Penggunaan Otak Kanan dan Otak Kiri Dalam Fotografi

10/12/2016 | miza

Teks & Foto: Jidin

“Ramai yang beranggapan bahawa jurugambar banyak menggunakan otak kanan kerana beranggapan banyak perkara teknikal dan perkiraan digunakan dalam menghasilkan gambar yang menarik.”

masjid-jama-old-delhi

Pemahaman tentang fotografi berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain berdasarkan latar belakang pengetahuan secara formal atau tidak formal, persekitaran, pembacaan dan sebagainya. Umumnya kebanyakan beranggapan bahawa fotografi akan banyak menggunakan otak kiri dalam berkarya. Walaubagaimanapun, untuk menjadi seorang jurugambar yang berjaya, kemahiran menggunakan otak kanan dan otak kiri amat memainkan peranan penting dalam setiap aspek untuk menjadi fotografer yang berjaya dengan cemerlang.

Perbincangan kali ini berkisar tentang adakah fotografer sedar tentang betapa pentingnya penggunaan otak kanan dan kiri untuk memaksimumkan pencapaiaan dalam kerjaya fotografi? Adakah otak kiri boleh diselarikan cara pemikiran dengan otak kanan? Ataupun mencari kesesuaian dalam menghasilkan karya yang baik dan seterusnya memastikan kesinambungan hasil karya dan jurugambar dalam arus yang serba mencabar?

old-delhi

Perbincangan mengenai otak kanan dan otak kiri dalam artikel ini bukannya perbincangan yang mendalam dan secara saintifik, ianya suatu perbincangan tentang bagaimana penggunaan otak kanan dan kiri amat membantu dalam menghasilkan karya fotografi yang baik dan seterusnya menghasilkan jurugambar yang berjaya.

Otak kanan berfungsi dalam perkembangan Emotional Quotient (EQ). Misalnya kemahiran bersosial, komunikasi, interaksi dengan manusia lain serta pengendalian emosi. Otak kanan juga adalah tempat untuk perkembangan hal-hal yang bersifat artistik, kreativiti, idea-idea, perasaan, emosi, gaya bahasa, irama musik, menari, melukis, imaginasi, fantasi, warna, pengenalan diri dan orang lain, hubungan sosial dan pengembangan keperibadian.

Otak kiri merupakan pusat Intelligence Quotient (IQ). Otak kiri banyak dikaitkan dengan fungsi akademik yang terdiri dari kemampuan bercakap, kemampuan berbahasa, membaca tulisan, logik, angka, analisis, dan lain-lainnya. Biasanya ia diidentitikan dengan kecerdasan intelek. Maksudnya, otak kiri kita ini banyak berkait dengan kemampuan matematik, analisis dan kemampuan berfikir secara sistematik. Cara kerja otak kiri sangat rapi dan tersusun. Biasanya otak kiri sangat bermanfaat digunakan untuk memahami hal-hal yang kompleks.

Sebagai manusia, kita bergantung kepada otak kanan dan otak kiri untuk meneruskan kehidupan dan kejayaan menghadapi pelbagai dugaan dan keperluan kehidupan. Walaubagaimanapun, kebanyakan manusia hanya menggunakan sebahagian sahaja otak mereka dalam kehidupan seharian dan penggunaan penyelesaian masalah.

nikon-asia-monochrome
Ramai yang beranggapan bahawa jurugambar banyak menggunakan otak kanan kerana beranggapan banyak perkara teknikal dan perkiraan digunakan dalam menghasilkan gambar yang menarik. Ini juga antara isu yang menyebabkan ada perbahasan adakah fotografi itu adalah sebenar-benar “seni”? Sebenarnya, jurugambar yang baik dalam menghasilkan karya yang bagus menggunakan kedua-dua otaknya. Ini terbukti setelah beberapa ketika dan melalui kajian secara santifik tentang otak kanan dan otak kiri dan penggunaan otak oleh jurugambar dalam berkarya dari segi perancangan, pra-visualisasi, pemikiran analatikal, pendekatan secara teknikal , penggunaan emosi, gerak hati , unsur spiritual dan pelbagai unsur lain yang digunakan oleh seorang penggiat seni sebenar. Kadangkala ada yang mengatakan faktor teknologi kamera yang berkembang dan kekurangan ilmu jurugambar itu sendiri telah menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa penggunaan otak kanan amat penting di gunakan dari segi pengiraan teknikal, perancangan awal dan sebagainya sehingga mengetepikan aspek artistik dan emosi.

img_5034

 

Kadangkala apabila melawat pameran fotografi, akan kedengaran kata-kata pengunjung, gambar ini tak kena dengan jiwa saya, gambar ini terlampau artistik dan tak sesuai dengan saya dan sebagainya. Sebaiknya ialah cuba fahami apa yang ingin disampaikan dalam gambar tersebut dan elakkan terus menghukum tidak suka, tidak sesuai dan sebagainya.

Sebenarnya untuk menjadi jurugambar berjaya, gabungan otak kanan dan otak kiri antara elemen penting untuk berjaya dan menghasilkan gambar yang menarik. Kadang-kala ada jurugambar yang lebih cenderung kepada penggunaan otak kanan dan ada juga yang lebih cenderung kepada otak kiri.

maybank-thaipusam-3Jurugambar yang cenderung banyak menggunakan otak kanan lebih banyak membincangkan berkenaan teknikal, kamera, gajet, kemahiran lampu studio atau lampu denyar dan aspek teknikal lain. Manakala jurugambar yang lebih cenderung penggunaan otak kiri pula lebih banyak membincangkan aspek emosi, proses sebelum pengatup ditekan dan makna sesuatu gambar, anda sendiri berada dalam kategori mana? Banyak gunakan otak kanan atau otak kiri?

Antara salah satu cara latihan yang boleh digunakan untuk melatih otak kanan dan otak kiri adalah dengan membuat latihan yang menggunakan kemahiran melukis. Latihan ini sebaiknya dilakukan dalam kumpulan dan bukannya secara individu. Seeloknya dalam kumpulan dengan bilangan minimum seramai 5 orang dan ada perbezaan jantina dalam kumpulan. Lebih elok jika ada percampuran bangsa dan agama. Berikan setiap seorang kertas A4 dan pen. Kemudian kertas dilipat sehingga membentuk 8 lipatan. Kemudian arahan diberikan untuk menulis perkataan (aman, marah, gembira, kesunyian, murung, bertenaga, kewanitaan, kelelakian) dalam setiap kotak. Bagi masa hanya 5 minit untuk setiap ahli kumpulan untuk melukis berdasarkan imaginasi sendiri terhadap setiap perktaan. Ahli kumpulan mesti menutup mata semasa melukis imaginasi setiap perkataan yang diberikan. Semasa menutup mata, suruh ahli kumpulan berimaginasi dan kaitkan dengan perasaan yang berkaitan dengan setiap perkataan yang telah ditulis dalam setiap kotak. Latihan ini mesti mengambil masa yang cepat dengan peserta tidak perlu berfikir panjang dan hendak menghasilkan karya yang bagus. Cukup dengan melakukan contengan imaginasi dan emosi. Kemudian fasilitator akan memberi refleksi atas setiap hasil contengan yang dilakukan. Kebiasaanya hasil contengan ahli kumpulan lebih kurang sama saja hasilnya. Ini menunjukkan sifat universal seni imaginasi contengan emosi.

img_4594
Latihan sebegini kemudian diaplikasikan pula dalam merakam gambar terhadap kumpulan jurugambar. Berikan tema sebagaimana dalam kumpulan di atas dan minta jurugambar merakam gambar mengikut tema yang diberikan. Kebiasaaanya juga akan menghasilkan gambar yang hampir sama antara setiap jurugambar. Ada fotografer yang merasakan latihan ini susah untuk diselesaikan dan ada yang rasa senang dan bergembira semasa merakam gambar.

Aspek komposisi semasa merakam gambar juga melibatkan otak kanan. Pada masa yang sama juga cuba latih diri anda dengan melihat aspek cahaya, tekstur, latarbelakang dan juga garisan. Kemudian aspek komposisi subjek digabungkan dengan aspek cahaya, tekstur, latarbelakang dan “line”. Latihan ini adalah salah satu latihan gabungan otak kanan dan otak kiri untuk fotografer semasa merakam gambar. Pastikan anda sensitif dengan keadaan sekeliling dan masukkan elemen emosi dalam menghasilkan gambar.

Antara latihan lain yang boleh dilakukan juga ialah cubaan merakam gambar yang menceritakan mimpi yang dialami oleh jurugambar tersebut. Imaginasi dan emosi dengan kemahiran teknikal dan gabungan aspek lain akan menghasilkan karya yang bagus dan akan menarik minat orang lain untuk menikmati hasil rakaman seseorang jurugambar. Kemantapan dari sudut teknikal dan gabungan runtunan emosi dan aspek psikologi akan menguatkan lagi hasil karya seseorang jurugambar. Kesimpulannya untuk menjadi jurugambar yang terbaik ialah dengan memaksimakan penggunaan otak kanan dan otak kiri dan menggunakan kemahiran teknikal dan psikologi emosi dan imaginasi dalam menghasilkan karya terbaik. Elemen abstrak, kelajuan pengatup perlahan, kekaburan dan sebagainya ialah antara elemen yang digunakan dalam berkarya.

 

 

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 10 (Dis 2012/Jan 2013)

fg-10-cover