Teks & Foto: Sharkawi Che Din

Pengenalan
Fotografi bercahaya rendah (low light photography) merujuk kepada subjek atau komposisi yang menerima atau disinari dengan jumlah cahaya yang terhad. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian terhadap definisi fotografi bercahaya rendah kerana subjek yang dirakam di dalam bilik yang diterangi cahaya lampu juga boleh dianggap sebagai subjek bercahaya rendah. Secara praktikalnya, apa-apa sahaja subjek atau komposisi yang menerima jumlah cahaya yang kurang boleh dirujuk sebagai subjek atau komposisi yang bercahaya rendah (Nissim, 2010).
Fakta ini boleh dirujuk sebagai asas kefahaman konsep fotografi bercahaya rendah dan antara subjek yang seringkali menjadi pilihan jurugambar dalam memaparkan kefahaman ini adalah gambar matahari terbenam, gambar pada waktu malam dan sebagainya. Contohnya, merakam gambar pada waktu senja berupaya menghasilkan kesan ‘khas’ yang sukar diperoleh jika ia dirakam pada waktu yang biasa (keadaan cahaya terang pada waktu tengahari) kerana kualiti cahaya pada ketika ini menyumbang kepada penghasilkan nilai cahaya dan kualiti warna yang diserakkan secara sekata dan seimbang. Ini akan menyebabkan permukaan yang disinari dengan cahaya ini akan membentuk ilusi tiga dimensi.
Kategori Situasi Bercahaya Rendah
Untuk menghasilkan karya foto bercahaya rendah yang berkualiti tinggi, kefahaman mengenai aspek-aspek estetika dan teknikal perlu dikuasai secara seimbang.
Sebelum aspek-aspek estetika dan teknikal dapat dibincangkan secara lebih terperinci, kefahaman mengenai jenis-jenis situasi atau subjek bercahaya rendah perlu dibincangkan terlebih dahulu. Nissim (2010), mencadangkan tiga kategori cahaya rendah iaitu jelas, cahaya rendah dan gelap.
1) Kategori Jelas (Visible): Visible dalam konteks ini merujuk kepada situasi subjek atau lokasi yang diseliputi sebahagian kawasan tertutup menyebabkan terhasilnya bahagian bayang (gelap) sementara kawasan yang tidak termasuk dalam kawasan bayang akan disinari dengan cahaya penuh.
2) Kategori cahaya rendah (Low Light): Cahaya rendah dalam konteks ini merujuk kepada cahaya pada waktu senja yang beransur-ansur menjadi gelap (malam).
3) Kategori gelap: Kategori gelap merujuk kepada waktu malam yang biasanya diterangi oleh cahaya buatan seperti lampu-lampu jalanan dan sebagainya. Tanpa cahaya buatan, persekitaran akan menjadi gelap dengan hanya disinari sumber cahaya bulan sahaja.
Kemahiran Teknikal
Kemahiran teknikal berperanan penting dalam semua aspek fotografi digital kerana ia merupakan asas kepada penghasilan gambar yang berkualiti. Namun begitu, setiap cabang pengkhususan fotografi memerlukan penekanan teknikal yang berbeza dengan cabang-cabang fotografi yang lain. Contohnya penekanan teknikal terhadap fotografi makro tentulah tidak sama dengan penekanan terhadap fotografi sukan permotoran terutamanya daripada aspek pemilihan ISO, penggunaan meter cahaya, pemilihan kaedah, pemilihan jenis fokus dan lain-lain. Sebagai asas kefahaman, rakaman fotografi bercahaya rendah adalah berkait rapat dengan gabungan cahaya semulajadi (matahari dan bulan) dengan cahaya buatan manusia (lampu jalanan dan lain-lain).

Persediaan Rakaman Subjek Bercahaya Rendah:
Penggunaan ISO yang rendah
Ramai beranggapan bahawa, rakaman subjek yang bercahaya rendah mestilah menggunakan ISO yang tinggi iaitu antara ISO 400 atau lebih. Pernyataan ini memang ada kebenarannya, namun ada beberapa pengecualian yang memerlukan penelitian mendalam. Contohnya, jika meter cahaya memberikan bacaan f11, kelajuan shutter adalah 1/15 pada ISO 100, maka kemungkinan untuk mendapatkan gambar yang tajam adalah sukar tanpa menggunakan tripod kerana penggunaan dedahan yang panjang memungkinan kamera bergoyang atau potensi subjek untuk bergerak adalah tinggi. Masalah ini dapat diselesaikan menerusi penggunaan ISO yang tinggi seperti ISO 800. Hasilnya, kelajuan shutter asal 1/15 akan berubah menjadi lebih tinggi seperti 1/60 bagi membolehkan gambar yang tajam dirakam tanpa menggunakan alat bantuan seperti monopod ataupun tripod. Walau bagaimanapun, dalam konteks rakaman subjek yang bercahaya rendah terutamanya subjek seperti “cityscape” atau arkitektural, penggunaan kelajuan shutter yang berdurasi panjang atau perlahan membantu untuk menghasilkan gambar bercahaya rendah yang berimpak tinggi. Kesimpulanya, penggunaan ISO yang rendah akan memaksimumkan kualiti gambar terutamanya mengelakkan kesan ‘noise’ yang sering menjadi masalah utama kepada pengguna kamera digital. Penggunaan ISO yang rendah akan meminimumkan kesan noise sementara penggunaan ISO yang tinggi akan menyebabkan kesan noise kelihatan dominan. Masalah ini menjadi lebih kritikal jika gambar tersebut perlu dicetak pada saiz yang besar iaitu melebihi saiz A3. Walaupun kesan noise dapat ‘dihilangkan’ menerusi beberapa proses ‘pembersihan’ yang boleh dilakukan menerusi perisian suntingan foto digital, tetapi adalah lebih ekonomikal jika ia dapat dilakukan di dalam kamera iaitu ketika gambar tersebut dirakam.
Pemilihan format rakaman RAW vs JPEG
Perbezaan antara format rakaman RAW dan JPEG seringkali menjadi topik perbincangan yang berpanjangan terutamanya di kalangan jurugambar yang baru menceburkan diri dalam bidang fotografi. Fakta-fakta teknikal mengenai kedua-dua format ini dibincangkan secara lebih terperinci di dalam manual kamera yang anda gunakan dan sebagai meringkaskan fakta antara RAW dan JPEG, dapatlah disimpulkan bahawa format RAW adalah format asal yang dihasilkan oleh sensor kamera digital tanpa melalui sebarang penyaringan terhadap maklumat yang dirakam sementara format JPEG pula telah diproses oleh pemproses kamera digital sebelum data atau gambar tersebut dipindahkan ke dalam kad memori. Sebagai pengguna yang memerlukan kualiti gambar yang maksimum, format RAW adalah pilihan yang terbaik kerana data yang diperoleh adalah data asal yang dirujuk sebagai negatif digital (digital negative).
Penggunaan bukaan apertur bersaiz kecil
Bukaan saiz apertur yang kecil penting untuk memastikan ketajaman gambar berada pada tahap maksimum bermula daripada latar hadapan, latar tengah dan latar belakang. Pemilihan apertur yang kecil juga akan menyebabkan subjek-subjek terang seperti lampu-lampu jalanan dan lampu kereta juga berupaya menghasilkan kesan ‘bintang’. Kesan ini biasanya boleh dihasilkan secara buatan dengan menggunakan penuras (filter) khusus yang perlu dipasang di hadapan lensa. Penuras ini boleh dibeli secara berasingan. Menerusi penggunaan bukaan apertur yang kecil juga akan menyebabkan kesan ‘light trails’ kelihatan seperti garisan halus hasil cahaya terang yang dipancarkan oleh lampu kereta yang melintasi di hadapan kamera kerana dedahan jangka masa panjang (long exposure) yang dilakukan.
Memahami karekteristik meter cahaya
Setiap DSLR menyediakan sekurang-kurangnya tiga jenis, dan antara yang popular adalah Multi-Pattern, Center-Weighted dan Spot. Ketiga-tiga jenis meter ini berfungsi mengukur jumlah cahaya pada subjek tetapi setiap satunya memiliki karekteristik dan perlu digunakan dalam situasi pencahayaan yang berbeza. Model kamera yang berkeupayaan tinggi menyediakan beberapa pilihan meter cahaya seperti Multi-Spot, 3D Matrix dan sebagainya.

Menstabilkan kedudukan kamera
Walaupun berlaku sedikit sahaja pergerakan pada kamera ketika dedahan sedang dilakukan, ini akan menghasilkan gambar yang kabur. Untuk mengelakkan kamera daripada bergoyang ketika menekan butang shutter, beberapa kaedah boleh dipraktiskan. Antaranya ialah dengan menggunakan self-timer, cable release dan mengaktifkan arahan Mirror Lock-up (MLU) yang disediakan pada setiap DSLR.
Menanggalkan penuras yang tidak diperlukan
Sebaiknya, untuk mendapatkan kualiti gambar yang terbaik terus daripada lensa ialah dengan menanggalkan apa-apa sahaja penuras yang tidak diperlukan. Walaupun penuras UV biasanya dipasang di hadapan lensa untuk mengelakkan lensa daripada tercalar atau kotor, tetapi sebaiknya ia ditanggalkan untuk tujuan rakaman subjek bercahaya rendah. Langkah ini penting kerana ia akan meninggalkan kesan terhadap kualiti keseluruhan gambar terutamanya jika ia dilihat pada paparan 100%. Jika perlu menggunakan penuras untuk melindungi lensa daripada calar atau kekotoran, gunalah penuras menggunakan kaca yang berkualiti tinggi.
Penggunaan “Hood” Lensa
Penggunaan “hood” lensa yang bersesuaian dapat mengurangkan kesan biasan cahaya pada lensa atau “lens flare” yang akan mencacatkan gambar terutamanya jika rakaman terhadap subjek yang terang seperti punca cahaya lampu jalanan, cahaya matahari dan lain-lain.
Penggunaan tripod
Penggunaan tripod adalah penting dalam merakam gambar bukan sahaja subjek yang bercahaya rendah tetapi apa-apa sahaja rakaman yang memerlukan dedahan yang panjang untuk mengelakkan kamera bergoyang ketika proses dedahan atau rakaman dilakukan. Pemilihan tripod mestilah dilakukan dengan baik supaya ia bukan sahaja mudah digunakan malah boleh dikendalikan dengan pantas supaya jurugambar dapat bersedia untuk merakam gambar pada masa yang telah ditetapkan. Ini penting kerana untuk merakam gambar pada waktu senja, cahaya yang terbaik hanya akan berlaku atau bersinar sekitar 3 minit hingga 7 minit sahaja. Jika masa ini berlalu, anda terpaksa datang semula ke lokasi yang sama pada hari yang berikutnya tetapi terpaksa pula berhadapan dengan risiko perubahan cuaca yang tidak menentu.
Light Painting
Oleh kerana dedahan yang dilakukan adalah panjang iaitu antara 30 saat atau lebih (bergantung pada keadaan cahaya dan bukaan apertur) maka kaedah “light painting” boleh diaplikasikan dengan mudah. Kaedah light painting merujuk kepada teknik ‘menyinari’ subjek secara manual sama ada dengan menggunakan “flash” ataupun dengan menggunakan sumber cahaya yang lain seperti lampu suluh dan sebagainya. Light Painting boleh diaplikasikan untuk menimbulkan perincian pada latar hadapan subjek. Contohnya, untuk menampakkan perincian pada bahagian helaian rumput di latar hadapan subjek dan sebagainya.

Persediaan Rakaman Subjek Bercahaya Rendah: Aspek Estetika
Melihat dan menganalisa lokasi
Lokasi yang baik tentunya akan menyediakan peluang bukan sahaja untuk mendapatkan gambar-gambar yang menarik tetapi jenis gambar yang diperoleh juga adalah unik dan jarang-jarang dirakam oleh kebanyakan jurugambar. Untuk mendapatkan lokasi yang terbaik, beberapa persediaan awal perlu dilakukan secara terancang dan memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Selain daripada mendapatkan lokasi yang terbaik faktor-faktor lain seperti faktor keselamatan juga perlu diambil kira. Jika lokasi yang dipilih adalah kawasan yang jarang dikunjungi orang ramai maka jurugambar perlu berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Ringkasnya, faktor utama pemilihan lokasi adalahberasaskan kepada lokasi luarbiasa dan berupaya menghasilkan kualiti gambar yang jarang-jarang dilihat orang. Faktor keselamatan juga perlu ambil perhatian kerana pada waktu sebelum dan selepas subuh atau waktu senja adalah antara waktu yang tidak ramai orang terutama jika lokasi rakaman adalah lokasi yang terpencil.
Menimbulkan Ilusi Ruang
Jurugambar yang berpengalaman akan berusaha untuk mengekalkan apa yang dilihat daripada alam nyata dan cuba memindahkannya ke dalam bentuk gambar digital. Proses pemindahan ini dilakukan secara terancang supaya karekteristik asal subjek tersebut bukan sahaja dapat dikekalkan malah berupaya menonjolkan ilusi ruang supaya keseluruhan komposisi tersebut tidak kelihatan datar seolah-oleh subjek yang dirakam tersebut tidak memiliki bentuk dan isipadu.
Menggabungkan Elemen Sekunder
Jurugambar juga perlu perlu memerhati elemen-elemen lain yang boleh digunakan sebagai elemen tambahan untuk membantu memperkukuhkan subjek utama yang dirakam. Antara elemen bantu yang biasa ditemui adalah lampu jalanan, cahaya lampu kereta dan lain-lain elemen sedia ada dilokasi yang telah dipilih.
Komposisi Mudah Tetapi Menarik
Keupayaan ‘menyusun’ subjek berdasarkan kepada aturan-aturan standard yang biasa diamalkan untuk memperoleh gambar mengandungi maklumat yang dipersembahkan secara tersusun dan terancang. Memantapkan komposisi dalam gambar yang dirakam memerlukan penguasaan yang kukuh terhadap elemen dan prinsip-prinsip rekaan yang telah lama menjadi asas utama kekuatan dalam sesebuah karya seni yang meliputi kebanyakan cabang seni termasuk seni fotografi.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 04 (Dis 2011/Jan 2012)
