Teks: Miza Foto: Miza & Ashraf Saharudin

Suatu ketika dahulu, hanya mempunyai 9 buah keluarga sahaja yang menetap di Jiufen. Telah menjadi kebiasaan, mereka membeli 9 keping barangan yang sama ketika tempahan. Oleh kerana itu, tempat ini dikenali sebagai Jiufen (9 keping). Jiufen merupakan pekan kecil yang terletak di atas bukit yang mempunyai pemandangan Taiwan yang indah menghadap laut dan persekitaran gunung-ganang. Semasa zaman Dinasti Qing, pekan terpencil ini ditemui ketika penemuan emas semasa penjajahan Jepun pada 1893. Jiufen merupakan pusat arang emas yang berlokasi di atas bukit utara Taiwan. Pada zaman dahulu Jiufen merupakan bandar emas di Asia dan dikenali sebagai pekan kecil Shanghai atau pekan kecil Hong Kong. Sebelum mempunyai kemudahan jalan raya, kesemua barangan di bawa menggunakan kapal.

Kebanyakkan bangunan di Jiufen masih mengekalkan reka bentuk bangunan asal hingga ke hari ini serta berkedudukan rapat sehingga membentuk lorong kecil yang boleh dilalui untuk ke jalan utama. Paling mendapat tumpuan para pelancong disini ialah Jiufen Old Street, dimana kedai disepanjang jalan menjual barangan cenderamata, snek tempatan popular seperti Taro Ball, Ah Zhu Peanut Ice Cream dan banyak lagi. Kini banyak kedai berkonsepkan kafe gaya Jepun, Inggeris telah dibuka disamping pemandangan rumah di lereng bukit menjadikannya pemandangan seakan-akan negara Greece di Asia!

Pengunjung yang datang ke sini sentiasa menantikan waktu matahari terbenam dimana anda boleh melihat betapa indahnya apabila matahari menyusul meninggalkan bumi ini dan melihat keseluruhan bandar Taipei yang boleh dilihat dari atas bukit tersebut. Kemeriahan tidak terhenti di Jiufen apabila hari sudah malam kerana disini, anda dapat melihat kedai-kedai dihiasi dengan lampu yang menarik untuk anda merakamnya.

Bukan di Malaysia sahaja terdapatnya homestay, akan tetapi di Jiufen ini juga ada homestay yang anda boleh menginap bersama-sama keluarga dan rakan. Homestay ini mempunyai keunikkan tersendiri apabila rumah tersebut dihiasi dengan barangan hiasan yang retro dan menarik. Apa yang lebih menarik lagi apabila lantai dan dinding bilik air diperbuat daripada papan. Homestay yang kami menginap terbahagi kepada dua pintu masuk dalam satu rumah. Rumah dua tingkat ini mempunyai ruang tamu, bilik air, 4 katil saiz queen dan ruang santai dihadapan rumah untuk menikmati pemandangan yang menghadap laut.

Untuk sampai ke sini, anda boleh turun di stesen Ruifang dan menaiki bas no 788 ataupun teksi untuk ke Jiufen. Masa perjalanan hanya 30 minit daripada pekan Ruifang.
Lawatan anda tidak lengkap sekiranya anda tidak singgah di Jinguashi Gold Mining Town yang terletak 10 minit dari pekan Jiufen dan Golden Waterfall yang berada ditepi jalan besar. Malah, spot pemandangan terkenal, Yin Yang Sea turut boleh dilihat berdekatan komuniti Changren. Kelihatan warna air laut seolah-olah terbelah dua.
Jinguashi Gold Mining Town telah dibuka pada tahun 2004 oleh kerajaan Taipei yang dikenali sebagai Gold Ecological Park. Selepas terbentuknya New Taipei City, taman ini diberi nama sebagai Muzium Emas pada tahun 2014. Di sini pelbagai informasi disediakan mengenai perlombongan emas dan bagi pengunjung yang ingin mengkaji dan mempelajari mengenai perlombongan emas ini anda boleh ke pusat pertanyaan dan ada krew yang akan membantu anda. Selain daripada itu, pengunjung boleh memegang sendiri jongkong emas yang seberat 220kg. Malah, terdapat juga taman serta rumah berkonsepkan budaya Jepun dipamerkan di sini.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah digital Fotografika isu 29 (Feb/Mac 2016)
