Teks: Hakimi bin Halim
Pada keluaran lalu, telah dijelaskan aspek romantik dalam pengkaryaan. Ianya menjurus kepada aspek pemaknaan dimana sebuah karya fotografi mengajak penonton beretorik, berpersepsi dan mencari nilai-nilai intuisi di dalamnya. Pendapat-pendapat sarjana dan ahli kritik seni seperti Barthes, Szarkowski dan Saussure telah diterangkan secara ringkas dan didapati pendapat-pendapat mereka adalah lebih kurang sama. Ianya cuma dibezakan dari segi pengistilahannya sahaja. Penulis merumuskan bahawa, aspek romantik ini berkait rapat dengan aspek refleksi terhadap pengkaryaan. Sebuah karya merupakan cerminan yang memantul kepada pemerhati dan pemerhati memberi pendapat-pendapat dan juga telahan-telahan dari aspek dalaman karya.
Seperti dijanjikan, kita akan melakukan satu kajian kes berkenaan cara kita mengenal aspek romantik dengan lebih baik lagi. Untuk keluaran ini, dua buah gambar dipilih iaitu gambar Yuri Gagarin mengorbit bumi dan Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan.

Figura 1 adalah gambar Yuri Gagarin di dalam Kapal Angkasa Vostok 1 dalam misi mengorit bumi pada 12 April 1961. Seperti yang kita semua maklum, Yuri Gagarin diiktiraf sebagai manusia pertama dalam dunia moden yang berjaya memasuki ruang angkasa dalam misinya. Jika dilihat gambar ini, apakah yang romantiknya? Ianya adalah sekeping gambar ‘mugshot’ yang tiada nilai bagi sesetengah orang. Ianya adalah sekeping gambar lelaki berpakaian angkasawan. Gambar ini terkurung, ruang rakaman yang sendat dan hanya menunjukkan bahagian kepala seorang lelaki. Tetapi tahukah anda bahawa gambar ini telah membuatkan dua kuasa besar pada ketika itu iaitu Blok Komunis dan Blok Demokrasi menjadi semakin ‘dingin dalam kehangatan’ di era perang dingin dahulu.
Misi Yuri Gagarin mengorbit bumi ini adalah misi penting dalam menjaga maruah Blok Komunis dalam membuktikan mereka adalah kuasa terkuat di dunia selepas Perang Dunia Ke 2. Pada ketika itu dan sehingga kini, dunia percaya bahawa siapa yang menguasai angkasa lepas maka mereka menguasai dunia. Disebabkan itu, misi Yuri Gagarin ke angkasa lepas membawa refleksi yang dahsyat kepada dunia pada ketika itu. Retorik masyarakat dunia pada ketika itu ialah, Kesatuan Soviet sudah membuktikan kehandalan teknologi mereka sehingga berjaya menghantar manusia ke angkasa lepas dan selamat pulang ke bumi. Jika mereka boleh menghantar seseorang ke angkasa lepas dimana pada ketika itu semua orang mengatakan ianya mustahil, apatah lagi jika mereka membina senjata pemusnah?
Gambar seperti ini dinamakan ‘explanatory photograph’. Gambar explanatory atau penjelasan bertujuan untuk menjelaskan apa-apa yang sebenarnya berlaku dan sebagai pembuktian ianya telah berlaku. Mengambil kes Edward Muybridge yang menyelesaikan pertikaian antara Leland Stanford (Pengasas Stanford University) seorang pencinta kuda dengan seorang lelaki bernama Frederick MacCrellish. Stanford percaya, apabila kuda berlari, keempat- empat kaki kuda akan berada di udara serentak. MacCrellish mempertikaikan pendapat Stanford malah mahu bertaruh 25,000 Dolar sekiranya dakwaan Stanford benar. Maka Stanford mengupah Muybridge untuk menyelesaikan masalahnya. Muybridge kemudiannya mengambil gambar seekor kuda sedang berlari di atas sebuah trek dengan menggunakan 12 buah kamera dan berjaya mendapatkan semua sequence aksi kuda berlari tersebut. Apabila gambar siap diproses, telahan Stanford tepat iaitu ada ketikanya dalam keadaan kuda berlari, keempat – empat kakinya akan ke udara serentak. Stanford memenangi pertaruhan 25,000 dolar daripada pembuktian itu. Lebih ‘menyakitkan’ seorang jurufoto berjaya membuktikan pelukis-pelukis dan pengarca-pengarca daripada zaman prasejarah sehingga zamannya telah tersalah merepresentasi imej-imej kuda sebelum kajian Muybridge dibuat. Oleh yang demikian, kajian ringkas dan mudah Muybridge sebenarnya telah memberi makna yang besar kepada sejarah visual dunia. (Barret, 1990 : 61-62)
Fotografi telah menjadi pembuktian yang signifikan terhadap kes Muybridge dan Stanford, begitu juga fotografi telah menjadi bukti yang signifikan terhadap kes Kesatuan Soviet yang berjaya menggertak Amerika Syarikat melalui ikon ciptaan yang menyebar luas; Yuri Gagarin. Maka, untuk mengembalikan moral rakyat Amerika dan untuk membuktikan kejaguhan Amerika Syarikat terhadap sistem pertahanannya dan penguasaan mereka terhadap angkasa lepas, sesuatu yang hebat perlu ‘dicetak’ dalam buku sejarah. Apatah lagi setelah Yuri Gagarin mengorbit bumi, beliau membuat pernyataan yang sangat popular dan memberi moral kepada Sistem Komunis iaitu, “Jika kamu tidak melihat Tuhan di Bumi, Kamu tidak akan menemuinya di Angkasa”. Satu pernyataan yang menyokong teori Marxisme iaitu ‘Agama Adalah Candu Masyarakat’. Yuri Gagarin bukan sahaja membawa harapan kepada rakyatnya, tetapi membawa perbalahan kepada Blok Demokrasi dan menerapkan Ideologi pula yang cuba dikaitkan dengan misi sains beliau.
Kuasa blok Demokrasi yang dikepalai oleh Amerika menjadi panas punggung dengan misi Kesatuan Soviet pada kali ini. Seperti selalu, rakyat mereka merasa terancam dengan kebolehan kuasa lain. Presiden pada masa itu perlu mengembalikan keyakinan rakyat bahawa Amerika Syarikat boleh melawan kehandalan teknologi Soviet. Presiden pada masa itu John F Kennedy (JKF) menganggap Amerika tidak perlu menandingi Soviet tetapi perlu melebihi Soviet. Pada 25 May 1961, sebulan lebih daripada misi Gagarin, Presiden JFK berdiri di hadapan Kongres dan menyampaikan amanat penting negara iaitu dinamakan “Keutamaan Penting Negara”. Dia meminta penambahan bajet dari USD 7 billion ke USD 9 billion untuk Program Angkasa Negara dan mewarwarkan bahawa “Negara ini mesti terlibat dalam mencapai matlamat, sebelum akhir dekad dengan menghantar manusia ke bulan dan membawa semula manusia itu selamat ke bumi”. Dalam ucapan yang lain beliau menambah “Kami (Amerika Syarikat) memilih untuk pergi ke bulan dan membuat perkara-perkara lain (yang hebat), bukan kerana ianya mudah, tetapi kerana ianya sukar dilakukan”.
Setelah beberapa ujian dan kejayaan angkasawan Amerika mengorbit bumi, maka pada 20 Julai, 1969, Angkasawan yang menaiki Apollo 11 ; Neil Armstrong, Michael Collins, and Edwin “Buzz” Aldrin Jr merealisasikan impian Presiden JFK. Neil Armstrong melangkahkan kaki ke bulan dengan kata-kata, “Langkah kecil seorang lelaki, lonjakan gergasi untuk manusia sejagat”. Kata-kata ini tidak habis di situ tetapi disokong oleh bukti video dan gambar. Gambar manusia ke bulan telah menjadi isu dunia yang sangat hebat sehingga didebatkan pada hari ini. Malangnya JFK tidak dapat melihat sejarah ini kerana dibunuh dalam sebuah konspirasi pada 22 November 1963.

Setelah keluarnya gambar tersebut, Amerika menggunakan ianya sebagai bukti kepada penguasaan teknologi angkasa lepas yang tidak dapat dilakukan oleh sesiapa lagi sehingga hari ini. Setelah lama perkara ini dijadikan modal politik dalam hubungan antarabangsa mereka, terdapat golongan penteori yang berteori bahawa Amerika tidak pernah sampai ke bulan, tetapi gambar dan bukti video itu dilakonkan. Ini kerana, gambar itu sendiri menunjukkan bendera Amerika berkibar, sedangkan tiada angin di bulan. Malahan, terdapat saintis-saintis NASA sendiri ada yang menolak dakwaan Amerika pernah sampai ke bulan dengan kajian-kajian ilmiah mereka. Perdebatan terhadap gambar Gagarin terhenti setakat Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, tetapi pertikaian terhadap gambar Armstrong mengibarkan bendera Amerika di bulan tidak berhenti sehingga kini, malah sehingga Armstrong meninggal dunia. Lebih memelikkan, setelah teknologi dunia menjadi semakin hebat dewasa ini, tidak ada orang yang menjejakkan kaki ke bulan lagi. Lihatlah betapa hebatnya dua keping gambar yang menjadikan kedua-dua kuasa besar berbalah dan mungkin juga berkawan dengan tidak ikhlas sehingga hari ini. Bolehkah anda bayangkan bahawa ianya cuma refleksi yang dibawa oleh beberapa gram kertas?
Rujukan
Barret, T, (1990) Criticizing Photographs, an Introduction to Understanding Images (3rd Edition): Mayfield Publishing.
Figura 1 diperolehi di http://www.nasa.gov/images/content/146084main_yurig_516.jpg
Figura 2 diperolehi di http://images.tbd.com/weather/moon.jpg
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 18 (Apr/Mei 2014)
