Gambar pertama di dunia?!

27/03/2017 | miza

Penyusunan: Editorial

 

 

1826 Imej kekal pertama dicipta
Joseph Nicéphore Niépce mencipta imej kekal pertama di dunia di atas kepingan piuter.

 

Kebanyakan mereka  yang menceburkan diri dalam dunia fotografi masa kini kurang peka dengan sejarah fotografi itu sendiri.  Bak kata pepatah melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jadi untuk ruangan klasik FotoGrafika yang pertama ini, adalah wajar kiranya untuk kami memberi sedikit sebanyak input dan penceritaan mengenai sejarah awal terciptanya gambar itu sendiri. Mengapa sejarah mengenai gambar, bukan kamera? ini kerana berpunca dari terciptanya gambarlah kamera dihasilkan.

Penciptaan imej kekal seperti yang terdapat pada masa kini sebenarnya bermula seawal tahun 1826 oleh seorang pereka cipta dari Perancis bernama Joseph Nicéphore Niépce.Bertempat di Le Gras, Perancis beliau mengunakan kepingan piuter yang dikilatkan dan disalut dengan bitumen. Kepingan tersebut ditanggalkan di tepi sebuah tingkap yang terdedah kepada cahaya matahari didalam sebuah bilik lebih lapan jam dari pagi hingga ke petang. Bitumen tersebut menjadi keras apabila terdedah kepada cahaya manakala bahagian yang tidak mengeras kemudiannya dibasuh dan meninggalkan kesan negatif sebuah imej. Kaedah ini dinamakan heliograph atau ‘sun prints’ dan dikatakan prototaip kepada fotografi moden masa kini. Begitulah serba ringkas sejarah bagaimana imej pertama tercipta. Sekarang mari kita lihat sejarah beberapa genre fotografi yang dicatatkan di dunia.

 

 

1839 Imej pertama manusia

Seorang pelukis dan ahli kimia Perancis Louis-Jacques-Mandé Daguerre telah berjaya merakamkan imej sebuah jalan di Paris dari tingkap kediaman pangsapuri beliau. Disebabkan proses merakam imej ini mengambil masa beberapa minit lamanya, imej objek yang bergerak di atas jalan menjadi kabur. Tetapi tuah menyebelahi beliau apabila terdapat seorang lelaki telah berhenti untuk mengilap kasutnya dan berada dalam keadaan pegun cukup lama untuk dirakam dengan jelas. Imejnya berjaya dirakam oleh Daguerre menjadikan imej lelaki yang tidak dikenali itu imej manusia pertama di dunia. Beliau menamakan kaedah merakamkan imej beliau daguerreotype.

 

1847 Imej pertama kilat

 

Pada tahun 1847,  Thomas Martin Easterly dari Amerika Syarikat berjaya menghasilkan imej kilat atau petir menggunakan kaedah daguerreotype. Pengamal kaedah daguerreotype digelar ‘daguerreotypist’.

 

 

 

 

 

 

1847 Imej pertama peperangan

Sewaktu perang Amerika-Mexico pada tahun 1847, seorang daguerreotypist  bernama Charles J. Betts  telah menyertai tentera Amerika ke Veracruz, Mexico untuk merakamkan gambar kematian dan kecederaan perang. Terdapat beberapa lagi daguerreotypist yang turut serta dalam misi ini. Namun dikatakan gambar peperangan yang sebenar dirakam sewaktu Perang  Crimean di Eropah sekitar tahun 1855 dan 1856. Kerajaan British menghantar beberapa jurugambar bagi merakam peperangan tersebut. Seorang peguam Roger Fenton telah turut serta sebagai jurugambar. Beliau adalah satu-satunya jurugambar yang mendapat hasil yang bagus dalam misi tersebut. Frenton dan Pembantunya merakam lebih 350 imej yang kebanyakannya imej potret.

 

 

 

 

1858 Imej udara pertama

 

Felix Tournachon,dikenali sebagai nom de plume Nadar, beliau menggabungkan minat beliau dalam aeroangkasa, penulisan dan fotografi berjaya merakam imej Lembah Bievre di Paris dengan menaiki sebuah belon yang ditambat. Imej beliau menjadi titik tolak kepada teknologi pengimejan udara,pemetaan malah risikan ketenteraan masa kini.

 

 

1861 Imej berwarna pertama

 

 

 

Seorang ahli fizik Scotland James Clerk Maxwell mencipta imej berwarna dengan menindih satu skrin dengan tiga imej hitam putih dengan setiap satunya melalui tiga tapisan warna prima iaitu merah,hijau dan biru. Imej berlainan warna yang dicipta beliau membuktikan keberkesanan kaedah tiga warna. Bermula dari teori asas inilah inovasi warna bermula terutamanya oleh Lumißre bersaudara dari Perancis.

 

 

 

 

1878 Imej bersiri pertama

Jurugambar berbangsa Inggeris Eadweard Muybridge menggunakan campuran atau emulsi terbaru bagi meghasilkan imej dengan serta-merta. Siri imej kuda berlari beliau dihasilkan dengan mengunakan 12 buah kamera yang dilengkapi wayar pintas. Tujuan beliau adalah untuk menyelesaikan persoalan mengenai adakah keempat-empat tapak kaki kuda pada masa-masa tertentu, serentak tidak menjejakkan kaki ke tanah sewaktu berlari.  Kejayaan ini membawa fenomena baru dalam dunia rakaman imej. Muybridge merakam ratusan urutan imej manusia dan juga haiwan. Urutan imej-imej tersebut juga telah menyumbang kepada bermulanya era imej bergerak perfileman.

 

 

 

1946 Imej pertama diambil dari ruang angkasa

Penyelidik dari makmal fizik gunaan Universiti Johns Hopkins telah mengikat sebuah kamera berformat 35mm pada misil peluru V-2 German dan melancarkannya ke angkasa dari White Sands Missile Range di New Mexico. Kamera tersebut merakam imej setiap satu setengah saat apabila roket itu menghampiri ketinggian 105 kilometer dari permukaan bumi. Kamera tersebut terhempas ke bumi tetapi bekas logam yang menyimpan kamera tersebut berada dalam berkeadaan baik dan filem tersebut berjaya diselamatkan. Imej yang telah diproses telah menjadi imej pertama bumi yang dirakam dari ruang angkasa. Ratusan surat khabar dan majalah menyiarkan gambarajah tersebut pada waktu itu.

 

 

Kodak DCS 100 vintage DSLR. Nikon F3 with 28mm f/2 lens and Kodak digital back. Photo by Jarle Aasland.

Jenama Kodak adalah pengeluar pertama kamera digital yang dipasarkan kepada umum pada tahun 1991. Kamera tersebut terlalu mahal dan kebanyakannya dibeli oleh jurugambar-jurugambar professional sahaja. Model DCS-100 keluaran Kodak ini menggunakan model Nikon F3, badan kamera ini dipasang dengan sensor digital berkapasiti 1.3 megapiksel. Selepas beberapa tahun kemudian, beberapa jenama lain mula memasarkan kamera digital dengan harga yang lebih murah dan mampu dimiliki. Sehingga hari ini, pelbagai rekabentuk kamera digital yang boleh didapati dipasaran dengan harga yang lebih murah.

 

9804aa

Jika dikaji terdapat pelbagai lagi fakta menarik mengenai sejarah awal penciptaan imej didunia. Dengan  mengetahui sejarah fotografi itu sendiri, kita akan lebih menghargai bidang seni ini dan mudah-mudahan akan dapat menjadi dorongan kepada karya-karya yang akan dihasilkan kelak.  Ketika ini jika anda rasa bertuah memasuki dunia fotografi dalam era digital, cuba bayangkan sejauh mana usaha yang diambil oleh jurugambar-jurugambar terdahulu untuk mendapatkan sesebuah gambar. Oleh itu hargailah setiap gambar yang anda ambil kerana anda adalah jurugambarnya.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 01 (Jun/Julai 2011)

fg_01_cover