Teks: Andrialis Abdul Rahman
Kolaborasi bersama: Nadia Yasliza

Seni abstrak merupakan seni yang tidak menggambarkan sesuatu objek yang utuh dan jelas baik daripada komposisi warna, garis atau bentuk. Seni abstrak berbeda dari seni realistik dimana ianya tidak mempunyai rupa bentuk yang dikenali (non-representational art). Pada awalnya, seni abstrak dianggap sebagai satu seni ‘dekoratif’ , termasuklah seni Islam. Tetapi realitinya adalah ianya lebih daripada seni ‘dekoratif’. Seni abstrak mampu menimbulkan kesedaran spiritual kepada pengkarya dan lari dari dunia materialistik.

Sejarah seni abstrak ini bermula pada tahun 1911 dengan lukisan Picture with a Circle (2011) karya seniman Rusia, Wassily Kadinsky (1866-1944). Kandinsky percaya bahawa warna mampu memprovokasi emosi seseorang (the psychology of colour). Kandinsky juga telah mengunakan muzik untuk menghasilkan karya beliau, dan seni abstrak yang dihasilkan berkaitan dengan bunyi dan pergerakan.
Konsep seni abtrak ini telah menjadi ‘penyelamat’ kepada sesetengah pengkarya kerana mereka tidak perlu terikat dengan konsep realiti dalam hasil karya mereka. Ianya menjadi kebebasan kepada pengkarya untuk menyampaikan mesej dalam bentuk yang berbeda. Pengkarya tidak mempunyai batas untuk berekspresi dan dapat memberikan impak yang lain kepada penonton.

Seni fotografi juga tidak lari dengan konsep seni abstrak. Pelbagai teknik experementasi yang boleh dilakukan dalam fotografi bagi menghasilkan seni abstrak. Ianya tidak terhad kepada fotografi ‘close-up’ bahkan lebih dari itu. Seni abstrak dalam fotografi dapat direalisasikan melalui pelbagai kaedah yang lain seperti eksperimen dalam pemprosesan filem atau eksperimen dalam pengunaan perisian komputer.
Pengkarya harus meneliti proses eksperimentasi dari setiap sudut masa, bahan kimia dan lain-lain kerana dengan teknik-teknik yang berbeda akan menghasilkan fotografi abstrak yang berbeda.
Komponen-komponen yang terhasil dalam eksperimentasi ini dapat digambarkan oleh penonton melalui persepsi mereka yang tersendiri kerana seni abstrak mampu diolah untuk meyampaikan mesej-mesej yang berbeda daripada penghasilan satu karya fotografi abstrak.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah digital Fotografika isu 26 (Ogos/September 2015)
