Teks & Foto: Shuhada Hasim

Saya pernah duduk mendengar satu diskusi antara berapa orang penggiat profesional fotografi, dimana salah seorang panel adalah pengkarya seni halus. Antara kenyataan yang amat menarik perhatian saya daripada penggiat seni halus, pada ketika itu berulang kali menegaskan tentang pentingnya karya yang ada hubung kait dengan masyarakat, agama dan sosial. Sesungguhnya, pada ketika itu perkara yang cuba disampaikan adalah tidak sampai langsung kepada pemahaman saya.
Selepas beberapa lama dan berkali-kali saya menceritakan apakah inspirasi dalam penghasilan karya sendiri, sedikit demi sedikit kata-kata beberapa tahun dulu menjadi semakin jelas.
Saya merumuskan apa yang disampaikan oleh penggiat seni halus itu adalah hubung kait tiga elemen asas dalam menghasilkan karya yang mempunyai objektif dan impak positif kepada masyarakat, visi, persepsi dan tanggungjawab.

Visi
Visi ada sesuatu yang tidak dilihat oleh orang lain. Visi adalah sesuatu yang boleh ditafsir. Visi adalah satu elemen asas yang amat penting harus ada pada seorang pengkarya. Tanpa visi, penonton tidak akan tahu apa mesej yang ingin disampaikan. Tidak ada karya yang boleh dihasilkan tanpa visi. Secara ringkasnya, tiada visi bermakna tiada karya. Imej adalah kosong, tidak ada makna, tidak ada mesej, pembaziran masa, tenaga dan sumber-sumber lain yang terlibat.
Tanya diri kita, kalau keluar untuk hasilkan sesuatu gambar, apa visi kita? Jika imej yang dihasilkan sekadar untuk paparan di media sosial, untuk mendapatkan dapat banyak ‘like’ atau komen yang kurang nilai ilmiahnya, kita sememangnya tidak ada visi yang kuat, seterusnya tidak ada penghasilan karya yang bagus, jauh sekali untuk meninggalkan kesan positif pada masyarakat yang mentafsir. Visi seorang pengkarya dalam konteks ini ialah jurugambar, adalah satu definisi diri, definisi dalam menterjemah karya. Definisi tidak hadir bersama-sama jenis kamera yang digunakan dan tanpa mengira kos harganya. Ia adalah ibarat penjenamaan yang tak kelihatan atau memiliki nama yang tetap. Tetapi dengan adanya visi, masyarakat yang melihat hasil karya, lama kelamaan akan dapat mengenal pasti identiti artis itu dengan hanya melihat hasil karyanya sahaja. Secara peribadi, saya dapati situasi itu adalah satu pengiktirafan senyap yang sebenar.
Visi datang dari dalam diri sesorang. Daripada dalam fikiran, jiwa, hati & perasaan seorang artis. Oleh kerana visi itu tidak dapat dilihat oleh orang lain, dan hanya boleh ditafsir, untuk mempunyai visi, ia adalah satu proses yang harus dilalui oleh diri anda sendiri. Proses yang akan berlaku adalah tidak sama di antara seorang artis dengan artis yang lain. Proses yang berlainan ini mungkin berlaku dalam jangka masa yang singkat atau mengambil masa yang lama untuk mendapatkan visi. Dalam bahasa lain, visi ini dalah ‘panggilan’ untuk seseorang pengkarya menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
Proses yang perlu dilalui untuk mempunyai visi adalah melalui belajar kaedah untuk melihat. Secara amnya, apa-apa yang dapat dilihat dalam satu imej adalah objek, manusia atau ciri-ciri yang dipamerkan, tetapi, visi adalah lebih daripada itu. Visi datang daripada imaginasi dalam fikiran yang berbeza daripada pandangan yang dilihat secara fizikal. Selagi anda tidak dapat menyatakan apakah visi anda dalam menghasilkan sesuatu imej atau lebih indah dipanggil karya, teruskan mencari. Jangan berhenti kerana visi adalah diri anda. Dengan visi, imej yang dihasilkan bertindak sebagai alat pengangkutan dalam menghubungkan idea seorang pengkarya kepada penonton.

Persepsi
Dengan visi, idea dan imginasi, imej dihasilkan dan dipersembahkan kepada penonton. Saat singgahnya imej ke mata penonton, proses interpretasi akan berlaku dan apabila penonton mula membuat keputusan, maka wujud persepsi. Visi melawan persepsi, sangat subjektif dan pengkarya tidak ada kuasa untuk mengawal persepsi daripada penonton. Pendapat saya, di titik ini penonton akan menilai imej yang dihasilkan dan pengkarya akan melalui satu proses ‘letting go’. Melepaskan kepada umum untuk membuat persepsi terhadap imej yang terhasil daripada visi. Secara peribadi, ini adalah salah satu proses berhadapan dengan perasaan takut. Semestinya saat pengkarya mempamerkan imej kepada penonton, harapannya ialah supaya penonton memahami visi daripada hasil karya itu dan mempunyai persepsi yang berpadanan. Akan tetapi, wujud perbezaan antara visi dan persepsi kerana visi adalah kreativiti pengkarya manakala persepsi adalah kreativiti interpretasi penonton. Tidak semua penonton akan bersetuju atau menerima visi yang dihidangkan. Fakta yang pastinya diketahui oleh semua pengkarya.

Tanggungjawab
Saya merumuskan hubungkait visi dan persepsi akan menjadikan seorang pengkarya itu menjadi lebih kritikal dalam menterjemahkan visinya. Daripada visi wujudnya imej, dan imej yang diinterpretasi oleh penonton mewujudkan persepsi, sekaligus membawa mesej yang ingin disampaikan. Tidak dinafikan wujudnya garis halus antara visi dan persepsi, tetapi dengan visi positif yang diterjemahkan dan persepsi positif juga yang diterima, saya mengklasifikasikan pengkarya itu adalah seorang yang bertangungjawab dalam menghubungkan mesej positif kepada masyarakat.
Saya sangat sukakan sesi pembentangan dalam kelas bersama-sama para pelajar saya, ada beberapa orang pelajar yang sangat yakin dengan visi mereka dalam menghasilkan imej. Ada antara pelajar-pelajar itu yang konsisten dengan jalan cerita atau inspirasi mereka dalam menghasilkan imej. Apabila mereka mengekspresikan kekecewaan daripada keadaan sekeliling, visi dan mesej yang penuh kemarahan dan dendam sangat ketara daripada kata-kata dan imej. Seolah-olah, kehidupan mereka akan terus diselaputi kegelapan dan kekecewaan. Secara peribadi, saya agak bimbang dengan senario tersebut. Cuba fikirkan sekiranya persepsi penonton bila dipersembahkan dengan imej yang mewakili visi yang penuh dendam dan kemarahan, tidak mustahil ada yang mengintepretasi mesej tersebut sebagai pengesahan kepada rancangan tindakan yang negatif.
Satu contoh ekstrem jika dibandingkan dengan budaya negara kita, jurugambar Perancis, Antone D’Agata, menghasilkan imej berinspirasikan cara hidup yang gelap, penuh dengan cerita seks, dadah dan alkohol. Beranikan diri untuk menonton koleksi imej beliau, fahami visi dan cuba beri persepsi anda. Adakah anda akan menginterpretasi artis ini sebagai mempunya visi positif atau sebaliknya. Pendapat saya, bergantung kepada pemaknaan yang penonton cari dalam sesuatu karya. Imej yang dihasilkan mungkin tampak kurang menyelesakan penonton, tetapi cuba fahami mesej yang cuba disampaikan.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 18 (Apr/Mei 2014)
