Teks & Foto: Shuhada Hasim

Bila berbicara mengenai potret fotografi, hanya jurufoto itu sahaja yang mengetahui intipati visual yang ada dalam mindanya. Pada waktu yang sama subjek juga punya imaginasi di dalam minda mengenai imej yang diinginkan. Seseorang yang telah sedia untuk dipotret wajah atau dirinya seringkali akan bertanya, “Apa yang perlu dilakukan?”. Soalan akan ditanya apabila subjek itu telah siap dirias dan kebiasaannya mereka akan berasa gugup untuk memulakan sesi pengambaran atau mereka juga berada dalam keadaan tertanya-tanya akan langkah seterusnya. Adalah tugas jurufoto untuk memberitahu visinya kepada subjek dan juga harus mendengar imaginasi tentang foto yang diinginkan daripada subjek.

Selepas diskusi dalam artikel sebelum ini yang memperkatakan mengenai kepercayaan, satu lagi elemen yang sangat penting dalam fotografi potret adalah komunikasi. Memetik kata-kata Annie Leibovitz, “If I don’t get a good picture, I don’t blame my subject. I blame me.”
Dalam setiap sesi fotografi potret, jurufoto adalah kemudinya. Berjaya atau tidak mendapatkan imej yang diinginkan, bergantung kepada jurufoto itu sendiri. Komunikasi adalah kunci untuk seseorang jurufoto potret itu berjaya dalam merealisasikan visi dari dalam minda kepada potret.
Kebijakasanaan jurufoto potret teruji dengan menggunakan komunikasi dalam mengenali personaliti subjek. Gaya, personaliti bahasa tubuh dan karakter wajah seseorang subjek itu akan diperoleh melalui komunikasi yang berkesan. Melalui komunikasi juga, tidak kira umur, jantina atau profesion, subjek akan merasa selesa untuk bekerja dengan jurufoto. Keselesaaan subjek adalah kritikal dalam sesi potret dimana apabila subjek akan ‘menjadi diri’ mereka sendiri dan lebih terbuka dalam menerima arahan daripada jurufoto. Pada masa ini, jurufoto harus tahu matlamat yang ingin dicapai dalam sesi potret itu.

Tanpa komunikasi, tidak akan dapat tercapai persefahaman visual daripada minda jurufoto dan imaginasi foto daripada subjek. Komunikasi boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Memuji subjek akan pemakaian atau wajahnya sewaktu mereka melangkah masuk studio akan membuat mereka gembira, bertanyakan subjek apakah perasaannya sewaktu jurusolek mula merias wajahnya, mungkin mereka ingin menyatakan mereka merasa gemuruh, kemudian tanyakan samada subjek telah makan atau belum, tanyakan keadaanya sewaktu mencari lokasi pengambaran. Apabila subjek mula menunjukkan pakaian yang dibawa ke lokasi, tanyakan pakaian kegemarannya tanyakan pula imej potret yang sangat diinginkan pada sesi itu. Banyak soalan atau topik yang boleh ditanyakan kepada subjek dalam memulakan komunikasi. Soalan penting mengenai samada mereka telah makan atau belum akan membantu jurufoto dalam memahami mood subjek. Apabila subjek belum makan, ada kebarangkalian mereka akan merasa cepat penat atau hilang tumpuan terhadap sesi fotografi apabila berasa lapar. Jurufoto atau pembantu harus mencari jalan untuk membuat subjek terus fokus dalam sesi fotografi. Inspirasi untuk jurufoto potret datang daripada pelbagai sudut, terutamanya komunikasi dan keterbukaan subjek.

Selepas membaca artikel ini, jika anda mengatakan yang anda seorang jurufoto potret tapi tidak pandai berkomunikasi atau berinteraksi, dicadangkan supaya anda dengan kadar segera daftarkan diri ke mana-mana Kursus untuk belajar berkomunikasi.
Komunikasi adalah pendekatan psikologi untuk jurufoto memahami karakter subjek. Dengan memahami subjek, sesi fotografi potret mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk menjadi lebih mudah, efisyen dan mencapai objektif.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (Apr/Mei 2015)
