Kamu Yang Memilih

16/12/2016 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Exif_JPEG_PICTURE
Emocratic Republic

Walker Evans dalam satu artikel menarik yang bertajuk “On Photographic Quality” sepertimana yang dibahas semula oleh Louis Kronenberger (New York, Balance House) pada tahun 1969 ada menyebut bahawa selain daripada misteri yang mungkin tidak akan terungkai dan ketidaksamaan di antara bakat, akal, citarasa dan reputasi seseorang jurugambar, perkara utama yang mendepani kekuatan bahasa visual dan artistik sesuatu karya fotografi adalah perincian halus sesuatu pemerhatian dan rencah rasa yang dicicipkan ketika seseorang ingin merakam.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella i

Perincian halus sesuatu pemerhatian terhadap atmosfera sekeliling, aspek pencahayaan dan kekuataan subjek haruslah digubal dalam skala penuh. Dalam bahasa mudah, kamulah yang memilih dasar dan penggubalan tersebut sebelum kamu melakukan bidikan untuk tujuan yang satu, merakam. Kamulah yang akan menentukan bagaimana rupa hasilan dan nilai gambar atau karya yang akan dihasilkan. Kamu yang memilih.

Zaman ini ialah zaman dimana semua orang boleh merakam kerana masing–masing mempunyai kepelbagaian media perakaman untuk digunakan seharian pada bila–bila masa sahaja, maka soal siapa yang merakam adalah persoalan yang hampir tidak perlu dibahaskan. Perkara yang penting ialah tujuan perakaman dan corak serta impaks visualisasi yang cuba kamu terbit-pancarkan, mesej dan intipati yang kamu ingin sampaikan, informasi yang kamu ingin nyatakan, maka inilah sebenarnya yang menjadi satu timbang tara atau penanda aras nilai pada hasilan karya yang dihasilkan. Kamu yang memilih untuk menghasilkan yang terbaik atau sebaliknya, kamu yang memilih.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella ii

Antara teori dan prinsip utama yang tidak boleh kita tinggalkan dalam konteks visualisasi dari dulu hingga sekarang ialah aspek pemahaman sang perakam, ini harus didasari sepenuhnya sebelum karya–karya seni foto ini dipamerkan untuk tatapan khalayak. Tugas kita selain merakam ialah membina satu nilai meditasi yang konstruktif yang bersifat peribadi. Bunyinya agak berat, namun nilai meditasi inilah sebenarnya yang akan mencetuskan impak dalaman dan “jiwa” serta “roh” hasil karya-karya yang akan kita hasilkan kelak. Perkara ini sebenarnya sering ditinggalkan, maka kita lihat apa yang terhasil dari beribu-ribu hasil karya yang cuba kita cernakan sering menemui kegagalan. Kegagalan yang bukan saya maksudkan dari segi teknikal dan tahap suntingan. Kita sebenarnya sering gagal dalam memilih untuk menghasilkan karya-karya yang mempunyai lantai kesinambungannya yang tersendiri. Kita gagal untuk menghasilkan bingkai visual yang indah bahasanya. Kita gagal untuk memberi nafas yang jernih pada pengamatan dan terjemahan pengimejan kita.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella iv

Dalam karya-karya yang bersifat dokumentari dan artistik, kita masih tertakluk kepada idealogi realisme walaupun kita cuba bermain dengan unsur-unsur subrealism atau fiksyen sekali pun khususnya bagi pengkarya fotografi seni halus seperti saya. Ini sesuatu yang harus kita fahami sepenuhnya, bagaimana ingin kita mengaut nilai-nilai pemahaman seperti ini? Baca dan belajar. Rakam dan terus merakam. Zaman pengimejan teori akademik tanpa turun sendiri ke padang telah hampir berakhir, idea-idea yang konservatif dan konstruktif dalam satu struktur yang ampuh pasti akan menjana satu corak transformatif pada sesuatu karya.

Berbalik kita kepada idealogi realisme yang saya nyatakan tadi, saya sendiri sebagai pengamal karya seni halus telah lama bergelumang dengan ribuan persoalan yang sering diutarakan baik semasa pameran atau sebarang ruang forum dan diskusi seni. Sebenarnya apa-apa yang kita lakukan dalam setiap cabang karya atau konsep adalah untuk kita memberi suatu nilai autoritatif secara agresif mahupun secara halus tentang hubung kait setiap karya-karya kita itu dengan alam dan kehidupan sekeliling dunia.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella v

Fotografi yang tertakluk di dalam ruang lingkup yang bermakna, sebenarnya tidak boleh lari daripada dua perkara: pembantaian ke atas realiti (assault on reality) atau penyerahan kepada realiti itu sendiri (submission on reality). Inilah antara faktor penentu formasi dan struktur yang akan dipersembahkan kelak. Inilah antara kata kunci utama dalam menentukan pilihan dan pemilihan kamu, kamu yang memilih. Baik pemilihan kamu maka baiklah jadinya dan buruk pemilihan kamu maka buruklah jadinya.
Kesilapan memilih inilah sebenarnya antara kegagalan awal seseorang pengkarya dalam memberikan keampuhan yang berterusan terhadap karya tersebut. Inilah sebenarnya menarik untuk kita kaji. Bagi saya sendiri setiap karya saya adalah bahan kajian untuk diri saya sendiri kerana ini adalah cara saya bermeditasi tentang sesuatu realiti walaupun penyampaian saya banyak yang dicorakkan dengan elemen metafora dan kiasan subrealiti. Kita harus ada satu ruang untuk kritikan peribadi bagi memberi makna kepada setiap karya yang cuba kita sampaikan agar setiap terjemahan dan interpretasinya akan menjadi lebih bermakna. Karya kita adalah saksi tentang eksplorasi kita. Karya kita adalah lantunan hasilan daripada pilihan dan pemilihan kita sendiri.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella vi

Ketika era 60an, zaman di mana John Szarkowski antara pelopor yang ingin membangunkan “classic modernist photography” agar dapat bernaung sebagai salah satu daripada cabang visual yang artistik dalam modus dokumentari yang digemarinya. Susah, namun iltizam dan kekuatan dalamannya yang cukup kuat berjaya meletakkan fotografi (terutamanya dokumentari) sebaris dengan seni visual yang lain. Namun, usaha-usaha seperti ini bukanlah suatu usaha yang ringan. Kita harus ada penghasilan karya yang konsisten dan sentiasa merangkumi seluruh aspek penerimaan masyarakat. Sentiasa beri ruang untuk kritikan peribadi dan ruang untuk kreativiti terus berkembang. Apakah rupa bentuk fotografi yang sebenar? Apakah pengisian fotografi yang sebenarnya? Harus kita tahu bahawa tangan atau jari yang memetik butang dedahan ini sebenarnya adalah pintu kepada magis realisme dan realisme yang terbaik ialah suatu dedahan yang menunjangi peradapan masa tanpa sempadan. Satu sempadan yang tiada hujungnya.

Exif_JPEG_PICTURE
umbrella vii

Kamu yang Memilih.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/Jul 2013)

fg13-cover_updated