False Color Photography

30/03/2017 | miza

Teks & Foto: Dome

false-color1-e
Nikon D80, f/16, ISO 320, 1/80s

 

Berbeza dengan tiga isu yang lepas saya membincangkan tentang fotografi ‘infrared’ bermula dengan asas untuk merakam, suntingan dan juga menyentuh mengenai persoalan tentang foto hitam putih ‘infrared’. Untuk isu kali ini saya ingin berbicara sebuah topik yang sedikit berbeza tetapi masih lagi dalam lingkungan tajuk yang sama iaitu berkenaan fotografi ‘false color’ . Di sekeliling kita terdapat dua unsur cahaya iaitu cahaya ‘visible’ yakni cahaya yang kita lihat dengan mata kasar dan cahaya ‘invisible’ yakni cahaya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti cahaya ‘infrared’.

false-color2-e
Nikon D80, f/13, ISO 320, 1/125s

Secara dasar selalunya kita melihat kepada fotografi ‘infrared’ yang suka saya pecahkan kepada dua bahagian iaitu ‘color infrared’ dan juga ‘black & white infrared’.  Di dalam fotografi analog juga terdapat dua jenis filem untuk ‘infrared’ iaitu ‘black & white’ dan ‘color infrared’, salah satu contoh untuk filem bagi ‘color infrared’ adalah Kodak Ektachrome Pro Infrared/EIR yang dikeluarkan dalam format  35mm dan 120mm.

false-color9-e
Nikon D80, f/16, ISO 200, 1/250s

 

Bagi fotografi digital juga tidak jauh bezanya kerana ‘filter-filter’ atau penuras infrared yang di hasilkan juga secara asasnya terdapat dalam dua jenis iaitu hitam putih dan berwarna. Filter-filter dari jenama seperti Hoya R72, Kenko R72, Octopus 720nm, Suntec 720nm dan pelbagai lagi adalah antara filter ‘color infrared’ yang membenarkan spectrum warna ‘infrared atau invisible light’ dan ‘visible light’ menerobos menerusi  filter ketika rakaman foto dibuat dalam kadar kuantiti tertentu dan ini menjadikan hasil foto yang di rakam masih mempunyai warna-warna tertentu yang boleh disunting melalui perisian seperti ‘Adobe Photoshop’. Penuras jenis ini juga dikenali sebagai ‘near-infrared’ kerana tidak sepenuhnya menapis cahaya ‘visible’. Jika secara total sesebuah penuras itu menapis cahaya ‘visible’ dan hanya membenarkan cahaya ‘infrared’ melaluinya maka foto yang terakam akan bersifat  ‘monochrome’ atau ‘black and white’.

false-color5-e
Nikon D80, f/8, ISO 320, 1/320s

Berbalik kepada tajuk asal kita iaitu ‘false color’ yang mana secara asasnya boleh dirungkai menerusi ungkapan ini, “warna yang anda lihat adalah bukan warna yang anda dapat”. Kebanyakan penuras yang diguna pakai untuk menghasilkan foto-foto ‘false color’ hanya membenarkan kemasukan cahaya ‘visible’ iaitu cahaya yang kita nampak dengan mata kasar. Warna yang terhasil di dalam foto kita bergantung kepada warna penuras atau filter yang telah dibuat mengikut jarak gelombang tertentu oleh pihak pengeluar optik.

false-color3-e
Nikon D80, f/8, ISO 100, 1/160s

Kebiasaanya digunakan untuk kamera-kamera DSLR yang diubahsuai. Terdapat juga sesetengah penuras yang mana warnanya hampir menyamai warna foto normal tetapi kontras warnanya lebih tinggi dan beberapa perubahan warna akan berlaku terutamanya pada warna hijau daun.  Antara ciri utama ‘false color’ ini adalah warna kulit yang tidak berubah atau hampir tidak berubah sama sekali dan juga warna langit juga akan kekal kebiruan.  Manakala warna fabrik, daun, rambut kebiasanya akan mengalami perubahan mengikut warna penuras yang digunakan. Foto-foto jenis ini adalah bertujuan bagi meringankan kerja-kerja suntingan seseorang jurugambar berbanding dengan foto ‘color infrared’. Contohnya dari segi warna kulit, anda perlu membuat proses suntingan bagi mendapatkan warna yang sepatutnya.

false-color6-e
Nikon D80, f/13, ISO 200, 1/100s

Secara teorinya foto normal juga boleh disunting menjadi sebuah foto berbentuk ‘false color’ melalui sebarang perisian suntingan iaitu dengan mengubah nilai ‘hue’ dan ‘color balance’, akan tetapi dari segi kepuasan fotografinya, anda tidak mungkin akan dapat dan kadangkala foto kelihatan tidak menjadi jika tidak disunting dengan warna yang betul.

Secara umumnya untuk anda fahami, sesebuah kamera itu, samada dengan penggunaan penuras pada lensa atau yang diubahsuai, jika masih membenarkan kemasukan cahaya ‘visible’ maka foto yang terhasil secara amnya adalah tergolong didalam lingkungan kategori ‘false color’.

false-color7-e
Nikon D80, f/16, ISO 100, 1/250s

Jika ada di antara anda memiliki sebarang kemuskilan, boleh mengemukakan sebarang persoalan melalui  group facebook digitaliris yang boleh di akses melalui http://www.facebook.com/groups/digitaliris/.

 

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 04 (Dis 2011/Jan 2012)

fg-04-cover_o