Teks & Foto: Arep Kulal

Salam hormat dan bertemu lagi dalam ruangan kali ini. Saya jadikan ini sebagai platform untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada bersama-sama anda pembaca setia majalah Fotografika.
Perkongsian rasa ‘Pengorbanan Seorang Jurugambar Sukan’ pada keluaran yang lalu sudah pasti membuka minda dan memberi idea kepada para pembaca mengenai dunia jurugambar sukan yang sebenar. Saya harap penulisan tersebut dilihat dari sudut positif, cabaran-cabaran yang ada dalam kerjaya sebagai seorang jurugambar sukan.
Harus diingat, cabaran ini tidak akan berakhir. Persaingan dunia digital pada era ini juga menambahkan lagi cabaran dalam kerjaya sebagai seorang jurugambar sukan. Dengan kecanggihan peralatan digital yang dikeluarkan, dan peperangan harga oleh pengeluar, kamera digital kini sudah menjadi barangan mampu milik atau wajib dimiliki.
Fenomena ini merubah persekitaran kita. Kini, kita dapat melihat di sekeliling kita, ada sahaja individu yang mengendong kamera digital di bahu mereka. Tanpa mengenal usia, tua, muda, lelaki, perempuan, pelajar, penjawat awam dan sesiapa sahaja kini menjadikan dunia fotografi sebagai hobi baru mereka dan seterusnya menggelarkan diri mereka seorang JURUGAMBAR. Yang lebih menarik, ada di antara mereka sudah menggelarkan diri mereka jurugambar profesional.
Apakah profesional itu dinilai pada gaya? Apakah profesional itu dinilai pada tingkah-laku kita?
Ramai rakan-rakan yang saya temui ingin merubah gaya mereka menjadi profesional. Rata-rata di antara mereka beranggapan dengan menukar kamera mereka dari kamera ‘beginner’ kepada kamera ‘intermediate’, sudah menjadikan mereka separuh profesional. Manakala jika mereka mampu menukar dari kamera ‘intermediate’ ke kamera ‘profesional’, maka mereka sudah layak digelar jurugambar profesional.
Inilah perspektif pemikiran yang silap dan harus diubah. Profesional seseorang itu tidak diukur hanya dari kamera yang diusung, tidak pula dinilai daripada kamera yang digunakan. Tetapi nilai ‘Profesional’ diukur lebih dari itu.
Ramai jua yang bertanya saya apakah ciri-ciri seorang jurugambar sukan profesional? Bagaimana menjadi seorang jurugambar sukan profesional? Justeru, dalam keluaran kali ini saya kongsikan pendapat saya, ciri-ciri seorang Jurugambar Profesional sebagai panduan kita bersama.
Ayuh renungkan bersama, adakah anda jurugambar sukan yang profesional atau mampukah anda menjadi seorang jurugambar sukan yang profesional?

Anda hanya seorang jurugambar sukan profesional jika :-
Anda melakukan kerjaya fotografi sukan secara sepenuh masa
Inilah mukadimahnya. Jika ya, maka anda boleh tergolong dalam golongan jurugambar profesional. Iaitu jurugambar yang menjadikan fotografi itu kerjaya mereka. Jika anda masih makan gaji atau bekerja tetapi melakukan kerja-kerja fotografi sukan secara separuh masa, anda masih belum lagi profesional kerana tidak berani mengambil cabaran ini. Noktah! Sebelum anda tidak bersetuju dengan saya, rujuk dahulu definasi ‘Profesional’ dan anda pasti akan faham maksud saya.
Anda mempunyai daya pemikiran yang profesional
Anda mampu berfikir dengan pantas dalam apa jua keadaan dan rasional dalam tindakan merupakan ciri-ciri seorang profesional. Anda juga harus bersedia menerima apa jua keputusan dan mampu bertindak dari keputusan yang diterima.
Sebagai seorang jurugambar sukan, tugasan yang diberi tidak tetap. Adakalanya berminggu-minggu anda tidak diberi sebarang tugasan. Dalam waktu ini, anda harus melakukan tindakan yang bijak bagi menampung kekosongan dan masa yang ada. Anda harus berfikir untuk mencari ruang dan peluang. Jika anda gagal, kerjaya anda juga boleh gagal kerana anda gagal melihat peluang-peluang tugasan yang terhidang.

Anda pantas dan cekap
Tugasan adakalanya diberi dengan notis yang singkat. Anda harus pantas dan cekap dalam melakukan tugasan yang diberi. Terburu-buru pula merupakan sikap yang tidak ada dalam diri seorang profesional.
Proses merakamkan gambar, menyunting dan menghantar gambar perlu dilakukan dengan pantas dan cekap tanpa mengira tempat.
Anda punyai Kemahiran dan Skil
Kemahiran dan skil anda perlu selari dengan kecanggihan dunia digital dan IT. Sebagai seorang profesional anda perlu belajar teknologi baru terutamanya mengenai proses suntingan yang terkini.
Anda tidak seharusnya berhenti belajar dengan beranggapan anda telah mengetahui segalanya. Jangan pula segan untuk bertanya kepada mereka yang baru dalam dunia fotografi kerana kemungkinan mereka lebih mengetahui bidang IT lebih dari anda.
Anda bersedia pada bila-bila masa
Sebagai seorang jurugambar sukan profesional, diarahkan untuk ke sesuatu tempat atau kawasan yang belum pernah anda kunjungi merupakan perkara biasa. Anda harus bersedia pada bila-bila masa untuk melakukan perjalanan jauh. Adakalanya perjalanan yang dilalui kurang selesa dengan cara anda, tetapi sebagai seorang jurugambar sukan yang profesional, anda tidak boleh mengeluh dengan situasi yang dihadapi.
Anda mampu merakam aksi sukan yang kreatif
Ini merupakan aspek yang penting. Apabila diarahkan untuk sesuatu tugasan, pelanggan anda tidak ingin tahu masalah yang anda hadapi. Apa yang mereka ingin tahu ialah mereka ingin melihat rakaman aksi menarik dan kreatif tanpa mahu mengetahui cara dan bagaimana ianya dirakamkan.
Apabila anda dilantik untuk melakukan tugasan dan dibayar, anda tidak ada ruang untuk memberi alasan sekiranya anda gagal merakamkan aksi yang memenuhi selera pelanggan anda.
Justeru sebagai seorang profesional, anda harus mampu merakam aksi sukan yang menarik dan kreatif pada bila-bila masa dalam apa jua keadaan. Jika anda gagal, atau sekiranya gambar aksi yang dirakamkan itu hampir sama dengan nilai kreativiti jurugambar separuh profesional, maka anda juga belum layak digelar profesional walaupun anda melakukan kerjaya fotografi sukan itu sepenuh masa.

Anda tahu etika seorang jurugambar
Ini antara elemen yang penting namun ramai yang gagal melakukannya.
Apabila dilantik dan dibayar untuk melakukan tugasan, pelanggan anda beranggapan anda seorang profesional dan tahu segala etika jurugambar dan etika sukan yang anda ingin rakamkan.
Sebarang tingkah laku anda dan kesilapan etika yang anda lakukan semasa acara sukan sedang dijalankan menunjukkan tahap profesional anda dalam bidang fotografi anda. Anda harus tahu apa yang boleh dirakam dan apa yang tidak patut dirakam.
Sebagai contoh, tahukan anda bahawa tiada sebarang rakaman boleh dilakukan semasa atau ketika pemimpin-pemimpin atau pembesar-pembesar sedang menikmati juadah makanan di dalam sesuatu majlis. Saya pasti tidak ramai yang tahu mengenai protokol ini dan ini juga merupakan satu dari etika seorang jurugambar.
Anda mempunyai PR yang baik
Sebagai seorang yang melakukan kerjaya dalam fotografi sukan anda harus membina rangkaian kerjaya anda. Untuk membina rangkaian kerjaya ini anda harus mempunyai PR yang baik. Anda harus mampu berkomunikasi dengan segenap lapisan masyarakat tidak kira samada mereka itu seorang menteri, CEO sebuah organisasi, pengurus sebuah syarikat mahupun seorang pengawal keselamatan. Kemahiran berkomunikasi amat dituntut bagi menjaga kredibiliti dan profesionalism anda sebagai seorang jurugambar sukan.
Adakalanya anda harus mengarahkan mereka untuk mendapatkan postur yang menarik. Di sinilah tahap kemahiran komunikasi anda akan diuji dan dinilai.

Anda mampu menerima dan memberi arahan
Seorang jurugambar sukan yang profesional harus mampu menerima arahan. Anda harus menjadi pendengar yang baik apabila pelanggan anda memberi sebarang arahan. Anda harus patuh kepada arahan tersebut walaupun adakalanya anda tidak berapa setuju dengan arahan tersebut.
Sekiranya anda bekerja secara berkumpulan, anda harus bijak untuk memberi arahan kepada kumpulan jurugambar anda walaupun anda sedar arahan tersebut kurang disenangi oleh jurugambar kumpulan anda. Namun sebagai seorang profesional, anda harus melakukan semua itu.
Anda tidak lupa diri
Sebagai seorang jurugambar sukan profesional, anda tidak seharusnya lupa diri. Anda harus berupaya mengawal diri apabila melihat hasil karya anda dipamerkan, diiktiraf atau dipuji. Ini amat penting bagi membolehkan anda terus berjaya.
Kini tiba masa untuk anda menilai diri anda sendiri. Adakah anda tergolong dalam ciri-ciri seorang jurugambar sukan yang profesional seperti yang saya nyatakan di atas ?
Saya pasti anda mampu menilai dan mengklasifikasikan kedudukan diri anda sendiri.
Mampukah anda menggelarkan diri anda seorang jurugambar sukan profesional? Jika soalan itu ditanya kepada saya, sudah tentu saya menjawab, saya masih lagi belum mampu.
Selamat memartabatkan dunia fotografi sukan tanah air, hingga bertemu lagi dalam keluaran yang akan datang!
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 11 (Feb/Mac 2013)
