Teks: Ashraf Saharudin Foto: Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah

Fotografika menemuramah penulis “HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah: Pioneering Malaysian Photography” yang juga cucunda Almarhum, Raja Mohd Zainol Ihsan Shah dalam menyelami sedikit sebanyak perjalanan menarik fotografi Almarhum dan penghasilan buku ini.

Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah (24 Januari 1907 – 29 September 1979) ditabalkan sebagai Sultan Terengganu di Istana Maziah di Kuala Terengganu pada 6 Jun 1945 ketika berusia 38 tahun. Almarhum merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang keempat yang menjunjung tahta bermula dari tahun 1965 sehingga 1970 dan mangkat sembilan tahun kemudian.
Terdapat juga pendapat-pendapat yang tidak tepat yang melabelkan Almarhum sebagai seorang sultan yang merakam gambar, sebenarnya tidak. Almarhum adalah seorang jurugambar, lama sebelum baginda ditabalkan menjadi sultan, itu adalah sesuatu yang berbeza. Ada juga berpendapat bahawa Almarhum juga adalah seorang jurugambar ‘salon’, tidak kerana baginda hanya menyokong kumpulan fotografi salon. Baginda berusia 50 tahun, 30 tahun lebih tua dan sudah melibatkan diri dalam fotografi jauh lebih lama sebelum jurugambar-jurugambar ‘salon’ wujud pada zaman itu. Almarhum lebih banyak bergerak sebagai seorang jurugambar secara bersendirian.

Permulaan
Almarhum memelihara saya sejak kecil, setelah Almarhum mangkat, sebahagian besar karya Almarhum telah dihantar ke Istana Zaharatul Ihsan dimana tempat Tunku Intan bersemanyam sekarang. Seluruh peralatan fotografi, pembesar, berus, negatif-negatif filem ada di situ. Banyak negatif-negatif filem milik Almarhum yang masih belum saya imbas kerana saya masih belum menjumpai pengimbas berkualiti bagi format-format 4×5 dan juga 6×9. Almarhum menggunakan pembesar(enlarger) yang mampu mencetak pelbagai format, dan kerja-kerja memproses dibuat Almarhum di dalam bilik gelap pertama baginda bertempat di Istana Badariah. Kemudian sekitar pertengahan era 60an, berlaku penambahan pada struktur istana. Bilik gelap tersebut diganti dengan sebuah bilik gelap yang baharu bertempat di dalam bangunan lama istana yang sama, lebih luas dan lebih lengkap dengan segala kemudahan memproses filem dan mencetak.
Segalanya bermula sekitar tahun 1992 apabila pertama kali saya menyuarakan hasrat saya untuk tampil dengan buku ini kepada Majalah Tatler. Namun segalanya masih menjadi teka-teki sehingga tahun 1996 apabila pertama kali saya mula menulis dan membongkar koleksi foto dan negatif almarhum. Saya melihat hampir sebahagian daripada perjalanan fotografi almarhum sebagai seorang cucu sejak kecil lagi, aktiviti memproses filem dan mencetak yang dibuat Almarhum di bilik gelap tersebut.

Buku ini merupakan sebuah koleksi karya-karya Almarhum mengenai warisan budaya setempat dan beberapa tempat di luar negara. Kemudian saya mula mengkaji serba sedikit akan era fotografi di zaman baginda almarhum. Sehinggakan saya sendiri mempelajari serba sedikit teknik memproses imej dan melakukan beberapa kajian akan fotografi Almarhum sehingga membawa saya ke London. Sekembalinya saya ke Malaysia, saya meneruskan lagi kerja-kerja memproses negatif memandangkan pada ketika itu wujud beberapa kedai yang masih membekalkan bahan dan memberikan khidmat tersebut.
Selain daripada itu, individu dan jurugambar seperti Eric Peris juga banyak membantu dalam memberikan idea dan pandangan dari sudut berbeza. Disusuli oleh pameran fotografi Eric Paris dan Allahyarham Ismail Hashim di Hotel Regend(kini Hotel Millenium), saya turut mempamerkan sebahagian kecil karya-karya Almarhum. Setelah beberapa ketika saya mendapat maklum balas bahawa ada beberapa individu dari Singapura dan beberapa tempat lain yang berminat untuk membeli imej-imej Almarhum. Rentetan daripada itu Galeri Petronas turut mengundang saya untuk membawa karya-karya Almarhum Sultan Ismail untuk dipamerkan di sana.
Buat masa sekarang saya menyimpan hampir 150 karya Almarhum, ada karya yang dicetak baginda secara berulang, namun ketika Galeri Petronas mengundang saya untuk mengadakan pameran tersebut, jumlah koleksi yang ada pada saya pada waktu itu tidak sampai 100 buah karya foto dan sebenarnya terdapat cerita disebalik sebahagian besar simpanan yang ada. Beberapa tahun yang lalu ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ada seseorang daripada pejabat setiausaha kerajaan negeri telah menghubungi ayah saya di Terengganu. Saya kurang pasti individu tersebut dan beliau pada ketika itu bakal bersara dan berhasrat untuk memulangkan hampir 50 buah karya yang telah dipinjamkan Almarhum ketika Terengganu menjadi tuan rumah kepada mersyuarat raja-raja ketika awal 80an. 50 buah karya ini menyumbang kepada separuh koleksi yang ada pada ketika itu.
Kembali kepada pameran di Galeri Petronas pada tahun 1998, bagi tujuan tersebut saya telah memesan daripada London, kertas yang sama digunakan Almarhum, dan sesuatu yang menarik mengenai kertas keluaran Kodak tersebut adalah ia merupakan satu-satunya kertas yang boleh diarkibkan, mengekalkan ciri dan kualiti gambar ketika sebelum perang dunia kedua. Namun setelah beberapa tahun, kertas tersebut tidak lagi boleh diguna pakai kerana Kodak tidak lagi mengilang bahan kimia untuk digunakan bersama-sama kertas ‘single grade’ tersebut.

Cabaran
Cabaran dalam penghasilan buku ini adalah informasi yang sangat terhad. Jika anda perasan, ada maklumat-maklumat yang terpaksa dibiarkan kosong seperti jurugambar yang merakam foto almarhum dan sebagainya. Kebanyakan maklumat yang diperoleh adalah dalam bentuk lisan. Maka jika dilihat katalog Galeri Petronas bagi pameran tersebut banyak mengandungi kesilapan maklumat dan sebagainya.
Di samping itu, pengisian buku ini hampir 90 peratus dilakukan oleh saya sendiri dan padanan warna yang digunakan oleh pereka bentuk buku tersebut amat baik. Ya ia merupakan sebuah permulaan dan masih banyak yang boleh dipelajari dan dipertingkatkan.
Secara kasar tempoh yang saya ambil bagi menyiapkan buku ini adalah sekitar hampir 22 bulan, bermula pada Oktober 2011 dan buku ini diterbitkan dalam bulan Ogos tahun ini. Dengan fakta-fakta yang ada, susunan fakta perlu dilakukan dengan teliti dan kemas.
Sumber
Kebanyakan sumber hadir dari kalangan kerabat sendiri terutamanya isteri almarhum, Tunku Intan Zaharah Binti Tengku Omar yang pada ketika ini berusia 85 tahun. Selain daripada itu, sepupu-sepupu, anak-anak Almarhum sendiri dan yang lain-lain turut sama-sama membantu. Selain daripada itu, saya juga ada memperoleh sebuah artikel temuramah oleh surat khabar The Singapore Free Press yang diadakan pada tahun 1958 dan dari situ juga beberapa sumber penting turut diperoleh.

Isi
Buku ini banyak berkisar mengenai sebahagian besar kehidupan baginda sebagai seseorang yang menggemari bidang fotografi dan mengambilnya sebagai sesuatu yang serius. Jika dilihat dari sudut gaya fotografi pula, Almarhum tampil dengan gayanya tersendiri menggabungkan dua pendekatan fotografi dari dua sudut dunia, timur dan barat. Ketika Almarhum menuntut di Jepun, baginda sudah pun mula merakam gambar. Ketika pameran imej-imej rakaman Almarhum di Galeri Petronas pula, ada beberapa pandangan dan maklum balas menarik yang saya terima dan salah satu daripadanya berpendapat wujud pendekatan ala-ala barat dalam beberapa karya Almarhum. Tempoh jangka masa rakaman-rakaman yang dibuat Almarhum juga berlaku dalam suatu tempoh masa yang amat menarik, kerana pada ketika itu merupakan tempoh peralihan kepada era modernisasi.

Subjek
Almarhum rakam intipati sesuatu tempat yang baginda lawati. Setiap rakaman diambil kira, meskipun Almarhum merupakan pemerintah pada ketika itu, setiap rakaman tidak mudah dibazirkan. Lihat sahaja rakaman-rakaman Almarhum sekitar tahun 50an dan 60an, segalanya jelas menampilkan kaedah pra-visualisasi yang diterapkan Almarhum sebelum sesebuah rakaman dibuat. Rakaman Almarhum pula tidak terhad hanya kepada negeri Terengganu, malah hampir semua tempat-tempat yang dilawati baginda samada di Tanah Melayu sendiri atau di luar negara.
Semoga dengan adanya buku ini dan buku-buku yang seumpama dengannya, nilai dan sejarah seni fotografi ini akan dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh generasi baru dan lama, menjadi rekod-rekod sejarah yang dapat mendukung peradaban dan pembangunan seni fotografi buat masa akan datang.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/Jan 2014)
