Teks & Foto: Ashraf Saharuddin

Kira-kira sepuluh, lima belas tahun lepas negara memerlukan tenaga kerja dalam bidang teknologi maklumat. Maka institusi-institusi pendidikan berhempas pulas menyediakan ruang dan peluang dalam dunia pendidikan sebagai sumber bekalan tenaga kerja. Institusi pengajian tinggi awam meningkatkan kuota tidak ketinggalan institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bak cendawan selepas hujan mengambil ‘peluang’ bagi menyahut seruan kerajaan. Kolej-kolej swasta bagai nak gila mempromosi kursus-kursus berkaitan bidang teknologi maklumat bagi meraih kemasukan pelajar dan sudah tentu keuntungan.
Sehingga satu tahap industri teknologi maklumat tepu dengan menyaksikan limpahan graduan ke sana ke mari mencari kerja yang tiada kekosongan. Maka mereka mencari laluan alternatif dalam menempatkan diri di alam pekerjaan dengan mengisi ruang-ruang yang terdapat dalam industri lain seperti penerbitan dan tidak ketinggalan fotografi.
Pada jangka waktu yang sama, kira-kira sepuluh tahun lepas juga, industri fotografi dunia menyaksikan peralihan besar dari dunia analog kepada dunia digital dalam pembangunan teknologi kamera. Meskipun era digital bagi pengguna sebenarnya telah bermula seawal tahun 90an lagi. Pengeluar sensor Kodak telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar Nikon menghasilkan kamera digital untuk pengguna yang pertama dengan menggunakan badan Nikon F3. Namun dengan pengenalan harga yang begitu tinggi pada ketika itu menyaksikan sambutan yang hadir hanya dari pihak-pihak tertentu seperti agensi-agensi fotografi dan seumpama dengannya.
Era milenium bermula dari tahun 2000, satu revolusi kemera digital yang lebih mampu untuk dimiliki dengan teknologi yang lebih baik bermula. Kamera-kamera jenis DSLR hadir di pasaran dengan kadar harga yang lebih murah, berkembang dan seterusnya meletuskan satu ledakan hebat kepada industri fotografi dunia. Dapat dilihat dengan jelas jika anda meluangkan masa selama sepuluh minit di komplek-komplek membeli belah, tidak kurang dari lima pengunjung memiliki sebuah kamera DSLR tergantung di leher atau tersandang di bahu.
Melihat peluang pasaran yang cerah, para pengeluar kamera berlumba-lumba mempertingkat kemampuan dan teknologi yang mereka miliki di samping mampu mengekalkan harga yang murah bagi memenuhi kehendak pasaran. Hasilnya kini kita dapat melihat di bumi Malaysia sendiri, hampir setiap isi rumah memiliki paling kurang sebuah kamera digital, itu tidak termasuk telefon pintar yang dilengkapi kamera.
Suatu perkembangan yang sihat dari dari sudut menilai taraf hidup dan pemikiran masyarakat dimana masyarakat sudah mula mendekatkan diri kepada dunia seni visual. Berbeza 10-20 tahun dahulu, jika saudara Din Arshad dalam satu temuramah bersama-sama Fotografika beberapa keluaran lepas, beliau menyuarakan betapa rendahnya pandangan masyarakat terhadap industri fotografi tanah air suatu ketika dahulu. Kira-kira dua puluh tahun dahulu masyarakat mempertikaikan hala tuju seorang jurugambar sesudah tamat pengajian, mungkin kini tidak lagi. Ibu bapa kini sudah didedahkan dengan prospek kerjaya yang sebenarnya cerah sebagai seorang jurugambar di Malaysia, dengan syarat seseorang jurugambar tersebut haruslah melalui suatu proses pendidikan yang betul. Untuk itu masyarakat boleh merujuk kepada institusi-institusi pendidikan awam atau swasta yang menawarkan kursus-kursus fotografi dengan sijil yang diiktiraf.

Perintis
Satu golongan jurugambar profesional yang rata-rata hasil produk dari Universiti Teknologi Mara UITM dan beberapa institusi pengajian lain seperti Institut Kemahiran Belian Negara IKBN di Pertak yang kini mendahului carta mengisi keperluan industri telah membuktikan mereka mampu berjaya. Nama-nama besar seperti Soraya Yusof Talismail, Din Arshad, Bustamam Mokhtar(White Studio), Zainudin(Fototeacher), tidak ketinggalan mereka yang kini sedang bertugas dengan agensi-agensi berita tempatan dan antarabangsa serta beberapa nama lain yang tidak asing lagi. Ketika mereka menamatkan pengajian, banyak peluang dan ruang tersedia untuk mereka isi tidak kira agensi-agensi berita mahupun agensi-agensi fotografi, pengiklanan tempatan dan antarabangsa. Namun harus diingat kita sedang berbicara mengenai suatu zaman sebelum era milenium, dimana kebanyakannya masih berkisar di dalam dunia analog. Tidak banyak yang berani menceburkan diri dengan anggapan kos dan prospek kerjaya yang tidak memberangsangkan tetapi kini mereka itu tadi telah tampil ke hadapan menyumbang kepada pembangunan industri fotografi sebagai sumber rujukan membuktikan tanggapan itu nyata tidak benar. Tetapi bagaimana pula ceritanya sekarang?
Satu persoalan besar yang bermain di fikiran adalah, ke mana perginya hasil produk graduan-graduan program-program fotografi dari dua institut yang suatu masa dahulu gah di persada industri fotografi tempatan? Adakah persaingan industri fotografi tempatan kini begitu hebat? Adakah kemunculan institusi-institusi pengajian lain yang turut menawarkan kursus yang sama telah menenggelamkan taring sebuah institusi pengajian awam yang hebat seperti UITM? Adakah sukatan pelajaran yang ada tidak mampu lagi untuk menepati kehendak industri? Atau adakah graduan masa kini berada di sana untuk hanya untuk mendapatkan segulung kertas yang dikenali sebagai diploma atau ijazah tanpa memahami peranan sebenar penglibatan mereka di dalam industri? Berbeza senarionya jika dibandingkan dengan kursus-ursus lain seperti seni halus yang duduknya di bawah bumbung yang sama. Jika ini tidak benar, buktikan apa-apa yang saya tulis ini adalah suatu tomahan yang tidak berasas.
Ya kita mengenali negara Malaysia sebagai sebuah negara yang berorientasikan sijil, diploma, ijazah dan segala kelayakan kertas yang wujud. Namun adakah itu dijadikan alasan mudah untuk menambahkan jumlah pengambilan pelajar, bagi membuka peluang kerja kepada anak bangsa, melonjakkan kuantiti tanpa memelihara kualiti sebuah bidang seni? Jika ini benar, maka tidak hairan graduan-graduan fotografi ini bermati-matian bersaing dengan kelompok golongan yang hadir dari latar belakang pendidikan yang berbeza bagi mendapatkan tempat di dalam sebuah industri bernama fotografi. Kini sesiapa sahaja memiliki peluang untuk melompat masuk mencari sumber pendapatan di dalam industri ini, pokok pangkalnya adalah keinginan dan kehendak yang mendalam. Ada antara mereka sanggup mengorbankan wang ringgit dan kerjaya mereka yang membosankan sebelum ini mendaftar program-program pengajian separuh masa dan sebagainya. Oleh itu suatu impak keras bakal malah telahpun dirasai para graduan yang tiada keupayaan bersaing di arena tempatan, apatah lagi antarabangsa. Ini kerana industri terutamanya sektor swasta yang menjanjikan kepuasan berkarya, pulangan lumayan dan prospek kerjaya yang jauh lebih baik, amat mengambil serius keupayaan bekerja, kualiti dan daya saing ahli-ahlinya. Kepada yang tiada keupayaan, mereka boleh menggunakan kertas-kertas sijil yang diperoleh bagi mencari ruang kerjaya di sektor lain, jika ada.

Laman-laman sosial
Industri fotografi tanah air di suatu tahap memperlihatkan lagak-lagak lucu dengan adanya medium laman-laman sosial, forum dan seumpama dengannya. Platform-platform seperti ini diguna baik golongan yang mencari peluang dan tempat di dalam industri dalam menyediakan perkhidmatan jurugambar mahupun mempromosikan apa-apa yang mereka dapat tawarkan kepada industri. Ini termasuk kursus-kursus fotografi jangka pendek buat mereka yang berminat samada sebagai hobi, kerjaya separuh masa dan tidak ketinggalan sepenuh masa. Apapun keadaannya sudah pasti kandungan kursus-kursus yang ditawarkan tidak selengkap atau setanding institusi-institusi pengajian tinggi. Namun bagi mereka yang memiliki kekangan masa dan wang ringgit sudah tentu ini adalah pilihan terbaik disamping mendekatkan diri kepada industri dan mengenali individu-individu di dalamnya.
Bermula daripada sini, mereka dapat menilai sejauh mana mereka ingin pergi di dalam industri fotografi tanah air. Ada di antara mereka yang maju setapak dengan mendaftarkan diri untuk pengajian-pengajian lanjutan yang ditawarkan institusi-institusi pengajian awam dan swasta. Sudah pasti senario mereka berbeza kerana mereka mendaftarkan diri atas dasar minat yang mendalam dan mereka berpotensi untuk pergi lebih jauh sesudah tamat pengajian. Maka dua kelompok ini, samada yang hadir sebagai graduan lepasan SPM mahupun yang hadir dari sektor berbeza, dengan kelayakan sijil yang sama akan bersaing di arena fotografi tempatan. Suatu bentuk persaingan sihat dalam mendapat tempat di dalam industri dan kini industri memiliki dua pilihan di hadapan mereka.
Tidak ketinggalan juga individu-individu dan badan-badan tertentu mengambil peluang menyediakan program-program atau kursus-kursus jangka pendek. Tidak salah jika sukatan pelajaran yang digunakan selaras dengan teras dan asas-asas fotografi yang betul. Tetapi yang mencacatkan situasi ini ada pembawakan yang berteraskan konsep ‘pengikut’ yang tanpa masyarakat sedari segalanya adalah berorientasikan keuntungan perniagaan. Wang ringgit itu mungkin keperluan dan hak itu tidak pernah dinafikan, namun apabila pulangannya kepada industri adalah sebuah pendekatan yang tidak bertanggungjawab, mencacat dan mencemarkan minda masyarakat dengan idea-idea dan pendekatan songsang, maka itu tidak betul.
Persoalannya, bagaimana ini boleh terjadi? Mungkin institusi-institusi pengajian tinggi mampu berkata, “itu bukan tanggungjawab kami, kami bertanggungjawab atas anak-anak didik kami yang hadir mendaftarkan diri”. Tuan-tuan sekalian, industri fotografi ini adalah sebuah cabang seni yang bermaruah, berani saya katakan bahawa pihak-pihak yang hadir dengan idealogi dan pendekatan songsang ini dengan mudah menakluki minda anak-anak didik yang berdaftar di bawah institusi pengajian tinggi tuan-tuan sekalian hanya dengan menyajikan pendekatan yang lebih ‘berkesan’. Slogannya jauh lebih menarik dan slogan itu berbunyi “Cantik, cantik, cantik, nafsu dan populariti” yang manfaat pengakhirannya adalah sekadar secawan the tarik dan borak kosong. Apa akan jadi kepada martabat institusi pendidikan tinggi? Ya memang benar tuan-tuan boleh berkata “Di sini kami memiliki susunatur sukatan pelajaran yang komprehensif, pengiktirafan diploma dan ijazah untuk mereka serta jauh lebih bernilai di alam pekerjaan”. Memang benar, tetapi huraikan definisi alam pekerjaan yang dimaksudkan. Jika prospek pekerjaan dan kerjaya sebagai jurugambar kini menjadi rebutan, tidak hairan di suatu tahap industri akan mengambil kira nilai tambah lain seperti kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri selain mutu hasil karya. Jika ini tidak mampu dihasilkan, suatu hari nanti institusi pengajian tinggi bakal dilabel sebagai pencetak sijil, diploma dan ijazah tanpa kualiti kerja yang diharapkan dalam suatu industri seni bermaruah yang memerlukan ahli-ahlinya berfikiran matang.

Rujukan
Anak-anak muda kita tiada sumber rujukan yang tepat. Tidak meletakkan salah atas golongan muda yang ingin berkecimpung dengan dunia fotografi jika mereka tersalah pilih sumber rujukan. Ini disebabkan mereka tidak jumpa sumber rujukan yang betul. Ke mana perginya? Mungkin ‘sumber-sumber’ rujukan ini sedang sibuk bekerja mencari sesuap nasi. Mungkin juga ada di antara mereka yang langsung tidak mempedulikan ‘kesihatan’ industri yang mereka sendiri huni, yang penting mereka cukup makan dan mampu membeli kereta baru. Mengharapkan golongan senior yang ada? Mereka mungkin tidak mampu menandingi populariti ‘badut-badut’ fotografi yang menjuarai carta ‘muka buku’, mereka mungkin tidak menjengah laman-laman sosial ini jika tiada keperluan. Hari ini ‘muka buku’ boleh dikatakan menjadi sebahagian daripada cara hidup anak-anak muda. Suatu platform mudah mempengaruhi minda mereka tidak kira pengaruh yang positif apatah lagi yang negatif. Jadi bagaimana caranya bagi golongan profesional untuk menjadi sumber rujukan kepada anak-anak muda?
Cuba anda bilang dengan jari berapa banyak pameran fotografi yang diadakan dalam setahun. Bercakap soal pameran sebenarnya menarik. Sesiapa sahaja mampu membuat pameran tanpa mengira intipati kandungan yang dibawa ketika pameran. Perkara yang penting di sini adalah penganjuran dan sudah tentu wang ringgit. Tidak ramai yang menyedari bahawa betapa pentingnya peranan seorang individu atau sekumpulan individu yang digelar kurator atau panel pemilihan. Mereka terdiri daripada individu pakar dalam bidang masing-masing dan berperanan dalam menentukan atau menapis nilai kualiti kandungan sesebuah karya sebelum dibenar untuk digantung di ruang pameran. Maka sekali lagi anda cuba bilang, kali ini tanpa perlu menggunakan jari, cukup sekadar tangan, berapa banyak pameran fotografi yang mengambil kira proses kuratorial dalam menentukan kelayakan sesebuah imej itu untuk dipamerkan? Satu atau dua? Anda mungkin ada atau tiada jawapannya.
Jika anda melewati toko-toko buku seperti Kinokuniya, Borders, MPH dan sebagainya, pastinya ramai di antara kita yang singgah di rak-rak buku berlabel ‘Photography’. Cuba kita perhatikan dengan teliti latar belakang penulis-penulis buku berkaitan fotografi ini. Apa kita tidak memiliki kalau tidak semua, beberapa kepakaran yang hampir sama dengan penulis luar ini? Memang ada yang menghasilkan buku, tetapi di mana? Adakah dilambak di rumah atau hanya boleh didapati di dalam pagar universiti? Ini tidak seharusnya berlaku. Buku-buku tersebut harus dikongsi dengan masyarakat agar masyarakat kenal dan mampu menilai kredabiliti seseorang jurugambar tersebut. Faham bukan mudah menghasilkan buku, tetapi ini adalah sesuatu yang diperlukan dalam sesebuah industri, sebuah manuskrip yang ditinggalkan seseorang jurugambar sebagai rujukan sepanjang zaman buat ganerasi akan datang.

Pencerahan
Namun kini sudah mula memperlihatkan bibit-bibit pergerakan arus seni sebagai langkah awal memperkenalkan fotografi sebagai sebuah cabang seni kepada umum. Acara-acara fotografi yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara memperlihatkan perubahan ke arah pendekatan yang lebih positif dan tidak ketinggalan pameran-pameran fotografi dari genre yang pelbagai seperti jounalisme foto, fotografi seni halus, portret dan sebagainya hasil karya anak-anak tempatan yang diiktiraf.
Kita tidak perlu tunggu seruan kerajaan bagi memacu industri yang mungkin dipandang remeh pada saat ketika ini. Kita tidak perlu tunggu pengumuman peruntukan berbilion ringgit dari kerajaan untuk memajukan industri ini seperti yang berlaku dalam sektor teknologi maklumat dahulu. Kita bukan buaya yang menunggu di gigi air, ikan berenang tidak dipandang, selagi tidak turun rusa maka selagi itu tidak mahu makan. Semoga bidang akademik dan industri mampu keluar dari ruang selesa masing-masing dan bersama-sama berkerjasama dalam memacu dan memartabatkan industri yang bernama fotografi ini, sekian.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 12 (Apr/Mei 2013)
