan buat isteri dan ahli keluarga yang lain bahawa anda harus diberi ruang secukupnya bagi membolehkan anda fokus dengan kerjaya yang anda lakuan.

Sebagai seorang jurugambar sukan, saya kerap ditugaskan ke luar negara. Biasanya, tugasan yang diberi memaksa saya untuk keluar selama 7 hari. Oleh itu saya terpaksa meletakkan sepenuh tanggungjawab untuk menjaga dan mengawasi pembesaran anak-anak dan pendidikan mereka kepada isteri saya. Namun begitu, saya sentiasa mengikuti perkembangan mereka melalui ‘laporan-laporan’ yang disampaikan oleh isteri saya kepada saya. Saya akui, saya terpaksa berkorban masa untuk bersama keluarga demi kerjaya saya dalam bidang fotografi sukan. Jarang sekali saya dapat bersama dengan anak-anak untuk aktiviti riadah diwaktu petang jika dibandingkan saya dengan jiran-jiran yang lain.

Sebab itu saya akan pastikan sekiranya saya tidak mempunyai apa-apa tugasan, saya akan melakukan rutin harian seorang ayah seperti mengambil anak ke sekolah dan lain-lain lagi. Saya akan pastikan saya akan menghabiskan masa saya bersama mereka.

 

Copyright Sports Images Malaysia No commercial or wireless uses without permission Sports Images reserves the right to pursue unauthorized users of this image or clip. If you violate our intellectual property you may be liable for: actual damages, loss of income, and profits you derive from the use of this image or clip, and, where appropriate, the costs of collection and/or statutory damages up to $150,000 (USD).
Segala pengorbanan para pemain Kelantan dianggap berbaloi apabila muncul sebagai juara treble bagi edisi Liga Malaysia 2012

Pengorbanan Wang Ringgit
Fotografi sukan adalah kerjaya anda dan merupakan sumber pendapatan anda. Untuk memperolehi sumber pendapatan yang lumayan di dalam bidang ini, anda terpaksa bersaing dengan ramai jurugambar-jurugambar yang lain. Persaingan dalam kerjaya ini menuntut anda untuk menghasilkan kualiti gambar bermutu tinggi. Menghasilkan gambar yang bermutu tinggi menuntut anda untuk memiliki peralatan kamera yang terbaik dan terkini.

Kita harus sedar dunia IT berubah dengan pantas. Saban hari ada sahaja gajet atau peralatan kamera baru yang muncul di pasaran. Sebagai seorang pengguna, kita harus bijak untuk menilai dan memastikan keperluan sesuatu barangan itu untuk kegunaan dalam tugasan kita. Untuk itu, dalam bekerjaya kita perlu mengorbankan wang ringgit yang kita kumpul hasil dari pendapatan kita untuk barangan-barangan ini. Mengorbankan wang ringgit anda kepada gajet dan peralatan itu HARUS tapi anda perlu berhati-hati.

Anda tidak boleh boros berbelanja. Anda harus sentiasa beringat bahawa kerjaya ini bermusim dan apabila tiada musim acara sukan, anda tidak mempunyai apa-apa pendapatan jika tidak mempunyai tugasan.

 

Pengorbanan Sikap.
Ramai yang mungkin tertanya-tanya apakah yang saya maksudkan dengan pengorbanan sikap.

Kita semua datang dari latar belakang yang berbeza. Ada yang memang mempelajari secara mendalam ilmu fotografi sejak dari kolej ataupun universiti dan ada juga yang mempelajari ilmu fotografi tanpa pendidikan yang ‘formal’. Seperti yang saya pernah katakan, ramai jurugambar-jurugambar yang hebat di negara kita, yang saya temui, tidak mempelajari ilmu fotografi secara formal tetapi mempelajarinya melalui pengalaman bekerja, rakan-rakan, buku-buku fotografi ataupun melalui internet.

Saya sering menjadikan individu yang saya hormati, Saudara Bazuki Muhammad, seorang jurugambar kanan di agensi berita Reuters sebagai contoh terbaik. Sebagai seorang graduan dalam bidang arkitek. Beliau sanggup mengorbankan profesion beliau untuk membina kerjaya beliau dalam bidang fotografi.

Apabila beliau menceburi bidang fotografi, saudara Bazuki bukan sahaja mengorbankan profesion beliau tetapi juga terpaksa melakukan pengorbanan sikap. Beliau tidak membawa status beliau sebagai seorang arkitek sebaliknya merendah diri dan bersama-sama belajar dan berusaha dengan jurugambar-jurugambar muda yang lain. Pengorbanan sikap inilah yang membuatkan beliau berjaya pada hari ini.

Saya sering didatangi dengan soalan-soalan dari individu-individu yang masih kurang yakin untuk meninggalkan profesion yang sedang dilakukan sekarang untuk melakukan kerjaya fotografi sepenuh masa. Ramai di antara mereka yang bertanyakan soalan, apakah bidang ini mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan atau mampukah bidang ini menjamin masa depan mereka dan keluarga mereka.

Untuk golongan ini, jawapan saya mudah. Sekiranya anda tidak mampu melakukan pengorbanan sikap maka teruskanlah dengan apa yang anda lakukan hari ini tanpa perlu lagi bertanya soalan. Hakikatnya, jawapan sudah ada di depan mata anda. Saya amat yakin, tanpa pendapatan yang lumayan, melebihi pendapatan seorang arkitek, tanpa keseronokan dan kepuasan bekerja yang tidak dapat dinikmati dalam bidang arkitek, Bazuki Muhammad mungkin tidak akan bertahan sehingga hari ini.

Walaupun telah dimamah usia, Puan Jenny ibu kepada Julieta Granada dari Sepanyol sanggup berkorban menjadi kedi kepada anaknya di kejohanan golf Sime Darby LPA

Ramai lagi contoh jurugambar terhebat di luar sana yang berasal dari bidang lain tetapi akhirnya mengabdikan diri dalam bidang fotografi. Apakah mereka itu berjaya dengan hanya disebabkan mereka menggunakan jalan singkat? Jawapannya sudah pasti tidak. Kejayaan yang mereka perolehi hari ini sebenarnya berpunca dari kekuatan mental dan daya saing mereka yang tinggi. Mereka melakukan pengorbanan sikap yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh golongan-golongan tertentu. Jika sebelum ini mereka berpakaian kemas, bertali leher ke pejabat, mempunyai bilik sendiri dengan kelengkapan IT yang lengkap, kini semua itu mungkin tidak ada. Pusat media di kebanyakan lokasi-lokasi kejohanan sukan akan menjadi pejabat sementara mereka. Tiada lagi penyaman udara di bilik, sebaliknya hujan, angin dan panas cahaya mentari menjadi teman sekerja mereka. Mereka harus berebut-rebut, bertolak-tolak hanya untuk merakamkan sekeping gambar. Mereka harus berjalan kaki beberapa kilometer hanya untuk mencari subjek yang boleh dijadikan tajuk utama berita. Di sinilah mereka perlu melakukan pengorbanan sikap untuk berubah dan menerima kerjaya baru mereka. Jika mereka masih menganggap, aku tidak boleh melakukan semua itu kerana aku berkelulusan dari universiti terbaik di luar negara, aku mempunyai bergulung-gulung ijazah dan diploma maka mereka akan gagal dalam kerjaya ini. Fakta, ramai sebenarnya yang tidak sanggup melakukan pengorbanan sikap ini dan GAGAL.

 

Pengorbanan Meraikan Hari Lebaran
Ini mungkin jarang terjadi. Tetapi sebagai seorang jurugambar profesional, segala-galanya berkemungkinan. Untuk itu anda seharusnya bersedia dari segi mental.
Saya pernah bertugas di pagi 1 Syawal di New Delhi India pada tahun 2010. Bertugas di luar negara di pagi syawal sesuatu yang amat sukar untuk saya lakukan. Pelbagai perasaan menyelebungi diri saya pada waktu itu. Inilah kali pertama saya tidak meraikan 1 Syawal bersama keluarga. Namun saya kuatkan semangat dan bersikap profesional demi tugas yang telah diamanahkan.

Pada tahun ini, sekali lagi saya terpaksa bertugas pada 10 Dzulhijjah, hari raya pertama AidilAdha. Sekali lagi kerjaya ini menuntut sikap profesional saya. Dan akhirnya saya sedar, inilah sebuah pengorbanan yang tidak ternilai.

Sebenarnya banyak lagi pengorbanan yang harus kita lakukan dan akan kita lakukan sepanjang bekerjaya dalam bidang ini. Namun apa yang pasti, anda harus benar-benar berani dan mempunyai jatidiri yang kuat untuk berkorban.

Berbanding dengan kerjaya yang lain, kerjaya sebagai seorang jurugambar sukan menuntut pengorbanan yang tinggi dan saya percaya, hanya mereka yang sanggup berkorban mampu bertahan dan berjaya.

 

Ingatlah,
Kerjaya ini perlukan Pengorbanan,
Pengorbanan perlukan Kesabaran
Jadi sudah cukupkah anda bersabar untuk berkorban dalam kerjaya ini ?

Sehingga kita bertemu lagi dalam keluaran akan datang. Bersama-sama kita memartabatkan bidang fotografi di negara kita. Salam hormat.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 10 (Dis 2012/Jan 2013)

fg-10-cover