Pameran Fotografi “Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara”

16/08/2017 | miza
1st_place_Mazlan_Samion
Hadiah Tempat Pertama dimenangi oleh Mazlan Bin Samion Hasil karya bertajuk “Jalan ke syurga”

 

Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) telah mengadakan pameran bertajuk “Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara”. Pameran ini menampilkan gambar-gambar yang terpilih dari penyertaan dalam satu pertandingan fotografi yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh MKIM. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan kreativiti di kalangan komuniti jurugambar serta untuk mendokumentasi tarikan visual mengenai Islam di Asia Tenggara. Lebih dari 120 jurugambar telah menyertai pertandingan ini. Ia meliputi bukan sahaja daripada jurugambar tempatan malah dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Perancis, Jerman dan United Kingdom. Berlatarbelakangkan yang berbeza, jurugambar-jurugambar profesional dan amatur ini telah berkongsi visi dan persepsi mereka mengenai unsur-unsur Islamik di Asia Tenggara yang menempatkan lebih dari 230 juta umat Islam. Gabungan amalan tradisi dan moden telah membentuk identiti yang unik, yang hanya boleh dialami melalui pengembaraan menyelusuri segenap rantau ini. Pameran “Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara” telah berlangsung dari 14 Julai sehingga 14 Oktober 2017. 3 orang pemenang Hadiah Utama dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,000 telah diumumkan dalam satu acara khas pada hari pembukaan. Malah, 50 foto yang terpilih dipamerkan kepada pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk dunia sepanjang tempoh pameran. Bersempena dengan pameran ini juga, Jabatan Pendidikan MKIM telah mengadakan pelbagai program termasuklah sesi ceramah oleh Shuhada Hasim dan bengkel-bengkel sepanjang pameran ini berlangsung. Untuk kanak-kanak pula, pelbagai aktiviti hujung minggu dengan tema fotografi dan budaya Asia Tenggara diadakan pada setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman sesawang www.iamm.org.my/education.

 

2nd Place_Redzuan_Bohari
Hadiah Tempat Kedua dimenangi oleh Redzuan Bohari Hasil karya bertajuk “Penjaga (Siak) Masjid Kerisik di Patani yang dibina pada abad ke-18”

 

3rd place-Rahmat_HIdayat
Hadiah Tempat ketiga dimenangi oleh Rahmat Hidayat Hasil karya bertajuk “Didiklah dari hati”