Teks & Foto: Jidin

Gestalt dalam bahasa German bermaksud keseluruhan. Teori Gestalt berpendapat bahawa manusia melihat sesuatu secara keseluruhan terlebih dahulu dan kemudian baru melihat sesuatu itu secara sebahagian. Sebagai contoh, jurugambar akan mengimaginasikan secara keseluruhan hasil gambar yang akan terhasil sebelum memulakan pengambaran, kemudian memikirkan sebahagian elemen-elemen yang ada dalam fotografi untuk menghasilkan imej yang baik secara keseluruhan. Jurugambar akan memikirkan secara keseluruhan bentuk dan kedudukan subjek dalam gambar yang akan dihasilkan dengan gabungan elemen fotografi untuk menghasilkan gambar yang memberi makna dan menyampaikan makna dan emosi yang ingin diserlahkan dalam gambar.

Gestalt diasaskan oleh Frederick (Fritz) dan Laura Perls pada tahun 1940. Penjelasan dan interpretasi dianggap kurang dipercayai daripada apa yang dilihat secara langsung dan dirasai. Perbezaan perspektif menjadi tumpuan percubaan dan dialog yang berterusan. Matlamatnya adalah supaya klien sedar apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka melakukannya, dan bagaimana mereka boleh mengubah diri mereka sendiri, dan pada masa yang sama, belajar untuk menerima dan menilai.
Terapi Gestalt lebih tertumpu kepada proses (apa yang berlaku) daripada kandungan (apa yang dibincangkan). Penekanan adalah kepada apa yang sedang dilakukan, fikiran dan rasa pada ketika ini dan bukannya pada apa yang telah, mungkin, atau patut dilakukan.

Kesan Gestalt merujuk kepada keupayaan membentuk deria kita (Gestalt dalam bahasa Jerman bermaksud “bentuk” atau “angka”), terutamanya berkenaan dengan pengiktirafan visual angka dan bentuk keseluruhan dan bukan hanya sekadar koleksi garisan dan lengkung.
Gestalt berpendapat bahawa hampir semua aspek seni datang dari evolusi minda manusia dalam usaha untuk mengekalkan kehidupan. Sejak zaman Greek lagi, artis dan ahli sains telah cuba untuk mengukur sesuatu perkara dalam bentuk atau komposisi. Orang-orang Yunani memperkenalkan “golden rules” yang sangat dekat dengan apa yang kita kenali sebagai “rules of third” dalam fotografi. Malah, mereka juga menggambarkan dimensi matematik yang tepat untuk konsep yang ideal. Konsep Ideal ini telah mempengaruhi hasil lukisan klasik dan ukiran mereka.
Gestalt bermatlamat untuk mempelajari bagaimana minda manusia melihat dan memproses input visual. Hasilnya ialah teori dan prinsip yang berasaskan kebebasan daripada prasangka subjektif estetik, dimana artis dapat menggunakannya untuk menyampaikan maklumat visual samada dalam bentuk halaman bercetak, lukisan atau fotografi. Walaupun prinsip ini mungkin jarang didengar, prinsip ini sebenarnya jelas bagi seseorang jurugambar.
Sedar atau tidak, keperluan kepada keseimbangan banyak mempengaruhi kita dalam memproses input visual. Prinsip keperluan kepada keseimbangan menjelaskan cubaan kita untuk mendapat keseimbangan dalam semua perkara yang dilihat. Begitu juga yang berlaku kepada orang yang melihat hasil kerja jurugambar.
Sebagai contoh dalam penciptaan logo syarikat oleh seseorang artis grafik, ada unsur ciptaan keseimbangan dengan meletakkan ditengah pusat supaya kelihatan seimbang dan stabil dan boleh menarik minat mata untuk terus memandang logo tersebut. Sebagai contoh jika melihat logo sebuah syarikat minyak terkemuka seperti Shell. Mata kita akan tertumpu kearah logo tersebut kerana daya tarikan keseimbangan yang dihasilkan.
Sebagai jurugambar, idea yang sama boleh digunakan untuk membantu menghasilkan gambar yang lebih menarik daripada logo ataupun teks dengan memecahkan ia ke dalam unit yang terkandung di dalamnya unit-unit lain. Jurugambar potrait sering melakukan perkara ini dalam gaya rakaman mereka, komposisi “bullseye”. Ini kerana mereka mahukan anda, sebagai penonton, untuk melihat kepada wajah dan mata subjek.

Namun kita tidak selalu digalakkan untuk mempunyai segala-galanya dalam keseimbangan. Sebagai contoh, kita diberitahu dalam fotografi agar tidak meletakkan subjek di tengah-tengah gambar pada masa-masa tertentu supaya gambar kelihatan lebih menarik. Tidak semestinya keseimbangan itu dicapai hanya dengan meletakkan sesuatu subjek ditengah-tengah gambar. Ini kerana mungkin akan menimbulkan rasa bosan kepada mata yang melihat kerana pada akhirnya mata tiada lagi halatuju lain dan hanya akan tertumpu pada tengah-tengah imej sahaja.
Terdapat cara lain untuk mewujudkan keseimbangan di samping meletakkan semua betul-betul di tengah imej. Untuk itu, maka istilah “ rule of thirds” perlu difahami untuk menghasilkan gambar menarik. Jadi bagaimana anda mencapai keseimbangan jika anda tidak meletakkan subjek di tengah-tengah? Pemahaman tentang “ Rules of third” adalah satu permulaan yang baik. Ingat bahawa “ Rules of third” tidak hanya menggambarkan empat mata dalam ruang, ia juga menerangkan empat paksi secara vertical dan horizontal yang boleh digunakan untuk menyusun elemen-elemen gambar. “ Rules of third “ boleh dicapai dengan mewujudkan tiga grid yang dalam bentuk mendatar dan menegak.

Anda juga boleh menghasilkan gambar anda menggunakan konsep ruang positif dan negatif. Konsep ini menekankan bahawa anda mesti seimbangkan perletakan subjek, dimana anda akan menentukan subjek utama dan juga latarbelakang. Keseimbangan yang wujud dari konsep negatif dan positif juga membantu menghasilkan gambar yang menarik.
Sebagai kesimpulan, artikel ini bertujuan untuk berkongsi tentang rasional pemilihan oleh seseorang jurugambar dalam perletakan sesuatu subjek atau individu sebelum merakam gambar dan bagaimana perletakan subjek atau individu pada foto yang dirakam boleh berkomunikasi dan memberi makna yang berbeza.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 02 (Ogos/September 2011)
