Menghurai Gambar BAHAGIAN 3: Menghurai Rupa (Describing Form)

12/07/2017 | miza

Teks: Hakimi bin Halim

1
Fotografi pegun yang pertama, View From The Window at Le Gras oleh Joseph Nicéphore Niépce. Walaupun kabur, kita tetap dapat melihat ruang ilusi 3 dimensi yang dipaparkan di dalam gambar ini.

 

Pada keluaran yang lepas telah dinyatakan proses-proses dalam menghurai hal benda. Untuk menyambung pelajaran tersebut, pada kali ini, kaedah mengenal dan ‘Menghurai Rupa’ akan dijelaskan secara ringkas. Diharapkan ini dapat membantu pembaca-pembaca Fotografika dalam memahami gambar dan menghurai gambar dengan lebih baik.

Sebelum kita pergi dengan lebih dalam, apakah itu ‘RUPA’ atau sering disebut dalam kelompok seni sebagai ‘Form’? Rupa merupakan satu elemen dalam seni dan sudah tentu ianya merupakan salah satu elemen dalam fotografi. Dalam seni lukis, kita sering membahagikan rupa dalam dua bentuk iaitu rupa dua(2) dimensi atau 2D dan rupa tiga(3) dimensi atau 3D.

Rupa 2 dimensi
Rupa 2D merupakan satu bahagian daripada aspek rupa dimana ia merujuk kepada permukaan rata yang dapat memberi ilusi seolah-olah adanya ruang dan bentuk di dalam permukaan itu. Sebagai contoh, apabila kita melihat dan menonton televisyen, mata kita dapat menterjemahkan setiap perkara yang dipaparkan ketika itu sebagai satu ruang yang mempunyai kedalaman dan bentuk tertentu. Otak kita juga menterjemahkan ianya sebagai satu ruang yang mempunyai latar depan, latar tengah dan latar belakang.

(diperolehi di http://char.txa.cornell.edu/language/element/form/formillu.htm).

Oleh demikian, genre-genre seni seperti catan dan fotografi yang bermain dengan permukaan rata sebagai saluran menyampaikan kesenian amat bergantung kepada rupa 2D ini.

2
Karya Fotografi Timbulan dan Arca Fotografi oleh artis Korea, Osang Gwon. (Diperolehi pada 26 Julai 2013 di http://weburbanist.com/2009/11/27/sculpted-pictures-innovative-photography-sculptures/

Rupa 3 dimensi
Dalam memahami rupa 3 dimensi atau 3D, ianya berkait rapat dengan objek yang mempunyai lebar, tinggi dan depth(kedalaman yang menghasilkan volume dan rhythm). Dalam erti kata lain, sesuatu objek yang seolah-olah dapat dipegang, disentuh dan dilihat dalam keadaan 360 darjah boleh dikelaskan sebagai rupa 3D. Karya- karya fotografi kontemporari juga boleh diolah menjadi rupa 3 dimensi. Contoh- contoh karya 3 dimensi dalam fotografi ialah fotografi timbulan dan arca fotografi.

Mengenal Rupa dalam Sudut Pandang Yang Kritikal
‘Rupa’ merupakan prinsip wajib yang terdapat dalam sesebuah karya. Rupa adalah elemen-elemen dari segi subjek dan objek yang mempunyai kaitan antara satu sama lain sekaligus membentuk satu karya yang lengkap. Daripada itu, ianya membantu penilai atau penonton memahami karya tersebut disebabkan elemen-elemen yang disatukan dalam karya tersebut.
Oleh demikian, rupa bukanlah entiti-entiti yang terpisah, lebih dari itu, dalam membaca gambar, setiap objek yang berasingan jika dilihat secara menyeluruh membentuk satu ‘Rupa’ yang tersendiri.

Dalam kita menghurai hal benda, kita akan mengasingkan beberapa objek dalam gambar menjadi beberapa kategori. Saya telah mengkategorikan hal benda kepada beberapa bahagian demi mencari klu untuk membantu membaca gambar (sila rujuk keluaran lepas). Tetapi dalam membaca ‘Rupa’, menyatukan setiap subjek dan objek untuk menjadi satu cerita yang dapat difahami adalah penting.

Untuk menghurai RUPA, pada kali ini kita akan menggunakan gambar ikonik Perang Dunia Ke -2 karya Joe Rosenthal iaitu Raising The Flag on Iwo Jima sebagai kajian kes.

Dalam menilai rupa adalah penting kita mengenali prinsip-prinsip rekaan. Terdapat banyak percanggahan dikalangan ilmuan kesenian dalam menentukan prinsip-prinsip rekaan. Kali ini, penulis akan menghuraikan beberapa prinsip rekaan asas dan umumnya digunakan dalam penghasilan karya seni. Penentuan terhadap kehebatan sesuatu karya dari aspek formalistik adalah disebabkan prinsip-prinsip rekaan maksima yang telah disatukan dalam karya. Berikut adalah prinsip- prinsip rekaan yang melengkapkan ‘Rupa’ dalam karya di atas.

Keseimbangan
Keseimbangan dalam prinsip rekaan terbahagi kepada dua. Pertama keseimbangan simetri dan tidak simetri. Dalam karya Rosenthal, komposisi subjek iaitu 5 orang tentera Amerika adalah tidak seimbang secara lahirnya. Cuba lihat askar yang cuba mencacakkan bendera di tanah. Jika diperhatikan tiada keseimbangan yg simetri di situ. Tetapi disebabkan kedudukan bendera yang bertentangan dengan askar tersebut ianya secara tidak langsung mengimbangi komposisi subjek dalam gambar ini. Daripada pengurusan komposisi seperti ini, mata penonton secara tidak langsung menjadi tenang dan tidak terganggu.

Kontra
Perbezaan latar depan, tengah dan belakang dengan mempunyai beberapa volume dari segi gradation atau tona terang gelap yang sebati menjadikan karya ini harmoni dari segi penerapan aspek zone terang dan gelap. Secara tidak langsung ianya memaparkan KESATUAN dalam tona dan kontras.

Pengulangan
Satu perkara yang menarik berkenaan karya ini ialah unsur pengulangan yang tidak disengajakan dan secara tidak langsung menghasilkan living pattern.Empat orang askar yang cuba menaikkan bendera itu secara tidak langsung menterjemahkan satu corak pengulangan.

1
Tentera Laut Amerika Menaikkan Bendera di Gunung Suribachi Iwo Jima

Pergerakan
Prinsip pergerakan dapat dilihat pada empat orang askar yang menaikkan bendera tersebut. Jika dilihat dari kanan ke kiri, ianya mencadangkan kepada penonton tentang keadaan pergerakan walaupun kita sebenarnya hanya melihat imej pegun sahaja. Secara tidak langsung ianya juga memaparkan rhythm terhadap subjek. Otak kita secara tidak langsung dapat mengagak masa pergerakan tentera itu untuk menegakkan bendera yang sedang dijunjung atau dikendong.

Penegasan
Objek dominan yang menyokong penceritaan dalam karya ini adalah bendera Amerika itu sendiri. Daripada itu, kita akan mengagak bahawa gambar ini mencadangkan unsur-unsur heroisme dan patriotisme kepada penonton.

Kesatuan, Harmoni dan Irama
Seperti yang dijelaskan di atas, terdapat unsur-unsur Kesatuan dan Harmoni pada aspek Kontra. Selain itu, terdapat juga unsur Irama atau Rhythm di dalam aspek Pergerakan.

Daripada ini, Karya Joe Rosenthal secara tidak langsung ianya menawarkan prinsip- prinsip rekaan yang lengkap dan kompak. Disebabkan perkiraan Rosenthal yang tepat pada masanya dan subjek yang sesuai yang dirakam oleh Rosenthal, ini membuatkan gambar era Perang Dunia Ke -2 ini diingati tidak hanya dari aspek estatika, impak dan permaknaannya sahaja, tetapi dari aspek bentuk formalistik dan juga rupanya.

Pada keluaran hadapan, ruangan ini akan membincangkan berkenaan proses menghurai medium. Nantikan.
Rujukan
Ocvirk, O., Stinson, R., Wigg, P., Bone, R., Cayton, D. (2008), Art Fundamentals: Theory and Practice, McGraw-Hill Higher Education. BOWLING GREEN STATE UNIVERSITY, Ohio USA.

3D-Sculpted Pictures: Innovative Photography Sculptures, diperolehi pada 26 Julai 2013, di http://weburbanist.com/2009/11/27/sculpted-pictures-innovative-photography-sculptures/

Clode, G. (2011), Raising The Flag On Iwo Jima, Joe Rosenthal diperolehi pada 26 Julai 2013 di http://www.military-history.org/articles/world-war-2/raising-the-flag-on-iwo-jima-joe-rosenthal.htm

Two Dimensional Illusion of Three Dimensional Form diperolehi pada 26 Julai 2013 di http://char.txa.cornell.edu/language/element/form/formillu.htm

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/Sept 2013)

fg14-cover_new-updated