Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

Salah satu kriteria penting dalam penghasilan karya fotografi yang berkualiti adalah bergantung sepenuhnya kepada cara kita mengaplikasikan komposisi supaya setiap elemen atau subjek yang terdapat dalam komposisi tersebut menjadi tersusun, mantap, dan dinamik. Penguasaan terhadap komposisi bukan berupaya menimbulkan impak terhadap sesuatu subjek malah yang lebih penting adalah ‘keselesaan’ melihat setiap subjek yang disusun secara sistematik dan berseni. Komposisi berkait rapat dengan keupayaan jurufoto melihat dan seterusnya menyusun elemen-elemen utama yang membentuk imej supaya kedudukan dan perletakan setiap elemen tersebut memiliki penekanan, ilusi ruang, herotan perspektif (jika perlu), membina ilusi pengulangan dan rentak. Dalam seni visual, komposisi didefinisikan sebagai perancangan perletakan elemen-elemen rekaan dalam sesebuah karya seni seperti fotografi.

Secara ringkas, komposisi dalam seni fotografi disusun berasaskan kepada ‘Rules of Third’. Kaedah ini membahagikan kawasan pembidik kepada sembilan petak kecil yang membentuk empat titik pertemuan di kawasan tengah petak keseluruhan (format gambar). Kaedah ‘Rules of Third’ ini diperlukan supaya elemen utama dalam sesebuah komposisi disusun supaya berada dalam mana-mana kawasan empat titik tersebut. Kaedah ini sesuai diaplikasikan untuk penyusunan objek yang memiliki kualiti garisan yang dominan seperti pemandangan alam semulajadi dan sebagainya. Dalam proses penyusunan ini perkara utama perlu diberikan perhatian adalah daripada segi format penyusunan gambar. Dua format yang standard adalah orientasi menegak (potret) dan orientasi melintang (lanskap).
‘Rules of Third’ biasanya dijadikan sebagai panduan asas untuk menyusun objek utama dan objek sampingan supaya ia berada pada kedudukan yang sesuai yang berupaya menimbulkan keselesaan pada penglihatan dan dapat mengelakkan daripada kedudukan objek yang selalu dirujuk sebagai statik. Dengan ini jelas bahawa seni foto bukan hanya bermaksud memiliki sistem kamera dan mula terus mengambil gambar secara tidak terancang. Untuk menghasilkan foto yang memiliki tingkat kualiti tinggi maka faktor-faktor seperti pencahayaan, komposisi dan pemilihan subjek perlu diberikan penekanan utama dan penting.

Tiga komponen utama yang menyumbang kepada penghasilan rakaman foto digital yang berkualiti dan seimbang daripada segi teknikal dan estatik adalah fokus, komposisi dan dedahan. Majoriti subjek yang wujud di persekitaran kita adalah terdiri daripada dua sifat utama iaitu yang bersifat organik dan geometrik. Sifat organik pada kebiasaanya adalah merujuk kepada subjek semulajadi sementara sifat geometrik pula memfokuskan kepada objek buatan manusia. Sehubungan dengan ini, dalam semua subjek, elemen garis dan bentuk mendominasikan komposisi keseluruhan subjek sebenar yang dilihat oleh mata kasar. Jurufoto perlu bijak memilih komposisi subjek supaya garis yang wujud secara ilusi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuhkan integrasi atau kesatuan elemen yang dirakam ke dalam bentuk imej statik iaitu fotografi.
Garis melintang yang biasa ditemukan di sekeliling terutamanya jika kita berdiri di hadapan pantai yang mendepani horizon yang memisahkan antara lautan dan langit. Subjek yang mudah seperti kesan pembalikan langit biru serta kepulan awan yang memutih dengan air tasik yang biru bukan sahaja mewujudkan kesan kesimbangan komposisi malah ia juga menyumbang kepada kesan keseluruhan imej yang dinamik.
Garis menegak yang wujud secara ilusi terutamanya daripada objek-objek yang tegak seperti pokok, bangunan dan lain-lain. Subjek seperti ini biasanya berupaya meningkatkan impak dinamik jika ia dirakam dengan sempurna.
“Dengan ini jelas bahawa seni foto bukan hanya bermaksud memiliki sistem kamera dan mula terus mengambil gambar secara tidak terancang. Untuk menghasilkan foto yang memiliki tingkat kualiti tinggi maka faktor-faktor seperti pencahayaan, komposisi dan pemilihan subjek matter perlu diberikan penekanan yang utama dan penting.”

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 09 (Okt/Nov 2012)
