Elemen Warna dalam Seni Fotografi

31/03/2017 | miza

Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

A cityscape of Putrajaya, Malaysia
Gambar ini dirakam pada awal pagi sebaik sahaja selepas hujan. Warna yang dilihat adalah warna asal yang dirakam dalam format RAW. Canon EOS 5D Mark II,Canon EF17-40mm F4L Tv(Shutter Speed) 25 sec, Av(Aperture Value)F4.5, ISO Speed 50

Manusia melihat objek-objek yang wujud di perkitaran secara berwarna-warni. Warna mampu menimbulkan impak antara satu objek dengan objek yang lain. Dalam masa yang sama warna juga seringkali menarik perhatian seniman untuk merakamkan keindahannya samada dalam bentuk lukisan atau pun melalui medium fotografi. Jurugambar, terutamanya jurugambar alam semulajadi perlu berlatih untuk melihat secara lebih analitikal terutamanya terhadap perubahan warna yang berlaku di sekeliling kita.

Warna didefinisikan sebagai kesan yang diperoleh mata daripada cahaya yang mempunyai gelombang yang berlainan yang memancar atau dipancarkan kembali oleh benda-benda (putih, hitam, biru dan lain-lain). Gaspare De Flore dalam bukunya yang bertajuk Drawing with color and imagination menyatakan bahawa warna adalah cahaya. Dunia yang kita lihat merupakan satu kesan serapan (reduction) yang diterjemahkan menerusi tindakan otak yang terbina daripada kepelbagaian warna yang boleh didapati pada siang hari. Sensasi warna yang diperoleh menerusi deria penglihatan kemudian diterjemakan oleh otak sebagai ‘apa yang dikenali sebagai warna’. Proses terjemahan oleh otak ini sehingga kini dianggap sebagai suatu proses misteri oleh saintis. Seorang penyair berbangsa Jerman, Johann Wolfgang von Goethe menegaskan bahawa warna perlu dikaji semasa kewujudan fizikal yang terbentuk daripada dunia luar sebagai satu komponen cahaya putih yang dapat dicapai daripada pelbagai jarak gelombang (wave lengths). Ada sumber yang mengatakan bahawa warna kuning ialah warna yang pertama dapat dilihat apabila warna putih digelapkan. Sementara itu, apabila warna hitam dicerahkan warna pertama yang bakal dilihat ialah biru. Dari sinilah kualiti warna seperti sejuk dan panas, aktif dan pasif dapat ditentukan. Warna kuning dan warna biru dikatakan gabungan warna yang terbina daripada proses interaksi antara terang dan gelap. Dalam bidang seni visual terutamanya fotografi digital, penggunaan dan pengaplikasian warna yang tepat mampu menggambarkan mood, dimensi dan suasana komposisi foto yang dirakam itu. Melalui penggunaan teknologi digital, warna dapat diubah dan dimanipulasikan dengan mudah dan pantas.

Kebanyakan calon jurugambar atau pun seniman sentiasa berhadapan dengan masalah kemungkinan menghasilkan karya yang gagal memenuhi kriteria sebagai sebuah karya seni yang bermutu tinggi kerana karya yang dihasilkan itu lemah daripada segi kefahaman tentang cahaya dan factor-faktor yang mempengaruhi sesuatu pencahayaan terhadap sesuatu subjek. Contohnya, gambar pemandangan yang baik daripada segi nilai dedahan merupakan sebuah komposisi bagus yang memiliki nilai tonaliti yang sempurna bermula daripada tona pertengahan (mid tone), tona kecerahan (highlight) dan tona bayang (shadow). Ketiga-tiga nilai tonaliti ini perlu ‘diadun’ secara konsisten supaya maklumat visual yang hendak dipaparkan dapat diterjemah dengan tepat. Sementara kualiti warna pula wujud di antara ketiga-tiga gradiasi tonaliti ini seperti warna hijau daun-daun dan rumput akan dirakamkan sebagai warna hijau tepat dan bukannya hijau muda atau hijau gelap. Hal ini penting kepada jurofoto supaya mengekalkan kualiti warna yang dilihat oleh beliau melalui mata kasar ketika subjek ini dirakamkan di atas permukaan sensor digital ataupun dedahan filem.

A cityscape of Putrajaya, Malaysia
Namun begitu, di lokasi yang sama, beberapa minit kemudian suhu cahaya berubah menjadi lebih sejuk dengan menghasilkan “cast” yang memperlihatkan warna biru mendominasi komposisi gambar ini. Canon EOS 5D Mark II, Canon EF17-40mm F4L, Tv (Shutter Speed) 30 sec, Av(Aperture Value) F8.0, ISO Speed 50

Warna sejuk dan warna panas
Ilusi warna panas dan sejuk ini wujud secara psaikologi kerana sifat warna yang berubah kesan daripada perubahan kualiti cahaya yang berubah setiap masa. Warna sejuk merujuk kepada warna-warna lembut yang sering dikaitkan dengan warna spektrum yang terhasil daripada kesan cahaya yang dipancarkan oleh matahari terutamanya cahaya awal pagi. Lewat petang pula memiliki kualiti cahaya kuning dan merah yang lebih cenderung kepada warna panas. Hal ini berbeza pada waktu tengahari yang menghasilkan kualiti cahaya yang lebih neutral yang kadang-kala akan mencadangkan kualti cahaya yang lebih lembut dan sejuk. Sehubungan dengan ini maka dapatlah difahami bahawa gambar pemandangan sesuai dirakamkan ketika samada matahari terbit ataupun matahari terbenam kerana pada ketika ini kualiti cahaya yang diserakkan akan menghasilkan kesan cahaya yang lebih ‘suttle’ dan seimbang.

Suhu warna
Suhu warna diukur sebagai darjah Kelvin (K). Suhu warna normal adalah pada ukuran 5500K iaitu purata kualiti warna yang boleh diperolehi pada waktu siang. Pada waktu matahari terbit dan matahari terbenam suhu warna ialah pada 2400K kerana purata kualti warna pada masa ini lebih dominan kepada warna kuning, oren dan merah. Suhu warna ini bertukar kepada 4000K pada purata cahaya matahari pagi dan cahaya matahari petang sementara suhu cahaya pada persekitaran yang mendung akan bertukar kepada 6000K kerana pada suhu ini ilusi warna sejuk terhasil. Umumnya, adalah penting kepada calon seniman dan jurufoto untuk memahami perubahan suhu warna supaya kualiti warna yang berlaku ini dapat dimanfaatkan secara kreatif untuk menghasilkan kesan khas (special effects) yang mampu menimbulkan impak terhadap karya dan visual yang dihasilkan.

Kesimpulannya, nilai cahaya yang berbeza sebenarnya adalah faktor utama kepada pembentukan kualiti warna dan kesan kualiti warna terhadap permukaan objek dan komposisi objek yang akan dilihat oleh lensa kamera dan seterusnya direkodkan di atas permukaan filem atau pun rakaman secara digital. Perbezaan kualiti warna yang berlaku di atas setiap permukaan objek perlu dianalisa dan digunakan secara kreatif supaya kesannya mampu menghasilkan impak terhadap kualiti visual yang dihasilkan.

Kontras menerusi warna
Kontras merujuk kepada hubung kait antara objek dengan elemen-elemen lain yang mengeliling objek tersebut. Kontras akan terjadi sekiranya warna sesuatu objek berlainan daripada objek yang lain. Faktor saiz juga berperanan menentukan nilai kontras objek tersebut. Sekiranya sekuntum mawar merah diletakkan di atas sehelai kertas berwarna hijau maka kontras antara warna hijau dan merah akan terhasil. Perlu diingat bahawa nilai kontras akan semakin berkurang sekiranya dua kuntum bunga yang sama masing-masing diletakkan di sudut kiri dan kanan kertas tersebut. Walaupun warna hijau masih dominan (bersaiz besar) tetapi nilai kontras makin berkurangan kerana nilai-nilai pengulangan telah cuba diaplikasikan oleh pengkarya.

A cityscape of Putrajaya, Malaysia
Gambar ini dirakam pada awal pagi selepas waktu selepas subuh. Kualiti suhu cahaya ketika ini adalah lebih panas dan menghasilkan warna keperang-perangan pada keseluruhan gambar. Canon EOS 5D Mark II, Canon EF17-40mm F4L, Tv( Shutter Speed ) 30 sec, Av( Aperture Value ) F8.0, ISO Speed 50

Warna-warna asas dan makna konotasinya

Kuning
Warna kuning merupakan warna paling terang dan membayangkan unsur-unsur kebatinan, kebendaan, kecerdikan dan ilmu pengetahuan. Sekiranya kuning digelapkan warna ini membawa maksud kejahilan, atau kesalahan. ‘Keceriaan’ warna kuning akan hilang sekiranya dicampurkan dengan kelabu,hitam atau ungu.

Oren
Warna ini terbentuk daripada kesan campuran seimbang antara warna merah dengan warna kuning. Warna oren dirujuk sebagai warna panas yang membawa sifat-sifat aksi dan keriangan. ‘Kepanasan’ warna oren bergantung pula kepada peratusan warna kuning yang dicampur. Kuning dan merah adalah warna tertiari (yang ketiga) iaitu warna yang terletak antara kuning dengan oren, dan oren dengan merah dalam jadual bulatan warna kromatik. Warna oren mengandungi ciri-ciri emosi, dunia penuh bantahan dan demostrasi serta peperangan.

Merah
Terjemahan literal dan tradisional mendefinisikan warna merah sebagai yang menggambarkan keriangan dan muram, sementara warna merah pekat adalah lambang cinta dan kasih sayang. Warna merah terjadi daripada gabungan semua warna yang memperlihatkan kesungguhan, menjaga maruah dan melahirkan kesan dramatik. Merah dianggap sebagai warna yang membawa ciri-ciri kebenaran. Kepekatan warna merah diminimakan dengan campuran warna putih. Warna merah jambu (pink) yang terhasil membawa maksud kelembutan, harmonis dan kewanitaan.

Ungu
Warna ungu secara konotasinya boleh diterjemahkan sebagai mendukung maksud di bawah sedar (mimpi), kegelapan,kesan mistik, melankolik dan kesedihan. Warna ungu pekat yang hampir kepada warna hitammembawa maksud ketakutan. Kepekatan dan kecairan warna boleh dihasilkan samada dengan kaedah mencampurkan warna terang atau sebaliknya. Makna konotasinya akan bertukar mengikut nilai tona warna yang terhasil itu.

Biru
Warna biru dikaitkan dengan unsur-unsur kebatinan dan menggambarkan kekayaan kesan pembalikan daripada langit, laut dan ciri-ciri kesegaran. Warna biru tergolong dalam kategori warna sejuk. Warna biru pada langit diasosiasikan dengan kepercayaan dan ketakwan. Sementara itu kaum cina mengaitkan warna ini dengan unsur-unsur yang tidak bermoral. Pada penerimaan umum pula, warna biru menggambarkan ciri-ciri semula jadi.

Hijau
Biru ialah warna komplementari yang terhasil daripada campuran dengan kuning dan biru. Warna hijau juga dikaitkan dengan warna semula jadi seperti rumput, daun dan lain-lain.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 05 (Feb/Mac 2012)

fg-05-cover