Dunia Analog: Memproses filem, tampak susah kepada mereka yang tidak mahu mendekatkan diri

17/08/2017 | miza

Teks: Ashraf Saharudin

 

Setelah bertahun-tahun dunia analog ditinggalkan industri fotografi, mungkin ada berpendapat memproses filem sendiri tidak relevan pada era digital masa kini atas dasar kos, masa dan kelengkapan. Meskipun begitu, segalanya adalah tentang kepuasan dalam berkarya, nilai sesebuah gambar yang diukur pada proses penghasilan yang klasik ini menjanjikan kepuasan yang luar biasa. Seolah-olah sebuah kereta mewah yang dipasang dengan tangan, begitulah juga dunia analog di era moden masa kini.

Ramai menyangka memproses filem untuk mereka yang “lahir” dalam era digital, ternyata tanggapan itu kurang tepat. Fotografika kali ini membawa anda kaedah atau teknik yang diperlukan bagi menghasilkan sebuah negatif.

1  2  3

1. kelongsong filem yang hendak dicuci diletakkan di dalam beg khas kedap cahaya (bilik yang kedap cahaya juga boleh digunakan) bersama-sama tangki pemproses.

2. dengan menggunakan beg bilik kedap cahaya, filem akan dikeluarkan dari kelongsong dan di gulung pada ‘reel’ sebelum dimasukkan ke dalan tangki pemproses untuk langkah selanjutnya.

3. setelah filem pada ‘reel’ dimuatkan ke dalam tangki pemproses, kini tangki tersebut boleh dikeluarkan dan dedahan pada cahaya tidak membawa sebarang masalah.

4  5  6

Campuran bahan kimia
4. periksa setiap label bagi bahan-bahan kimia yang digunakan bagi menentukan prosedur keselamatan dan skala campuran air yang diperlukan.

5. sediakan peralatan dan bahan kimia(yang telah dicampur dengan air) yang diperlukan seperti bahan pencuci(developer), rendaman henti(stop bath), bahan pengekal(fixer) dan sumber air paip.

6. tuangkan bahan pencuci dan masa yang diperlukan mula disukat.

7  8  9

7. tangki akan dibiarkan dan dibolak-balikkan bagi meratakan bahan pencuci pada permukaan dedahan di dalam tangki. Tempoh masa mengikut arahan yang terdapat pada label bahan pencuci atau jadual yang diberikan oleh pengeluar bahan pencuci tersebut bagi tempoh masa yang diperlukan oleh filem tertentu.

8. setelah tamat masa, pencuci dikeluarkan dan diganti dengan rendaman henti bagi menghentikan tindakan bahan pencuci terhadap dedahan dan masa yang diperlukan mula disukat.

9. tangki akan dibiarkan serta dibolak-balikkan bagi meratakan rendaman henti pada permukaan dedahan di dalam tangki. Tempoh masa mengikut arahan yang terdapat pada label rendaman henti atau jadual yang diberikan oleh pengeluar bagi tempoh masa yang diperlukan oleh filem tertentu. Selain rendaman henti, air paip yang mengalir juga boleh diganakan bagi menghentikan tindakan bahan pencuci terhadap dedahan filem.

10. setelah rendaman henti dikeluarkan, bahan pengekal pula dimasukkan dan proses rendaman serta bolak-balik tangki diulang seperti biasa mengikut tempoh masa yang dinyatakan pada label atau carta bahan pengekal tersebut. Tujuannya adalah untuk memastika negatif yang terhasil dapat disimpan tanpa menjejaskan kualiti imej negatif yang terhasil.

19  11

11. setelah tamat, bahan pengekal dikeluarkan dan air paip dialirkan masuk ke dalam tangki bagi menyingkirkan segala bahan kimia yang terdapat pada negatif yang terhasil.

12. reel tadi dikeluarkan dari tangki dan negatif di keluarkan dari reel.

13. negatif tadi dikeringkan dari air paip dan imej sedia untuk dicetak atau diimbas mesin pengimbas bagi mendapatkan imej sebenar.

 

Berikut adalah prosedur asas pemprosesan filem. Setiap skala campuran bahan-bahan kimia yang diperlukan bergantung kepada pengeluar dan juga jenis filem yang digunakan. Begitu juga dengan tempoh masa yang diperlukan bagi proses bolak-balik tangki pencuci.

 

Berikut adalah data dan bahan kimia yang diguna bagi contoh yang disediakan:

Dedahan Filem: Ilford 120 DELTA 100
Bahan pencuci: Ilfosol 3 (skala campuran 1:9,tempoh rendaman 6minit 30 saat dengan tempoh bolak balik 10saat setiap 60saat rendaman)
Rendaman henti: rendaman henti digantikan dengan aliran air paip selama 2-5minit
Bahan pengekal: Ilford Fixer (skala campuran 1:4, tempoh rendaman 5min dengan tempoh bolak balik 10saat setiap 60saat rendaman)

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 03 (Okt/Nov 2011)

fg_03_cover_o