Teks & Foto: Ashraf Saharudin
Pernahkah anda terlepas saat-saat manis, cemas, bersejarah, genting dan penting sepanjang pengalaman anda merakam gambar?

Dalam situasi-situasi tertentu merakamkan gambar, saat-saat berharga seperti ini sukar diulang dan meskipun boleh diulang, mungkin ketulenan emosi yang cuba dihasilkan tidak seperti yang berlaku secara spontan dalam kajadian sebenar. Ini kerana untuk melakonkan semula saat-saat seperti ini tidak semudah yang disangka kerana jurugambar bukanlah berhadapan dengan seorang pelakon yang berbakat dimana kebanyakan subjek mungkin terdiri daripada orang awam atau dif-dif kehormat apatah lagi haiwan dan kejadian alam semulajadi.
Bagi seorang jurugambar, saat-saat berharga ini seumpama bonus kepada penghasilan sebuah gambar yang bukan sahaja bagus dari segi komposisi, dedahan ataupun ketajaman fokus, malah memiliki nilai-nilai estatika dan penceritaan yang menyentuh jiwa sesiapa yang melihat gambar tersebut. Tidak kiralah samada sesebuah gambar itu memiliki jalan cerita yang sedih atau menggembirakan, gambar yang memiliki emosi-emosi yang menyentuh jiwa suka dan duka ini akan meletakkan gambar tersebut di satu tahap yang lebih tinggi daripada hanya sekadar sebuah gambar biasa.

Saat-saat atau detik-detik berharga ini sering menjadi cabaran besar kepada seseorang jurugambar kerana tempoh saat-saat berharga ini mungkin hanya untuk seketika atau sekelip mata. Genre-genre fotografi yang sering berdepan dengan saat-saat berharga seperti ini selalunya melibatkan subjek-subjek hidup seperti manusia, haiwan dan alam semulajadi. Genre-genre seperti fotografi sukan dan hidupan liar dikatakan antara yang paling mencabar kerana kebanyakan kejadian yang berlaku mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup dan sukar diramal. Manakala bagi genre-genre yang lebih umum seperti acara-acara yang melibatkan orang kenamaan dan dif-dif kehormat, fotografi perkahwinan, dan seumpama dengannya adalah lebih mudah untuk diramal kerana perjalanan majlis yang sedia tertulis dalam buku acara atau ciri kebudayaan yang diamalkan dalam sesebuah majlis perkahwinan sangat difahami oleh jurugambar itu sendiri. Ini memberi ruang kepada jurugambar untuk membuat persiapan dan bersedia menunggu saat-saat yang penting yang bakal berlaku.
Mengambil contoh seorang jurugambar sukan yang sedang merakam sebuah acara tenis, bukan sahaja si jurugambar harus tahu selok-belok acara sukan yang dirakam malah menganalisa saat-saat genting untuk mendapatkan sebuah gambar yang memiliki impak yang besar untuk dimuatkan di dada akhbar dan majalah. Contohnya seperti di saat-saat akhir mata kemenangan, pada ketika ini jurugambar memiliki beberapa pilihan samada wajah kecewa kekalahan atau sorak dan tangisan kegembiraan. Kerutan dahi, gengaman tangan dengan peluh keringat yang bercucuran disamping laungan kepuasan sang juara yang melutut ditengah gelanggang mungkin hanya berlaku sekali seumur hidupnya dan juga kepada si jurugambar.
Bagi genre fotografi seperti acara majlis, aturcara majlis yang diberikan serta lokasi yang tersedia sedikit sebanyak membantu anda membuat persiapan seperti alatan yang cukup dan mendapatkan sudut yang terbaik. Sementara menunggu saat yang dinanti, jurugambar harus peka dengan keadaan sekeliling, pergerakan tetamu jemputan, pengumuman pengacara majlis serta tahu perkara yang bakal berlaku di atas pentas. Saat yang dinanti mungkin gimik perasmian, penyampainan hadiah atau cenderamata, tetamu kehormat atau para menteri berjabat tangan serta tepukan tangan disamping senyuman kegembiraan.
Buat genre fotografi yang melibatkan kebudayaan seperti fotografi perkahwinan, persediaan yang dibuat oleh jurugambar tidak harus terhad hanya kepada perjalanan majlis, malah jurugambar juga harus peka dengan kehadiran individu-individu penting dalam keluarga pengantin seperti ibu dan ayah pengantin, adik-beradik, sanak-saudara serta rakan karib si pengantin. Dalam aturcara majlis perkahwinan penganut agama Islam contohnya, selain saat penting acara akad nikah, jangan lupa pula kepada saat-saat hiba titisan air mata kegembiraan seorang ibu yang melihat dari jauh, wajah-wajah debaran menanti lafaz nikah si suami serta saat-saat sebak si bapa melepaskan tanggungjawabnya membimbing serta mendakap anak perempuannya yang kini bergelar isteri orang. Sesungguhnya saat-saat seperti ini tidak mungkin boleh diulang atau dilakonkan kerana emosi yang terhasil datang secara spontan dari dalam diri seseorang.

Terdapat banyak lagi genre fotografi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan isu mendapatkan saat-saat berharga. Mungkin kepada mereka yang gemarkan fotografi landskap atau studio, perkara ini kurang memberikan masalah. Saat-saat berharga adalah begitu subjektif kepada mereka yang terlibat dalam fotografi berbentuk journalism dan seni halus. Tidak ramai sebenarnya jurugambar yang mampu menghasilkan karya berbentuk journalism atau seni halus dengan baik. Setiap jurugambar atau mereka yang terlibat memiliki sudut pandangan yang unik dan berlainan dan di sini terletaknya keunikan genre-genre fotografi seperti ini. Selain daripada genre ini, kebanyakan definisi saat berharga adalah lebih mudah untuk difahami dan ditampilkan dalam bentuk rakaman imej.
Perkara yang sinonim dalam mendapatkan saat-saat berharga ini adalah persediaan. Persediaan yang dimaksudkan adalah seperti alatan yang lengkap, kuasa bateri yang cukup, kemudahan kepada akses alatan seperti bag alatan yang memudahkan jurugambar mencapai lensa yang diperlukan dan sebagainya. Bayangkan anda sedang bersiar-siar di bandar bersama-sama kamera anda untuk merakamkan suasana dan persekitaran yang menarik. Dalam tempoh masa tersebut, pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku, kejadian-kejadian seperti gelagat manusia yang jarang dilihat tetapi menarik jika dirakam mungkin menjadi imej terbaik anda tanpa disangka-sangka. Selain itu persediaan fizikal dan mental juga harus diberi perhatian. Dengan alatan yang lengkap dan canggih, tanpa persediaan fizikal dan mental seperti tidur atau rehat yang cukup segala akan berakhir dengan sia-sia. Mungkin seseorang jurugambar berjaya mendapatkan gambar saat yang ditunggu, tetapi tanpa perhatian teliti yang diberikan terhadap latar belakang, komposisi yang kurang menarik dan sebagainya, gambar yang dirakam tidak dapat memberi satu hasil terbaik seperti yang diharapkan.

Namun perkara yang paling penting dalam mendapatkan saat-saat berharga ini pertama sekali adalah pengalaman. Pengalaman mengajar seseorang jurugambar tentang persediaan. Pengalaman tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, tidak pula boleh ditukar ganti dan merupakan sebuah proses pembelajaran yang berterusan dan harus ditempuhi untuk menjadi seorang jurugambar yang berjaya. Memang benar pengalaman boleh ditimba dari mereka yang telah melaui sesuatu kejadian, namun ini hanya boleh dijadikan panduan kerana kesan dan impaknya adalah lebih dalam jika peristiwa itu dilalui sendiri oleh seseorang jurugambar. Pengalaman mengajar seseorang jurugambar melalui pemerhatian, impak positif dan negatif, kaedah berhadapan dengan situasi di sekeliling serta merangkumi kefahaman yang mendalam terhadap subjek yang dirakam.
Sememangnya saat-saat berharga ini berlaku secara spontan atau tiba-tiba. Tetapi adakalanya kejadian-kejadian ini boleh diramal atau diduga. Segalanya bergantung kepada persediaan dan pengalaman yang cukup. Ada pula yang bergantung kepada tuah dan kebarangkalian, berada di tempat yang betul dan masa yang tepat, saat-saat berharga yang berpeluang dirakam adalah sangat tinggi nilainya walaupun dengan hanya sebuah kamera kompak kecil di dalam kocek seluar. Sebagai seorang jurugambar, anda harus tahu tentang perkara yang menanti di sesuatu tempat, jangan tunggu peluang untuk datang kepada anda, andalah yang seharusnya mencipta peluang. Kebarangkalian untuk sesebuah kejadian yang berlaku sebenarnya boleh dianalisa dengan tepat berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pemerhatian keadaan sekeliling. Sesebuah kejadian yang berlaku pasti ada punca, sebab dan akibat. Analisa punca, sebab dan akibat ini dan pastinya akan membawa anda kepada saat-saat berharga yang dicari. Selamat berkarya.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 02 (Ogos/September 2011)
