Temuramah:Jessica Chan Foto:Kim Teoh

Bagaimanakah anda berevolusi dari seorang jurugambar professional kepada seorang penerbit majalah?
Pada mulanya, fotografi hanyalah sekadar hobi buat saya. Setelah saya menamatkan zaman persekolahan, saya melanjutkan pengajian di dalam bidang fotografi dengan cita-cita untuk menjadi seorang jurugambar professional. Selepas bekerja untuk seketika di Taiwan dan Hong Kong, saya pulang ke Malaysia untuk membina kerjaya sebagai seorang jurugambar. Pada awal zaman 1990-an saya menyedari bahawa pada masa itu tidak terdapat satu pun majalah fotografi di pasaran yang dihasilkan oleh warga Malaysia untuk warga Malaysia sendiri yang dapat dibanggakan sebagai hasil keluaran anak tempatan. Inilah yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam dunia penerbitan majalah.
Memang terdapat perbezaan yang ketara antara menerbitkan majalah fotografi dan kerjaya sebagai jurugambar professional. Penerbitan sebuah majalah fotografi memerlukan lebih dari sekadar mengambil dan menjual gambar. Ia melibatkan usaha dalam merancang, mengatur dan melaksana dengan teliti.
Walaupun saya telah mempelajari pelbagai genre dan gaya fotografi seperti potret, konseptual, komersial, foto kewartawanan dan sebagainya, sebagai seorang jurugambar profesional, saya hanya berkecimpung dalam genre pengkhususan saya sahaja, seperti gambar potret. Berbeza ceritanya apabila menerbitkan majalah – saya perlu meneroka lebih jauh dalam pelbagai aspek fotografi. Hakikat ini benar-benar telah membuka mata saya. Tidak kira samada kita bertindak sebagai jurugambar majalah, editor atau penerbit, bukan hanya skrip teks yang perlu dihasilkan tetapi juga foto. Seperkara yang selalu saya tekankan – semua imej yang tersiar di majalah kami hendaklah merupakan hasil kerja asli jurugambar-jurugambar kami. Kumpulan editorial kami mestilah juga terdiri daripada jurugambar kerana ini akan mempermudahkan mereka untuk memahami apa yang perlu dipelajari oleh golongan pembaca yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang fotografi. Begitu juga dengan apa yang ingin dipelajari oleh jurugambar-jurugambar amatur; dari pendedahan asas kepada teknik-teknik yang berbeza dan sebagainya. Mereka juga dapat berkongsi pengalaman dengan pembaca melalui karya mereka yang terkandung di dalam majalah tersebut. Setelah memahirkan diri dalam asas-asas fotografi, tentu pembaca akan seterusnya ingin mengembangkan ilmu pengetahuan serta mengasah gaya mereka yang tersendiri.

Apakah cita-cita anda untuk peranan yang dimainkan oleh Advanced Images & Fotografika?
Di awal penerbitan majalah, kami memutuskan bahawa kami memang perlu mendefinisikan identiti dan perwatakan majalah. Majalah bukan hanya sekadar berperanan sebagai guru atau tutor dalam ilmu asas fotografi, malah ia adalah majalah yang dapat membantu para pembaca mengembangkan lagi pemahaman mereka tentang pengimejan dan mencari kecenderungan artistik mereka. Majalah kami telah dilahirkan sebagai sebuah majalah fotografi yang menitikberatkan seni dan konseptual. Tidak kiralah samada hasil kerja yang diterbitkan itu adalah dari temuramah dengan jurugambar antarabangsa atau tempatan, ataupun dari hasil kerja jurugambar kami sendiri, biasanya ia akan mengandungi nilai-nilai artistik. Memanglah wajar bagi seorang pendatang baru dalam bidang fotografi untuk mencari pengetahuan asas dalam teknik-teknik fotografi. Namun, setelah mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan asas, mereka tentu mahu terus mempertingkatkan diri dan mendefinasikan gaya dan identiti kerja mereka yang tersendiri. Di sinilah Fotografika dapat memainkan peranan untuk dijadikan sumber inspirasi. Secara jujur saya katakan, sekarang ini memang sudah terlalu banyak majalah yang membanjiri pasaran tentang teknik-teknik asas fotografi, terutamanya majalah dari luar negara. Jadi, untuk memastikan kami mampu bertahan dalam pasaran yang hebat persaingannya, kami bersandar kepada faktor keunikan identiti dan perwatakan tersendiri majalah ini untuk membina kumpulan pembaca kami. Pada pendapat saya, majalah-majalah kami sebenarnya sudah berjaya mencipta budaya fotografi kami yang tersendiri.
Kami juga sentiasa memastikan bahawa gaya dan isi kandungan majalah kami sejajar dengan prinsip ketulenan yang kami tekankan. Saya boleh katakan hampir 100% daripada isi kandungan majalah kami adalah hasil kerja sendiri penulis dan jurugambar kami. Mengapakah kami mengamalkan prinsip sebegini? Ianya penting kerana selama ini, kami telah menyiarkan hasil kerja ramai jurugambar-jurugambar Malaysia. Melalui majalah ini, kami sebenarnya merekodkan sejarah serta memetakan evolusi budaya fotografi tanah air. Di setiap negara, media memainkan peranan yang penting dalam membentuk budaya warganegaranya. Mengambil contoh majalah fotografi, lain negara lain gayanya. Majalah fotografi dari Thailand mempunyai gaya dan pendekatan yang berbeza dengan majalah fotografi dari India, Singapura atau UK. Majalah yang mempunyai ikutan yang lebih kuat akan dapat mempengaruhi budaya fotografi di sesebuah negara berkenaan.
Walaupun majalah Fotografika lebih cenderung kepada nilai-nilai seni dan artistik, kami masih menyiarkan ruangan berkenaan teknik, walaupun agak terhad. Sebahagian besar isi kandungan majalah ini memang bertumpu kepada penghayatan seni fotografi. Salah satu cara untuk mempelajari bagaimana untuk mengambil foto-foto yang bagus adalah dengan melihat foto-foto yang bagus. Cara ini akan membantu jurugambar-jurugambar mencari gaya, konsep dan kreativiti mereka yang tersendiri.
Fotografika juga merupakan platform bagi jurugambar-jurugambar yang baru mengorak langkah dalam bidang fotografi untuk mempamerkan hasil kerja mereka dan mendapat pendedahan dalam bidang ini. Inilah cara kami untuk membantu menyuburkan lagi budaya artistik di kalangan rakyat Malaysia.

Apakah faktor yang menyebabkan anda turut menerbitkan majalah pelancongan?
Ini adalah sesuatu yang lahir secara semulajdi kepada diri saya kerana saya suka mengembara ke pelbagai tempat untuk mengambil gambar. Untuk menghasilkan majalah pelancongan yang baik, gambar-gambar yang menarik merupakan suatu kemestian. Sememangnya fotografi dan pengembaraan atau pelancongan lazimnya berjalan seiring. Niat saya juga adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang telah saya perolehi dalam pengembaraan-pengembaraan saya. Lagipun tidak rugi berkongsi kerana keindahan alam di muka bumi ini milik semua orang.
Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, anda masih memperuntukkan masa untuk mengajar ilmu fotografi kepada generasi muda. Mengapa anda ghairah tentang hal ini?
Sebelum saya melibatkan diri dalam bidang penerbitan majalah, saya mengajar fotografi di sebuah kolej reka grafik sejak dari tahun 1991. Mulai tahun 1993, saya telah pun menganjurkan kelas fotografi saya sendiri. Mengapa mengajar fotografi? Puncanya adalah kerana pada tahun 1980-an dahulu, ketika saya mahu belajar, saya tidak dapat menjumpai mana-mana guru yang mempunyai pengkhususan fotografi yang boleh mengajar saya. Apabila menghadiri kursus fotografi di Taiwan dan Hong Kong pula, saya dapati ia tidak diajar dengan cara yang sistematik seperti sekarang. Pengalaman saya menghadiri pelbagai kursus fotografi di luar negara telah mencambahkan minat saya untuk menghasilkan satu sukatan pembelajaran yang akan membolehkan pelajar-pelajar untuk mempelajari ilmu fotografi secara efektif dan seterusnya melatih mereka kaedah mengambil gambar yang baik.

Melalui pendedahan yang saya peroleh dalam bidang fotografi, saya menyedari bahawa fotografi bukanlah sekadar mengambil gambar yang cantik dan kelihatan sempurna. Kadangkala, kita perlu melihat realiti dan emosi yang terpampang dalam imej yang dirakam. Atas dasar ini, saya telah mengambil keputusan untuk merevolusikan gaya fotografi, dan mengajar adalah salah satu cara untuk membolehkan jurugambar-jurugambar yang baru mendapat pendedahan kepada gaya realiti fotografi. Namun saya dapati hanya 10 daripada 20 orang sahaja dapat memahami topik yang diajar dalam setiap kelas, akibatnya proses pembelajaran akan menjadi terlalu perlahan. Dari sinilah timbulnya idea untuk menerbitkan majalah. Tentu sekali penerbitan majalah boleh memberi impak kepada jauh lebih ramai orang daripada hanya sejumlah pelajar di dalam kelas. Saya merasakan bahawa saya boleh mempromosikan gaya fotografi yang membawa revolusi, yang mengandungi unsur-unsur realiti, mood, dan boleh membangkitkan perasaan tertentu, bukan hanya sekadar mempamerkan kecantikan luaran sahaja.
Saya telah terlibat dalam mengajar fotografi kepada pelajar-pelajar muda sejak pertengahan 1990-an lagi. Mengapa saya sangat berminat untuk mengajar generasi muda? Sebabnya saya mahu mereka memiliki sikap yang betul terhadap fotografi. Mereka sepatutnya mampu untuk berfikir dan mencipta, bukan hanya menurut arahan orang lain. Sesibuk mana pun saya, saya pasti akan meluangkan masa untuk mengajar. Walaupun terdapat bilangan jurugambar yang ramai di luar sana, jurugambar yang benar-benar berjaya adalah mereka yang dapat menggunakan hati dan minda mereka untuk meneliti, berfikir dan merakamkan apa yang mereka mahu. Mereka perlu ada pendirian dan pendapat mereka sendiri, bukan hanya menjadi pengikut sepanjang masa. Sebagai seorang jurugambar, betapa kreatif sekalipun anda, penguasaan asas fotografi perlulah kukuh.
Jurugambar, pengembara, editor, guru dan usahawan – bagaimana anda mengimbangkan antara kelima-lima peranan ini dalam hidup anda?
Apa yang saya perlu buat ialah mempraktikkan sikap yang positif dan sentiasa fleksibel. Sekarang ini, fotografi dan pengembaraan telah menjadi aktiviti masa lapang buat saya, bukan satu pekerjaan. Saya selalu berkata kepada kawan-kawan bahawa saya tidak ingin menjadi seorang jurugambar professional, saya adalah seorang jurugambar amatur. Saya lebih selesa menjadi seorang amatur kerana ia bermakna saya akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk menangkap gambar sepuas hati saya. Berperanan sebagai seorang guru dan editor juga menjadi sebahagian daripada minat saya untuk berkongsi pengetahuan. Jika diberi pilihan, saya sebenarnya tidak mahu menjadi seorang usahawan. Tapi itulah hakikat kehidupan, saya perlu menyukai peranan itu bagi mengimbangi keseluruhan kerjaya saya.

Apakah saat yang paling memberi kepuasan kepada anda dalam kehidupan fotografi anda?
Selalunya, faktor kesukaran yang wujud atau cabaran yang dihadapi yang menjadikan saya merasa puas setelah mengambil gambar. Dalam situasi yang sukar mengambil gambar yang baik, jika saya berjaya mengambil satu foto yang saya benar-benar suka, itulah yang menjadi saat yang paling memberi kepuasan buat saya.
Sejauh mana anda melihat Fotografika dalam masa 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang?
Dalam masa 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang, saya berharap majalah Fotografika akan dapat membawa Malaysia ke arah perkembangan kreatif dalam seni dan ilmu fotografi. Saya juga berharap Fotografika akan menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baru dan mencari lebih banyak jurugambar yang berpotensi melalui anugerah tahunan Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) Photo-Creator of The Year. Anugerah ini adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada jurugambar-jurugambar tempatan.
Apakah rahsia yang ingin anda kongsi bersama dengan jurugambar dan usahawan muda yang bercita-cita untuk berjaya dalam bidang ini?
Dalam apa jua yang kita lakukan, kita perlu mempunyai sikap tidak putus asa. Saya ada berbincang tentang perkara ini tidak lama dulu dan sebenarnya ada beberapa perkara yang telah saya teruskan tanpa putus asa bertahun-tahun lamanya tanpa saya sendiri menyedarinya.
Tentulah saya tidak menyarankan sesiapa pun untuk berpegang kepada sesuatu tanpa mengetahui kelebihan dan kekurangan diri sendiri. Jika anda tahu kelemahan anda, anda perlu mencari jalan untuk memperbaiki diri atau carilah seseorang yang dapat membantu anda menutup jurang yang wujud. Sama juga untuk seorang jurugambar. Lihat seperti saya, saya ini bukannya jenis yang memiliki kesabaran untuk menunggu lama bagi mendapatkan suatu gambar yang baik. Jadi saya akan menggunakan kemampuan saya untuk meneliti dan menggubah gambar dengan sebaik mungkin. Tidak kira samada anda mengambil gambar di waktu santai atau sedang bekerja, anda mesti lakukan apa yang anda suka dan berasa gembira melakukannya. Kejayaan bukan diukur dengan wang ringgit yang diperolehi, sebaliknya ia diukur dengan kepuasan dan kegembiraan yang dinikmati. Perasaan puas dan gembira inilah yang akan berkekalan sepanjang hayat anda dan akan terus membakar semangat anda untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang.
Siri Tarian Kontemporari persembahan Choo Tee Kuang (Penari dan koreografer terkenal di Malaysia) oleh Kim Teoh
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 01 (Jun/Julai 2011)
