Keunikan suku Mah Meri

09/12/2016 | miza

Teks & Foto: Dome

1_dom4830
Nikon D3, 85mm, ISO 400 , 1/125s , f/3.2

Sebelum ini saya pernah menulis tentang artikel orang asli tetapi hanya ditulis secara umum. Kali ini saya ingin menyentuh secara khusus berkenaan suku orang asli Mah Meri daripada kelompok Senoi. Kebanyakan mereka tinggal di beberapa perkampungan sekitar Pulau Carey, Selangor. Mereka sudah mengalami fasa kehidupan moden dan ramai di antara mereka sudah mempunyai taraf pendidikan dan kehidupan yang baik, akan tetapi kemodenan tidak menelan kepercayaan dan budaya suku kaum mereka.

Dalam kesemua suku orang asli di semenanjung, suku Mah Meri dan Jah Hut mempunyai kemahiran ukiran kayu tersendiri. Orang asli Mah Meri terserlah dengan ukiran kayunya seperti harimau berantai, Tok Moyang Pisang, Moyang Jabang dan pelbagai lagi. Mereka juga mahir mengukir topeng-topeng kayu unik berdasarkan kepada dunia spiritual yang mereka percayai yakni meliputi kuasa ghaib baik dan jahat. Ukiran yang dihasil bukan bertujuan untuk pemujaan tetapi lebih kepada manifestasi mereka terhadap semangat alam. Jadi ianya tidak lebih sebagai satu karya seni masyarakat orang asli kita yang telah mendapat pengiktifan daripada UNESCO.

2_dom4732
Nikon D3, 85mm, ISO 250 , 1/640s , f/1.4

Moyang Pongkol, Moyang Puteri Gunung Ledang, Moyang Bajus dan Tok Naning antara nama-nama ukiran topeng kayu yang di hasilkan, Segala mitos yang di ceritakan oleh generasi terdahulu diterjemahkan melalui ukiran mereka. Setiap satu mempunyai kisah dan cerita yang tersendiri, seperti Moyang Pongkol yang dipercayai sentiasa ada niat jahat dan boleh menyamar pelbagai rupa serta boleh menyesatkan manusia yang berada di hutan belantara, manakala Moyang Puteri Gunung Ledang dipercayai setiap tahun akan turun ke laut bagi mencari siput, ketam dan lokan. Moyang Bajus pula dikatakan suka berjalan mengundur, memiliki lubang hidung yang ke atas dan begitu takutkan hujan kerana bimbang air hujan akan masuk ke lubang hidungnya, manakala Tok Naning sifatnya suka mengutip barang-barang seperti upih nibong, upih pinang dan kayu lalu dibawa balik ke rumah. kemudian beliau akan mengeluh ‘mataku jengkong, kepalaku pening’ dek kerana terlalu banyak barang yang dibawanya pulang.

 

Suku ini masih kuat berpegang kepada semangat nenek moyang mereka dan setiap ukiran topeng yang dihasilkan sebagai tanda penghormatan terhadap roh nenek moyang yang dipercayai mempunyai kuasa dalam menentukan kebaikan dan keburukan didalam kehidupan mereka.

3_dom0155
Nikon D3, 85mm, ISO 320 , 1/250s , f/2.8

Setiap tahun, mereka akan menyambut hari kebesaran yang dikenali sebagai Hari Moyang, hari untuk mereka memperingati dan berterima kasih kepada semangat atau roh nenek moyang bagi segala kebaikan yang telah dikurniakan kepada mereka, dengan kepercayaan bahawa upacara yang diadakan itu dapat menenangkan roh dan menangkis bala bencana terhadap mereka. Pelbagai acara diadakan pada Hari Moyang termasuk tarian tradisional mereka yang dikenali sebagai mayin jo-oh, dengan memakai baju yang diperbuat daripada kulit kayu dan menghiasi badan dengan perhiasan yang diperbuat daripada daun nipah dan mengkuang serta penari bertopeng, subjek ini begitu menarik untuk dirakam oleh lensa kamera.
Jadi jangan lupa jika anda ingin menyaksikan serta merakam keunikan budaya orang asli Mah Meri ini, datanglah ke Pulau Carey terutamanya ketika perayaan Hari Moyang yang biasa di buat selepas daripada perayaan Tahun Baru Cina pada setiap tahun.

“Fotografi bukan semata-mata berkenaan aspek teknikal, tetapi sejauh mana kita mengenal dan memahami subjek yang ingin kita rakam itu adalah terlebih penting.”

5_dom4759
Nikon D3, 85mm, ISO 250 , 1/400s , f/1.4

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 09 (Okt/Nov 2012)

fg-09-cover_o