Teks & Foto: Jidin

Dalam psikologi Gestalt, “isomorfisma” merujuk kepada pertalian antara pelbagai rangsangan dan keadaan otak yang dicipta oleh rangsangan itu. “Isomorfisma” secara literal bermaksud kesaksamaan atau kesamaan. Dalam ilmu matematik “isomorfisma” bermaksud di antara dua sistem memerlukan pertalian satu-sama-satu di antara unsur-unsur mereka (iaitu, setiap elemen satu sistem sepadan dengan hanya satu elemen sistem lain, dan sebaliknya) yang juga mengekalkan struktur. Dalam psikologi Gestalt, pertalian satu-sama-satu antara unsur-unsur tidak dikehendaki, yang dikehendaki ialah persamaan struktur.
Mengikut pendapat Max Wertheimer, salah seorang tokoh dalam teori Gestalt. Beliau mengaitkan “isomorfisma” dengan persepsi perasaan, emosi, dan pergerakan ekspresif. Jika dikaitkan penggunaan Teori Gestalt “Pertalian Isomorfisma” dalam fotografi, boleh dikatakan secara bahasa mudah ialah penonton hanya mentafsirkan satu makna sahaja, berbanding tafsiran sepatutnya terdiri daripada pelbagai makna yang tersirat pada gambar yang sama.“Pertalian Isomorfisma” bermakna bahawa kita bertindak balas kepada “pengertian” terhadap imej. Apabila kita melihat imej seperti lukisan atau gambar, kita mentafsirkan erti berdasarkan pengalaman dan kenangan yang pernah kita alami. Oleh yang demikian setiap individu mempuyai pentafsiran dan pengertian yang berbeza terhadap imej yang dilihat.

Imej yang dirakam memberi makna yang pelbagai terhadap setiap individu. Ini bergantung kepada lokasi, emosi yang terakam, situasi yang berlaku dan mesej yang ingin disampaikan melalui imej yang dirakam. Kadangkala apabila melihat sesuatu imej yang dirakam, imej tersebut dapat membawa ingatan lampau kepada zaman kanak-kanak, percutian bersama keluarga, peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian dan sebagainya.
Sebagai contoh, jika kita melihat imej berupa makanan, maka mungkin ianya akan mengingatkan kita tentang rasa lapar, makanan yang digemari, restoran yang pernah kita pergi, peristiwa yang ada kaitan dengan makanan tersebut dan sebagainya. Tidak semestinya gambar makanan hanya memberi pengertian lapar sahaja, kerana setiap individu mempunyai makna tersendiri terhadap imej ataupun gambar yang dilihat.
Bagaimanakah konsep “Pertalian Isomorfisma” ini memberi impak kepada dunia fotografi anda? Impak kepada dunia fotografi anda sememangnya wujud, melainkan jika sekiranya anda hanya mengambil gambar untuk kegunaan sendiri dan tidak berkongsi dengan orang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan kita akan ada kecenderungan untuk berkongsi gambar yang dirakam bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan, dan masyarakat sekelililng. Oleh yang demikian, perkongsian gambar yang mempunyai pengertian dan emosi amatlah dititik beratkan untuk membuatkan gambar yang dikongsi akan diberi perhatian dan perkongsian “erti” tertentu kepada individu yang melihat gambar tersebut. Gambar yang dikongsikan bukan saja sekadar catatan pengalaman perjalanan anda, tetapi ianya lebih kepada perkongsian gambar yang banyak memberi makna kepada kehidupan dan masyarakat sekeliling.

Apabila anda merakam gambar dan berniat untuk memilih, menyunting dan berkongsi dengan orang ramai, antara yang perlu difikirkan ialah, adakah saya memilih dan menyunting gambar ini kerana saya suka? Ataupun kerana ianya mempunyai pengertian tertentu dan boleh memberi kesan emosi tertentu kepada yang melihatnya? Adakah imej anda menyampaikan makna yang lebih sejagat dan akan memberi inspirasi kepada tindak balas emosi orang lain? Maklumbalas tentang gambar yang dirakam boleh kita peroleh maklum balasnya dari kawan-kawan dan juga ahli keluarga. Dalam dunia tanpa batasan sekarang, kita juga boleh mendapatkan maklum balas dari kenalan di laman-laman sosial seperti Facebook, blog dan lain-lain lagi. Adakah gambar matahari keluar atau matahari terbenam yang dikongsikan akan memberi erti dan impak terhadap orang lain atau hanya sekadar gambar matahari naik atau terbenam yang tidak memberi apa-apa makna dari segi pengertian dan emosi?
Pengetahuan terhadap komposisi sesuatu imej yang dirakam akan memberi kelebihan dalam usaha untuk menyampaikan mesej daripada gambar yang dirakam. Perletakan subjek pada titik-titik tertentu boleh memberi makna yang berbeza. Sebagai contoh, gambar yang dirakam dengan kedudukan objek utama berada bersama-sama subjek lain boleh memberi makna berbeza jika dibandingkan dengan objek utama yang difokus dengan tepat dan jelas. Ianya boleh memberi makna keintiman, rapat, dan persahabatan. Manakala imej yang meletakkan subjek utama dengan perletakan subjek yang ada kaitan dengan kawasan negatif dan positif juga boleh memberi makna dan impak yang berbeza kepada yang melihat gambar tersebut. Terdapat imej yang boleh menghantar mesej putus asa atau kemurungan, yang kedua mesej keintiman atau persahabatan.
Untuk mendapatkan imej yang mempunyai pengertian adalah satu cabaran kepada jurugambar. Ianya juga adalah titik yang memisahkan anda sebagai jurugambar biasa ataupun jurugambar yang akan diingati.

Antara perkara lain yang perlu diambil perhatian juga ialah isu yang berkait dengan perletakan tajuk pada gambar seperti jika jurugambar menghantar gambar untuk pertandingan fotografi. Ini kerana tajuk yang diberikan akan menyebabkan individu lain terpengaruh dengan tajuk tersebut dan membuatkan mereka berkececenderungan untuk menghakimi gambar tersebut berdasarkan tajuk yang diberikan. Padahal imej itu mungkin boleh dihakimi tanpa prejudis dan lebih bebas jika tajuk tidak disertakan bersama-sama imej tersebut. Tajuk juga bertindak untuk mengarah dan juga boleh mengelirukan. Tajuk yang diberikan oleh seorang jurugambar boleh mengarahkan penonton kepada arah tertentu, tetapi tanpa batasan tajuk, penonton berpotensi untuk mengetahui “makna” yang lebih mendalam dan mungkin juga jurugambar sendiri tidak terlintas “makna” lain daripada imej tersebut. Seumpama interpretasi yang berbeza terhadap karya yang dihidangkan oleh pelukis abstrak. Penonton lebih bebas untuk menafsirkan “makna” hasil karya tersebut dari pelbagai sudut berbanding jika artis tersebut telah meletakkan satu tajuk khusus kepada karya tersebut.
Sudah tentu, terdapat isu perbezaan bahasa dan budaya itu sendiri. Jika tajuk itu penting, bagaimana pula jika ia ditulis dalam bahasa yang penonton tidak fahami? Adakah imej akan terhenti mempunyai “makna”? Sudah tentu tidak. Seni, secara umum, dan fotografi khususnya, adalah bahasa sejagat. Ianya berinteraksi kepada kita semua dalam memberikan “makna” tertentu .
Oleh yang demikian, gambar yang terbaik ialah gambar yang memberikan “makna” kepada jurugambar dan penonton dan bukan hanya sekadar gambar yang cantik dan sedap mata memandang sahaja. Ianya bukan sesuatu yang mudah dan merupakan cabaran hebat kepada jurugambar untuk menghasilkan gambar yang bermakna dan memberi impak mendalam terhadap jurugambar dan juga penonton.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 07 (Jun/Julai 2012)
