Temuramah: Miza Foto: Agoes Alwie

Beliau berasal dari Sibu, Sarawak dan kini bekerja di salah sebuah syarikat pembinaan di Puchong. Agoes Alwie mula menceburi bidang fotografi sejak tahun 2012. Baginya fotografi jalanan merupakan salah satu cabang seni fotografi yang memerlukan ketekunan akan tetapi santai, kejutan dan kebetulan. Malah, jurugambar dapat melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh orang lain menjadikan fotografi jalanan boleh diolah sebagai perspektif “witness to the invisible”.

Pada awal pembabitannya dalam industri fotografi, beliau pernah mencuba pelbagai genre akan tetapi fotografi jalanan lebih memberikannya kepuasan dari sudut mencari, melihat, berfikir dan merancang sesuatu hasil karya. Ini kerana fotografi jalanan tidak pernah menjanjikan setiap kali keluar merakam pasti akan mendapat imej yang menarik atau momen yang terbaik. Akan tetapi fotografi jalanan akan membuatkan beliau untuk terus mencari dan berfikir. Seperti mana jurugambar lain, beliau juga turut melihat hasil karya jurugambar fotografi jalanan dari dalam dan luar negara untuk meneroka dan mempelajari apa yang mereka fikir dan apa yang ingin disampaikan.
Hasil karya yang beliau tidak dapat lupakan merupakan gambar yang dirakam di Puduraya tahun lalu. Ianya merupakan gambar ‘silhoute’ yang mempunyai tafsiran yang sangat mendalam mengenai kehidupan di dunia. Ianya lebih mengenai kelahiran, kehidupan dan kematian.

Peranan bermain dengan warna dalam fotografi jalanan sebenarnya sangat susah. Ini kerana warna merupakan salah satu elemen yang boleh menggangu penyampaian isi tersirat pada foto kita. Warna mempunyai pasangan dan pantangnya yang tersendiri jika dilakukan dengan baik, hasilnya akan menjadi sangat menakjubkan. Walaubagaimanapun, foto hitam putih bukan semudah difikirkan kerana terdapat beratus-ratus warna kelabu yang terdapat antara warna hitam dan putih. Bagi beliau, foto yang mana untuk dipersembahkan dalam warna mahupun hitam putih bergantung kepada kemampuan sesuatu foto tersebut untuk menyampaikan sesebuah penceritaan yang terbaik kepada penonton.
Selain daripada menyampaikan sesebuah karya, beliau sertakan sekali dengan satu perspektif. Perspektif ini bukanlah untuk menonjolkan kehebatan atau keindahan sesuatu foto, akan tetapi lebih menjurus kepada bagaimana beliau melihat sesuatu perkara itu dari perspektif yang berlainan, tidak terlihat oleh kebiasaan.
Pada awal penglibatan dalam genre fotografi jalanan, beliau menghadapi kesulitan dalam melatih mata dan minda untuk melihat isi tersurat yang tidak dapat dilihat oleh orang lain dengan kata lain, ‘Art Of Seing’. Bagi beliau, ia amat sukar untuk dimahirkan.

Umumnya setiap jurugambar rata-rata mempunyai jurugambar yang diminati dan beliau meminati hasil karya GMB Akash dari India dan beberapa jurugambar amatur dari Filipina. Bagi beliau, Akash mempunyai daya ‘Art Of Seing’ yang amat bagus dan mampu mempersembahkan perspsektif yang menarik disamping mempunyai banyak foto bersiri yang menarik. Manakala, jurugambar amatur Filipina memiliki sentuhan dan pendekatan moden dalam hasil karya mereka. Hasil karya beliau kebanyakkannya terhasil daripada gabungan ini termasuklah foto bersiri. Foto bersiri memberikan beliau lebih menumpukan fokus dalam berkarya disamping melatih untuk melihat perspektif dengan lebih baik.
Hasil karya beliau bersifatkan gaya moden dan sedikit kontemporari kerana beliau lebih gemar bermain dengan kontra samada kontra dalam warna mahupun pencahayaan. Bagi beliau yang masih baru dalam bidang ini juga sering membuat ujikaji dalam mencari gaya fotografi jalanan tersendiri. Subjek yang terdapat dalam hasil karya beliau diolah daripada persekitaran beliau dan bagaimana untuk mendapatkannya bergantung kepada sensitiviti ‘Art Of Seing’ beliau ketika itu. Ianya agak subjektif dan relatif.

Ketika ditanya mengenai hala tuju fotografi jalanan pada masa hadapan, beliau beranggapan bahawa setiap sesuatu itu semakin ke hadapan dan menjadi semakin baik. Begitu juga dengan fotografi jalanan di Malaysia. Hala tuju dan kepesatan fotografi jalanan di Malaysia masih bergantung sejauh mana penerimaan masyarakat dalam memahami genre ini. Beliau yakin bahawa ilmu dan pemahaman fotografi jalanan masih utuh di kalangan pengiat-pengiat fotografi jalanan ini kerana hampir semua dari mereka mengetahui apakah itu fotografi jalanan, sejarahnya, peraturan, ikon-ikon fotografi jalanan dan pelbagai ‘tips dan tricks’ yang mampu mereka kongsikan. Akan tetapi, seni ini memerlukan penerimaan masyarakat untuk berada di landasan hala tuju yang bergelar ‘kehadapan’. Tidak seperti genre fotografi yang lain, yang indah dan mudah dicerna oleh mata dan akal tanpa perlu dikupas dan berfikir mengenainya. Jadi, ilmu fotografi jalanan ini mesti disalurkan kepada mereka dengan cara yang lebih baik, lebih fokus serta terbuka. Penerimaan masyarakat merupakan sesuatu yang amat penting dan perlu diusahakan sekerap dan sebijak yang mungkin. Oleh itu, beliau dengan beberapa rakan seangkatan telah menubuhkan pameran ‘Street to Street’ sebagai salah satu platform dan membantu rakan seperjuangan yang lain untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada umum. Bagi yang ingin menyertai beliau serta rakan-rakan fotografi jalanan yang lain, hantarkan gambar beserta portfolio anda kepada laman sosial facebook Street 2 Street atau www.mys2s.com.
www.agoesalwie.mys2s.com
Facebook: Alifga Wausin
Flickr: Agoesalwie
Pintrest: Agoesalwie
Instagram: agoesalwie
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 29 (Feb/Mac 2016)
