Teks & Foto: Dome

Untuk isu kali ini saya terdetik untuk menulis sedikit mengenai fotografi dan tanggungjawab sosial para jurugambar, tak kira samada anda sepenuh masa ataupun sekadar hobi, kita bukan sekadar hanya memetik butang kamera.

Kita bukan sekadar menghasilkan karya tetapi perlu peka terhadap subjek yang kita rakam dan lakukan lebih daripada sekadar merakam. Foto-foto anda mungkin boleh merubah kehidupan dan membantu mereka. Saya lihat ada rakan-rakan jurugambar yang membuat projek membantu gelandangan di kotaraya Kuala Lumpur dan sebagainya. Apa gunanya sekadar gah dengan foto-foto yang mendapat ribuan ‘like’ di laman sosial ataupun tersiar di dinding-dinding pameran tetapi tiada apa pulangan yang kita berikan kepada subjek kita?

Kira-kira hampir setahun yang lalu saya telah melancarkan satu dana di laman sosial facebook yang bernama ‘Bulb for Bateq’, yang mana bertujuan mengumpul sejumlah wang bagi membeli lampu berkuasa solar bagi kegunaan masyarakat Orang Asal Bateq di Kuala Koh, Kelantan. Sumbangan telah diberikan oleh ramai rakan-rakan jurugambar termasuk dari Singapura. Disember lalu projek ini telah berjaya di realisasikan dan ianya menjadi antara kenangan manis kami dalam membantu masyarakat Orang Asal di sini.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/Mac 2014)
