Temuramah: Ashraf Saharudin Foto: Din Arshad

Bagaimana segalanya bermula?
Bagaimana saya bermula? Baiklah, sebenarnya segalanya seolah-olah suatu kebetulan. Sewaktu di tingkatan lima, saya ada seorang kawan yang sangat meminati bidang fotografi, nama beliau Adnan Ridwan. Pada ketika itu dia suka merakam potret dengan menggunakan kamera TLR (twin lens reflex). Kamera ni mempunyai dua lensa, lensa di atas untuk pemfokusan dan di bawah untuk merakam, setiap apa-apa yang dilihat melalui penbidik tidak semestinya tepat seperti yang dirakam dan saya dapati ini sesuatu yang menarik untuk dicuba. Dia seolah-olah memberi sebuah inspirasi kepada saya dan kebetulan pula pada ketika itu saya masih lagi mencari-cari bidang yang saya ingin ceburi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1976, saya masih kurang pasti jurusan atau apakah bidang yang saya ingin ceburi. Secara kebetulan pula saya ada seorang rakan yang bertugas sebagai pengurus ladang di kampung halaman saya di Mersing. Rakan saya ini mempunyai latar belakang pengurusan ladang. Sebagai rakan, saya sering datang melawat ke rumah beliau dan ditakdirkan pula beliau juga seorang yang memang meminati bidang fotografi. Ketika itu saya masih menunggu keputusan SPM pada tahun 1977. Kemudian beliau bertanya kepada saya, apakah yang saya ingin lakukan setelah keputusan keluar? Kemudian beliau mencadangkan saya untuk mengambil jurusan fotografi dan menceburi bidang fotografi secara serius kerana dibandingkan dengan beliau, beliau hanya mengambil bidang ini sebagai hobi dan itu sudah cukup untuk membuat saya teruja melihat kerja-kerja merakam dan mencetak yang beliau lakukan sendiri. Saya juga ada menggunakan khidmat beliau untuk mencetak dengan kadar bayaran sekitar sepuluh ke lima belas sen untuk sekeping gambar. Perkara yang membuatkan saya lebih yakin ialah beliau seorang graduan Institut Teknologi Mara (ITM) dalam jurusan pengurusan ladang dan beliau mencadangkan saya mengambil jurusan fotografi yang juga telah ditawarkan pada ketika itu di ITM. Ketika sedang menunggu keputusan keluar, rakan sekolah saya Adnan tadi telah menelefon saya dan mengajak saya untuk menyertai sebuah program belia di Pertak, Kuala Kubu Baru yang diadakan percuma. Perkara yang perlu kami buat ketika itu hanya mendaftar dan sesi temuduga ringkas. Program ini dianjurkan sebagai sebuah pengisian kepada para belia terutamanya mereka yang sedang menanti keputusan SPM. Setelah ditemuduga saya berjaya mendapat tempat di Pertak dan menuntut di sana selama enam bulan. Setelah keputusan SPM dikeluarkan, saya pun memohon untuk melanjutkan pengajian di ITM. Dengan asas yang saya peroleh di Pertak, sebaik sahaja saya menamatkan kursus di sana, saya berjaya mendapat tempat di ITM dan terus melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Fotografi di ITM pula. Sebaik sahaja saya tamat pengajian diploma, sebelum konvokasi, pada tahun 1981 saya ditawarkan di sebuah agensi pengiklanan, Johan Design. Maka bermulalah rentetan titik tolak kerjaya saya dalam bidang fotografi ini kerana di sana saya mula didedahkan dengan senario sebenar industri terutamanya bidang fotografi pengiklanan. Pada ketika itu, Johan Design merupakan satu-satunya agensi yang menggunakan sistem canggih seperti Broncolor, Hasselblad, Seina dan bermacam-macam peralatan yang dikategorikan terbaik pada ketika itu. Datuk Johan sendiri seorang jurugambar dan sangat meminati bidang ini. Saya berkhidmat dengan Johan Design selama hampir lapan tahun sebelum saya membuka syarikat sendiri sekitar akhir tahun 1988 sehingga sekarang. Lebih 30 tahun saya menceburkan diri dalam bidang fotografi dan minat tersebut tidak pernah pudar sedikit pun.

Fotografi dulu dan kini.
Fotografi pada tahun 80an bukanlah sebuah bidang yang begitu terkenal. Fotografi adalah sebuah bidang yang dirasakan tidak memiliki sebarang prospek kerjaya. Malah ada yang bertanya, “Apa nak buat lepas tamat belajar? Tangkap gambar passport atau tangkap gambar majlis kahwin?”. Tiada siapa yang melihat bidang ini seperti sekarang. Dahulu masyarakat melihat fotografi sebagai kelas kedua, graduan fotografi dilihat sekadar hanya mampu berkhidmat di kedai gambar, merakam gambar perkahwinan dan sebagainya. Perkara ini turut memberi kesan terhadap moral kami graduan lepasan diploma fotografi pada ketika itu kerana bukan hanya seorang yang berpendapat begitu, tetapi rata-rata mentaliti masyarakat berfikiran yang sama.
Fotografi merupakan sebuah proses yang perlahan pada zaman itu, kami menggunakan filem, memproses, cetakan dan sebagainya. Tetapi itu semua membuatkan kami jurugambar pada zaman filem boleh dikatakan lebih sensitif dan berhati-hati. Berbeza dengan kebanyakan generasi-generasi baru, cara mereka melihat fotografi agak berbeza, kerana dengan teknologi yang semakin pantas, minda jurugambar juga seolah-olah turut terikut-ikut. Kami di zaman filem perlu membuat setiap keputusan secara berhati-hati, tidak gopoh dan perlu memahami setiap proses yang berlaku, bermula dari pencahayaan, sifat fizik optik, tindak balas kimia dan juga matematik fotografi itu sendiri. Semuanya perlu melalui beberapa proses rumit bagi mendapatkan hanya yang terbaik dan sifat-sifat itu kekal sehingga sekarang. Bagaimana cahaya bergerak? Sudut pantulan, mengapa menggunakan payung? Apa jenis atau sifat filem yang digunakan? Fotografi hitam putih dan bermacam-macam lagi. Apabila saya menceburi bidang pendidikan, perkara-perkara inilah yang saya ingin kongsikan sebenarnya kerana di zaman digital ini, perkara-perkara yang menjadi tunjang disebalik sebuah imej yang bagus, semua ini seakan-akan hilang seperti hilangnya filem-filem di pasaran. Sensitiviti dan ketelitian terhadap subjek, latar belakang, hadapan, objek sekeliling dan sebagainya ini semakin kurang diberi perhatian, ‘seni melihat’ itu kurang diberi perhatian mendalam. Kami mengikuti kelas-kelas seni halus bagi membentuk sebuah pemikiran yang matang dalam melihat sesuatu. Kami diajar oleh seorang pensyarah yang juga artis seni halus dan jika saya tidak silap, nama beliau Dr. Choong Kam Kaw dan kami juga diajar dari sudut grafik dan sebagainya. Jika anda memiliki latar belakang yang hampir lengkap seperti ini, dan diajar pula oleh mereka yang pakar dalam sesuatu bidang itu, maka itu lebih baik. Jika seseorang individu itu ingin menceburi bidang fotografi ini tanpa mengkaji setiap aspek asas fotografi itu sendiri, itu salah. Tiada jalan mudah untuk menjadi seorang jurugambar yang betul-betul matang dan beretika, tiada jalan pintas untuk menjadi seorang jurugambar yang bagus. Fotografi seolah-olah belajar untuk mengeja, sebuah proses pembelajaran yang bermula dari pengenalan abjad, huruf dan nombor. Kemudian beralih kepada kaedah menggabungkan semua itu membentuk ayat, perenggan dan sebuah penulisan yang lengkap.
Ilmu dan bidang fotografi.

Bagi saya, meskipun saya sudah berada bersama-sama industri ini lebih 30 tahun, saya masih mencari ilmu-ilmu baharu dan sentiasa memastikan saya turut serta bersama-sama teknologi yang kian maju. Ilmu fotografi ini seperti sebuah proses pembelajaran sepanjang hayat, kerana teknologi itu sentiasa membangun. Jika sepuluh tahun dahulu mungkin hanya enam megapiksel, kini untuk format 35mm, teknologi sudah mencecah 36megapiksel, enam kali ganda dalam masa kurang sepuluh tahun. Teknologi baharu boleh dipelajari dengan mudah, tetapi tanpa asas yang kukuh, teknologi hanyalah sekadar teknologi tanpa pengisian seni yang lengkap dan kuat. Seperti kursus yang saya jalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kami mahu memberi asas yang kuat kepada para pelajar. Sama peranannya seperti kursus-kursus pengajian bidang fotografi yang dijalankan di institut pengajian awam dan swasta yang lain. Sebuah struktur bangunan memerlukan tapak atau asas yang kukuh, tanpa ini semua, lambat laun struktur itu akan tumbang runtuh. Begitu juga jurugambar.
Asas-asas inilah yang kami bina dalam setiap kelas-kelas pengajian kami, contohnya lensa, mengapa sebuah lensa itu dibina dengan ciri-ciri yang berlainan? Mengapa bukaan aperturnya berbeza? Mengapa f1.2, f5.6? Perbezaan jarak fokal 35mm, 50mm. Apakah lensa standard, lensa telefoto, kaedah dan kesesuaiannya? Semua ini anda harus faham dan setiap satunya memiliki sebab yang berbeza. Terdapat sesetengah jurugambar seolah-olah tiada arah dalam merakam gambar, mereka tidak tahu kenapa mereka perlu menggunakan 35mm, 17mm lensa bersudut luas dan sebagainya. Bercakap soal sudut tirus dan kompak, lensa potret ini semua, maka sedarlah sebenarnya banyak lagi perkara-perkara seseorang jurugambar itu perlu faham. Tetapi ini semua berbalik kepada tujuan asal seseorang itu menceburkan diri dalam bidang ini. Jika fotografi itu hadir cukup sekadar hobi dan trend, maka saya tidak perlu kata apa-apa, tetapi jika seseorang itu betul-betul ingin serius dalam bidang ini, ingin menjadi seorang jurugambar yang bagus, berilmu dan cintakan bidang ini, maka mereka perlu melalui proses pembelajaran ilmu seperti ini.
Kebanjiran ‘jurugambar’
Seperti yang saya katakan tadi, terdapat banyak perbezaan antara seorang jurugambar yang betul-betul meminati, mendalami bidang ini dengan mereka yang sekadar hanya memiliki sebuah kamera DSLR. Teknologi hanyalah sebuah fenomena sementara, seperti juga telefon bimbit yang menjadi trend masa kini yang akhirnya hanyalah sebuah telefon. Kamera DSLR juga begitu, apapun situasi yang berlaku, kamera hanyalah sebuah alat atau instrumen. Tetapi jika difahami kata-kata ini, “Segalanya bergantung kepada individu yang dibelakangnya” seorang jurugambar dengan ilmu fotografi, melihat sesuatu dari perspektif berbeza, seni melihat dan dibantu pula kemahiran teknikal yang bagus bakal membezakan segalanya. Jika tiada pula keseimbangan antara seni dan teknikal, untuk maju dan bergerak seiring dengan permintaan pasaran sekarang adalah sukar. Maka kombinasi ini penting, seni dan teknikal, kerana itulah yang bakal membezakan seorang jurugambar yang bagus dengan individu yang lain. Namun harus setiasa diingat, dalam apa-apa jua keadaan sekali pun, fotografi tetap sebuah cabang seni, itu tidak boleh dinafikan. Di dalam apa-apa jua situasi sekali pun, hanya mereka yang memiliki unsur seni ini akan terus kekal sebagai seorang jurugambar yang bagus. Kepada jurugambar di luar sana, sentiasa lihat fotografi sebagai cabang seni, bukan sekadar trend semasa. Setiap elemen yang terlibat dalam fotografi adalah unsur-unsur seni, garisan, perspektif, tektur, reka bentuk dan sebagainya adalah unsur seni. Tanpa ini semua, kamera anda hanyalah sekadar sebuah alat seperti yang saya katakan tadi.
Pada zaman sekarang, pelbagai ragam jurugambar dapat dilihat, ada yang hanya tahu berkata-kata, bercakap segalanya mengenai fotografi tetapi tidak mengeluarkan sebarang hasil kerja fotografi. Sesetengah individu pula hanya tahu bercakap mengenai peralatan, bercakap berkisar mengenai peralatan yang canggih tetapi hasil kerjanya tidaklah sehebat peralatan yang digunakan dan boleh saya katakan, individu-individu seperti ini tidak akan kekal lama di dalam bidang ini. Suatu hari mereka akan tenggelam. Adakah peralatan anda membuatkan anda menjadi lebih kreatif? Tidak. Segalanya bergantung kepada pengisian ilmu yang terdapat di dalam pemikiran seseorang. Hanya mereka yang betul-betul memahami bidang ini akan terus kekal dan menyumbang kepada pembangunan industri seni fotografi negara.

Dari seorang jurugambar kepada tenaga pengajar.
Buat pengetahuan semua saya sudah mula terlibat dalam bidang pendidikan fotografi sebagai tenaga pengajar sejak tahun 1985 lagi. Sudah hampir 27 tahun saya mengajar dan mendidik itu sudah sebati dalam diri saya. Saya seorang yang suka berinteraksi, berkongsi dengan masyarakat terutamanya para pelajar saya. Selain daripada itu, kerjaya ini berubah menjadi sebuah tanggungjawab, tanggungjawab saya terhadap masyarakat dan negara. Perkongsian ilmu itu penting untuk pembangunan sesebuah komuniti masyarakat itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, saya bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu yang betul, untuk ini saya memerlukan sebuah platform yang kukuh dan stabil. Maka bermula daripada situ UIAM hadir sebagai pilihan yang bagus untuk berkongsi segala ilmu yang saya dan tenaga-tenaga pengajar yang lain ada. Saya tidak memiliki kapasiti atau kemudahan seperti yang UIAM tawarkan, tetapi saya ingin mengajar dan berkongsi di samping kerjaya saya sebagai seorang jurugambar sepenuh masa. Saya masih seorang jurugambar dalam apa jua keadaan sekali pun, saya masih merakam gambar dan akan terus merakam gambar sehingga ke akhirnya kerana saya seorang jurugambar. Cuma pada masa yang sama saya ingin berkongsi, itu sahaja. Harus diingat, setiap kali kita berkongsi atau menyampaikan sesuatu ilmu yang bermanfaat, kita juga sebenarnya akan mendapat pulangan yang setimpal malah mungkin lebih. Ini kerana, setiap kali persedian untuk mengajar dibuat, ulangkaji dan pembacaan baharu juga akan dibuat, maka di situlah ada kalanya sesuatu ilmu baharu dikaji secara terperinci dan pemahaman kita terhadap sesuatu perkara juga menjadi lebih mendalam dan mantap. Dengan semua sumber-sumber ilmu yang diperoleh, jika disimpan adalah sangat merugikan, kerana sudah menjadi sebahagian dari diri saya untuk berkongsi, mengajar kepada orang lain sejak dulu lagi.
Maka saya memikirkan suatu kaedah yang paling berkesan, efektif dan segala yang saya maksudkan terdapat di sini, UIAM. Fasiliti yang bagus, suasana pembelajaran yang selesa, alat bantuan mengajar yang sangat-sangat berkesan kepada proses pemahaman para pelajar. Sistem sokongan yang bagus ditambah dengan pengisian yang mantap dari mereka yang hadir dengan latar belakang hebat industri fotografi itu sendiri, sememangnya ramuan yang sangat berkesan. Saya sangat senang dengan sokongan yang diberi pihak universiti sendiri, UIAM terutamanya Pusat Pembangunan Persekitaran atau CBE, Kulliyah Arkitektural dan Seni Reka UIAM yang diketuai Dr. Shamzani kerana sangat memahami situasi ini. Mereka sentiasa berikan yang terbaik untuk program fotografi yang dijalankan di sini, maka dengan itu semuanya berjalan dengan berkesan dan lancar. Bagi pihak saya pula, saya cuba membawa mereka yang terbaik daripada industri, semua tenaga pengajar kami adalah antara yang terbaik dalam bidang masing-masing dan mereka ini adalah golongan professional yang masih lagi mempraktikkan subjek yang mereka ajar.

Perbezaan pendekatan yang digunakan.
Dibandingkan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institut pengajian tinggi yang lain, tidak wujud sebarang unsur persaingan kerana kami bertongkat pada paksi yang sama cuma yang membezakan adalah kaedah pembelajaran dan pendekatan yang lebih kepada kesediaan dari sudut industri. Apa-apa yang terdapat di institut pengajian lain akan terus memainkan peranan penting sebagai suatu kaedah pendekatan akademik yang berkesan sejak dahulu hingga sekarang dan itu tidak sama sekali dinafikan. Berbezanya kami adalah tenaga pengajar yang memang berkhidmat secara terus dengan industri fotografi itu sendiri samada sebagai jurugambar, jurukamera, tenaga kreatif industri dan sebagainya. Kami berkongsi pengetahuan dari sudut industri dan pendekatan ini sememangnya sesuatu yang baru dan masih muda jika hendak dibandingkan dengan yang lain. Seperkara lagi yang mungkin membezakan kursus yang ditawarkan di UIAM ini adalah dari segi kumpulan pelajar yang mendaftar. Kumpulan pelajar ini bukanlah dari lepasan SPM atau matrikulasi, kebanyakan mereka terdiri daripada kakitangan awam dan swasta, golongan professional dan mereka yang betul-betul meminati bidang ini tanpa memerlukan mereka untuk memberikan komitmen sepenuh masa terhadap kursus. Mereka boleh bekerja atau belajar pada hari bekerja dan menghadiri kursus di UIAM pada hujung minggu. Boleh saya katakan kursus yang ditawarkan di sini merupakan alternatif kepada kursus-kursus sepenuh masa yang ditawarkan di institut pengajian lain dan kami sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Kami di bidang pendidikan bersama-sama membangunkan industri fotografi tanah air sebagai sebuah industri yang memiliki kepentingannya tersendiri dalam pembangunan masyarakat negara ini seiring dengan industri-industri besar yang lain. Perkara pokok yang penting di sini bukanlah sekadar segulung sijil, diploma atau ijazah, tetapi yang lebih penting daripada itu adalah pengisian di dalam sesebuah kursus yang dijalankan. Pengisian itu mungkin tidak dapat diperoleh di tempat lain.
Semoga usaha dalam membentuk jurugambar berilmu dan berdaya saing ini akan terus berjaya demi memartabatkan industri fotografi negara sebagai sebuah negara yang penuh dengan keseniannya yang tersendiri. Di dalam keadaan sekarang, persaingan sengit, kecanggihan teknologi dan sebagainya, seperti yang saya katakan tadi, hanya mereka yang betul-betul memahami atau mendalami bidang seni ini yang akan terus kekal dan terus menyumbang kepada pembangunan industri dan negara. Ilmu yang seimbang daripada unsur seni dan teknikal adalah kunci kepada kejayaan seorang jurugambar.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 06 (April/Mei 2012)
