Antara Aksi Pantas dengan Pengatup berkelajuan Perlahan

17/12/2016 | miza

Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

Casey Stoner during the final race session at Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix (MotoGP) held at Sepang International Circuits (SIC) Malaysia on 19, 20 and 21 October 2012.
Hasil gambar ini diperoleh dengan menggunakan shutter yang sederhana perlahan iaitu 1/125. Jejakan objek yang bergerak dengan laju di hadapan kamera menyebabkan objek utama kelihatan tajam sementara latar belakang menjadi kabur. Komposisi ini berjaya mewujudkan ilusi pergerakan pada gambar dua dimensi yang hakikatnya adalah statik

Agak ironik apabila membandingkan antara penggunaan pengatup perlahan yang dipadankan dengan rakaman objek yang bergerak pantas. Hal ini demikian kerana pada kebiasaannya, jurufoto akan sedaya upaya berusaha untuk menstabilkan kamera semaksima mungkin supaya gambar yang dirakam adalah pada tahap kejelasan yang terbaik.

Pengatup perlahan dalam konteks artikel ini adalah merujuk kepada penggunaan kelajuan pengatup yang rendah yang diperoleh pada kamera yang berkelajuan antara 1/125, 1/60, 1/30, 1/15, 1/8, atau melebih sesaat. Penggunaan teknik pengatup perlahan ini adalah sesuatu yang biasa terutamanya dalam kalangan peminat fotografi lanskap yang gemar merakam pergerakan awan atau pun pergerakan ombak di pantai. Hasil daripada penggunaan pengatup yang perlahan pada awan, ombak atau apa sahaja yang bergerak kelihatan memberikan ilusi pergerakan pada gambar foto yang secara kasarnya kelihatan seolah-olah statik.

panning_002
Selain daripada warna dan ilusi pergerakan, elemen-elemen yang terdapat dalam komposisi gambar ini ‘disusun’ supaya ia membantu meningkat kekuatan antara subjek utama dengan latar belakang subjek. Penggunaan shutter perlahan menyebabkan bahagian rumput kelihatan hijau yang ‘lembut’. Penggunaan angle yang sendeng juga meningkatkan lagi ilusi dinamik pada komposisi ini.

Untuk lebih menguasai teknik pengatup perlahan secara mendalam, experimentasi dan latihan berterusan bukan sahaja penting malah ia memang digalakkan dalam usaha meningkatkan keupayaan jurufoto terhadap sesuatu teknik yang ingin dikuasai secara maksimum. ‘Panning’ merupakan teknik yang sebati dalam kalangan jurufoto permotoran. Menerusi teknik ‘panning’, objek motor yang hakikatnya bergerak pantas bukan sahaja dapat dirakam dengan tajam sementara bahagian latar belakang tampak kabur yakni ia kelihatan seolah-oleh ‘tergabung’ secara halus dengan objek-objek lain yang terdapat di belakang objek utama. Keadaan ini secara semulajadi menghasilkan ilusi pergerakan yang dinamik.

Teknik ‘panning’ dilakukan dengan menggabungkan beberapa pemboleh ubah yang saling berkaitan seperti kelajuan subjek, arah kamera ditujukan dan kelajuan menjejaki objek yang melintasi di hadapan kamera. Ketiga-tiga pemboleh ubah ini berperanan penting dalam menentukan kualiti gambar yang bakal dihasilkan.

 

Kelajuan Subjek/Objek
Kelajuan objek menjadi penentu kepada karekteristik gambar yang bakal dihasilkan. Kemungkinan yang utama adalah potensi yang besar untuk mendapat gambar yang kabur untuk kedua-dua bahagian utama iaitu pada bahagian latar hadapan dan latar belakang gambar. Kesimpulannya, rakaman tersebut boleh dianggap sebagai percubaan yang tidak berjaya. Proses ‘penyelarasan’ antara menjejaki objek utama dengan kelajuan objek utama merupakan faktor yang penting terhadap kejayaan penghasilan gambar foto ‘panning’ yang berkualiti tinggi.

 

panning_003
Gambar yang sama tetapi sudut pandangan adalah selari dengan kedudukan jurufoto

Arah Pergerakan Kamera
Secara asasnya, arah pergerakan kamera adalah selari dengan arah pergerakan subjek utama. Contohnya jika objek bergerak dari arah kiri ke arah kanan maka kamera juga harus digerakkan dalam arah yang sama. Ketika inilah skil untuk menstabilkan kamera diperlukan. Hal ini agak ironik kerana ‘panning’ biasanya lebih mudah dilakukan secara pegangan tangan yakni tanpa menggunakan tripod atau pun monopod. Kesimpulannya, jurufoto mestilah berupaya memegang kamera, mengerakkan kemera mengikut arah yang sama dengan arah pergerakan subjek utama tanpa menghasilkan gegaran yang boleh merosakkan perincian pada gambar yang bakal dihasilkan. Dalam erti kata yang mudah, ‘tripod’ sebenar adalah jurufoto itu sendiri.
Kelajuan Menjejaki Pergerakan Subjek Utama
Penyelarasan antara kelajuan menjejaki subjek utama dengan kamera merupakan cabaran yang perlu dikuasai secara maksimun dan fleksibel. Hal ini demikian kerana tidak ada formula yang tepat untuk sesuatu jenis subjek. Perkara ini penting dikuasai kerana jika jejakan dibuat terlalu laju, subjek utama dan latar belakang kelihatan kabur, dan jika ia dilakukan terlalu perlahan pula, subjek utama pula yang kelihatan kabur. Secara asasnya, kedua-dua variable ini wajar digunakan secara konsisten berasaskan kepada kelajuan subjek utama.

panning_009
Contoh gambar yang menggunakan teknik panning. Teknik ini boleh diaplikasi dalam apa juga keadaan cuaca sama ada ketika cahaya siang atau pun malam dengan dibantu oleh cahaya buatan.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/Sept 2013)

fg14-cover_new-updated