Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

Minimalisma dalam karya seni bermula selepas Perang Dunia ke-2, di Barat. Para pengkarya pada masa itu mula menjinakkan diri dengan konsep, “less is more”, ataupun “sedikit lebih banyak”. Pengkarya lebih bersandarkan kepada konsep yang mudah dan tidak serabut, dan hanya mengfokuskan elemen-elemen komposisi seperti garisan, bentuk dan juga warna.
Konsep minimalisma ini menarik kerana pengkarya mengetengahkan karya yang mempunyai mesej subjektif. Interpretasi terhadap maksud sebenar sesebuah karya itu tidak wujud, ini bergantung kepada persepsi setia penonton yang mengamati karya tersebut.

Minimalisma boleh dijadikan sebagai alat untuk mencapai sesuatu kebebasan yang sebenar. Kebebasan yang bagaimana? Kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kerisauan, dan juga kebebasan daripada kemunduran. Ini kerana pengkarya boleh berkarya tanpa batasan dan penonton boleh berimaginasi mengenai mesej yang ingin disampaikan oleh sesebuah imej, tanpa limitasi.
Walaupun minimalsima mementingkan kesederhanaan, ini tidak bermaksud pengkarya harus menghasilkan sesuatu yang membosankan. Kesederhanaan yang dikatakan hanya diaplikasikan kepada konsep minimal dalam komponen-komponen sesebuah imej. Minimalisma dalam fotografi mengutamakan sesuatu yang mudah, tetapi dramatik.
Dengan adanya unsur dramatik dalam sesuatu karya, ini boleh mencetuskan kelahiran emosi di kalangan penonton, dan juga memberikan pengalaman visual yang unik kepada sesiapa yang melihat karya tersebut. Minimalisma dalam fotografi juga mampu untuk memberikan penonton sedikit ruang rehat daripada informasi yang melampau daripada semua saluran media dengan kesederhanaan yang terukir dalam sesebuah karya.

Pengkarya harus mempelajari teknik untuk melihat keadaan sekeliling, mengamati betul-betul akan tempat terbuka, blok bangunan yang berwarna-warni, sebagai contoh-contoh peluang yang tersorok untuk menghasilkan fotografi minimalisma. Kontras di antara subjek dan latar belakang juga penting untuk mewujudkan keseimbangan di dalam imej.
Komponen yang berunsurkan geometrik, garisan-garisan yang lain daripada lain, tekstur bangunan atau alam semulajadi juga boleh dijadikan sebagai subjek bagi fotografi minimalisma. Pencahayaan yang terang dan berlawanan dengan bayang-bayang yang gelap juga adalah salah satu peluang untuk menghasikan karya minimalisma. Ruang negatif dalam gambar semestinya salah satu elemen yang penting kerana dengan adanya ruang sebegini, fokus terhadap subjek akan menjadi lebih dramatik.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 25 (Jun/Julai 2015)
