“Bukan Kami Ini Yang Sebenarnya Berbeza”- Soraya & Ariff

08/12/2016 | miza

Temuramah: Ashraf Saharudin           Foto: Ariff Awaluddin & Soraya Yusof Talismail

 

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Gosaikunda Lake Foto oleh Ariff Awaluddin

Bermain-main di fikiran bagaimana jadinya nanti? Apa cukup berbaloi persoalan yang hendak ditujukan? Apa cukup bersedia untuk meletakkan diri mengikuti memahami setiap tutur kata mereka? Kami tidak pernah berbual bicara, Jika selama ini kelibat gerak geri Soraya hanya saya ‘lihat’ melalui bahan bacaan dan pameran namun ini kali pertama saya bertemu dengan pasangan Ariff & Soraya, dan kali pertama membuka persoalan mengenai seni fotografi dan industri itu sendiri. Namun akal menjawab, jika tidak sekarang, bila lagi? Hati memujuk berkata, mereka juga manusia biasa, yang membezakan adalah mungkin pemikiran, hasil seni dan tahap pencapaian, jika tidak dikongsikan, mungkin semua itu akan terkubur dan rugi. Akal menambah, kita boleh menuntut dengan seribu guru, namun sia-sia jika kita menuntut tanpa mengetahui siapa guru itu.
Kami berpeluang mencuri ruang masa pasangan ini untuk ditemu bual di Kokopelli Bistro, sebuah restoran milik pasangan Soraya Yusof dan Ariff Awaluddin. Soraya seorang jurugambar terkenal di kalangan pemain-pemain industri tanah air tidak kurang antarabangsa. Pameran-pameran solo di dalam dan luar negara sudah tidak asing lagi buat beliau. Ariff Awaluddin pula seorang penggiat seni pementasan hadir dengan karektor bersahaja namun di sebalik benak akal fikiran dan bual bicara beliau, setiap tutur kata yang terpancur menggenggam rapat setiap persoalan dan gandingan jawapan mengenai seni fotografi yang juga hadir dari rumpun seni yang sama, visual.

soraya-2
Foto oleh Soraya Talismail

Ashraf: Ini adalah dari sudut pemerhatian saya yang tidak mengenali Soraya secara dekat, mengapa Soraya Yusof Talismail tampak berbeza dari kebanyakan jurugambar-jurugambar yang lain terutamanya dari segi interaksi sosial? Generasi jurugambar baru tidak mengenali (atau sebenarnya tidak mahu mencari, itu saya tidak tahu) walaupun Soraya sudah buat pameran antarabangsa di New York dan sebagainya. Apa benar Soraya ini sukar didekati?

 

Ariff: Respon kepada pertanyaan itu, kita masih memiliki beberapa lagi jurugambar senior yang anda boleh rujuk, mungkin dengan soalan yang sama, mereka seperti Eric Perris, Ismail Hashim, Shukor disamping Soraya sendiri dan beberapa individu lagi, barisan bahan rujukan berharga itu sememangnya ada untuk anda cari, tidak banyak pun.

Soraya: Perkara ini dapat dilihat dalam sesi bicara fotografi kami beberapa hari lepas, sebuah sesi bual bicara mengenai “Bagaimana Untuk Tidak Berfikir Seperti Seorang Jurugambar”. Tidak ramai yang hadir, samada tidak banyak yang berminat atau kurang publisiti itu kami tidak pasti.

Ariff: Jika mereka kurang meminati sesi fotografi berbentuk bual bicara ilmu ini, maka kita harus lakukan sesuatu. Namun bagi kami yang dijemput, itu bukan isu besar, seorang, sepuluh orang atau lima puluh orang tiada bezanya, kami tetap lakukan yang terbaik kami mampu berikan. Percuma atau berbayar bagi kami itu tidak penting.

tracing-the-lineage-3-soraya
Tracing The Lineage I, Tracing The Lineage II Foto oleh Soraya Talismail

Ashraf: Komuniti fotografi kita secara kasarnya masih belum bersedia untuk sesuatu seperti perbincangan intelek mengenai seni fotografi itu sendiri. Di mana kekurangan atau faktor penyebabnya?

Ariff: Untuk menjawab persoalan itu adalah sangat mudah, sikap dan mentaliti. Itulah kekurangannya.

Ashraf: Adakah itu berbalik kepada mentaliti masyarakat atau jurugambar kita sendiri?

Ariff: Sudah tentu, masyarakat dan jurugambar itu adalah juga tergolong di dalam masyarakat kita. Dalam apa jua perkara yang kita hendak lakukan, kita bukan hanya perlu ada sikap yang baik tetapi kita juga perlu ada sikap yang betul. Pertama sebelum anda bermula samada fotografi atau lain-lain, sikap betul yang saya maksudkan adalah memulakan sesuatu dengan pertanyaan dan apabila kita mula bertanya, maka akan hadir jawapannya. Jawapan dalam konteks yang saya maksudkan adalah ilmu. Ilmu itulah yang akan mencerminkan jenis jurugambar apakah kita? Jika tidak, kita tidak boleh bercakap tentang siapa kita sebagai penggiat seni atau siapa kita sebagai jurugambar? Perkara yang mampu untuk dibicarakan hanyalah mengenai lensanya yang bernilai ribuan ringgit, peralatan canggih dan sebagainya. Ini kerana rujukan ilmunya tiada dan apabila tiada ilmu yang tadi hadir dari sikap yang betul itu maka bicaranya sebenarnya kosong, tidak berguna sebagai seorang penggiat seni fotografi.

Soraya: Kami hadir turut serta mendengar dan melihat sendiri acara-acara fotografi dan sesi bicara fotografi yang dianjurkan, contohnya tahun lepas kami hadir di Festival Fotografi Kuala Lumpur 2011 di Mid Valley, selain memberi sokongan kepada pergerakan fotografi generasi baru dan yang lebih muda, di dalam sesi bicara fotografi itu kami juga mendengar intipati yang cuba disampaikan mereka, namun pengisiannya tampak kurang. Pengisian yang disampaikan dalam bicara fotografi itu hanyalah soal teknikal, mengenai peralatan yang digunakan atau sekadar persembahan koleksi foto yang dimiliki, tidak lebih dari itu.

Ariff: Itu masalahnya, kita harus mengetahui dan fahami apakah yang dimaksudkan dengan bicara fotografi? Kita perlu faham apakah itu bengkel fotografi? Apakah itu seminar fotografi? Kerana setiap corak pengisian diantaranya adalah berbeza dan untuk memahami perbezaan ini juga memerlukan ilmu pengetahuan. Jika pengisiannya hanyalah berkisar mengenai soal teknikal, maka ilmu yang sebenarnya jauh lebih penting daripada itu sebenarnya tidak wujud.

soraya-1
Foto oleh Soraya Talismail

Ashraf: Maksud ilmu yang disebutkan?

Soraya: Segala-galanya. Dalam persoalan ini adalah ilmu fotografi yang sebenarnya jauh lebih luas daripada hanya sekadar sebuah imej yang cantik dan peralatan canggih.

Ariff: Kerana anda boleh merakam gambar, anda berani gelar diri anda seorang jurugambar? Kepada jurugambar muda, memang zaman sekarang jauh lebih mudah, anda tidak perlu berhabis banyak untuk mendapatkan sebuah kamera yang bagus jika hendak dibandingkan dengan dua puluh, tiga puluh tahun lalu. Maka jika sesuatu itu hadir dengan mudah dan jika anda percaya dengan memiliki peralatan itu semua sudah memadai dan mula menggelarkan diri anda jurugambar, seorang penggiat seni fotografi, persoalan utamanya, adakah anda betul-betul memahami dan mengetahui apakah itu seni fotografi?

ariff-2
Foto oleh Ariff Awaluddin

Kalau pergi ke sekolah khusus, tidak juga pandai, maka anda sebenarnya bodoh. Tetapi jika hanya sekolah biasa pula, dengan peredaran zaman sekarang, segala maklumat dapat diperolehi dari internet, anda juga boleh belajar, tiada masalah. Tetapi persoalan utamanya, tidak kira sekolah apa sekalipun hadirnya kita, adakah kita sebenarnya belajar? Terdapat segelintir jurugambar yang hanya tahu meniru, kadang-kala meniru suatu pendekatan asing yang langsung tidak sesuai dengan adat budaya dan agama kita. Contoh ini dilihat jelas terjadi kepada fotografi perkahwinan dan masyarakat kita sekarang yang pengisiannya adalah fantasi dan jauh menyimpang dari norma kehidupan sebenar masyarakat kita di Malaysia. Ramai jurugambar muda terutamanya terjebak dengan kekeliruan dalam menampilkan intipati sebenar sesebuah majlis perkahwinan yang penuh dengan saat-saat berharga yang jauh lebih penting dari hanya sebuah rakaman fantasi kehidupan dalam berkarya.

Soraya: Soal rasa hormat dalam berkarya itu sebenarnya kian hilang terutamanya dikalangan jurugambar muda kita. Menghormati sesebuah karya dan menghormati subjek di dalam karya itu tidak lagi wujud hinggakan jurugambar kita tanpa sedar melangkaui realiti dan kenyataan sebenar kehidupan. Itu pandangan kami, tetapi bagaimana pula pandangan Ashraf terhadap industri fotografi kita?

Ashraf: Jika hendak dibandingkan komuniti jurugambar kita dengan mereka di Jepun, Eropah dan sebagainya dalam konteks menghargai seni, jurangnya terlalu besar.
Ariff: Salah siapa?

Ashraf: Soalan “salah siapa?” itulah yang ingin saya tujukan balik kepada Soraya dan Ariff. Saya yang hadir dalam kelompok generasi muda ini ingin mendengar pandangan dari kalian berdua, berdasarkan pengalaman meniti garisan seni fotografi tempatan sejak sepuluh, dua puluh tahun yang lalu. Jika sudi berkongsi pandangan, saya ingin bertanya, salah siapa ini semua terjadi?

Ariff: Salah kita sendiri, seperti yang saya katakan awal tadi, kita sebenarnya tidak belajar. Contohnya graduan jurusan fotografi itu sendiri, ketika di dalam pengajian jurusan fotografi itu kadang-kala sudah terjadi penafian dalam menghargai seni yang membawa kepada ketegangan dalam mendapatkan ilmu. Dialog-dialog seperti ‘jurusan ini bukan pilihan saya’, tetapi kenapa mendaftarkan diri dalam jurusan itu jika tidak berminat. Ini semua memberi kesan mendalam dalam proses menghargai seni dan dalam konteks perbualan kita ini, seni fotografi.

tracing-the-lineage-1-soraya
Tracing The Lineage I, Tracing The Lineage II Foto oleh Soraya Talismail

Soraya: Berbalik kepada soalan berkenaan menghormati dan menghargai seni itu juga, apabila saya merakam potret, saya lakukan dengan penuh rasa hormat tidak kira siapapun mereka. Sejak dulu lagi jika saya merakam foto perkahwinan, pertunangan contohnya, saya tidak meletakkan mereka dalam kedudukan rapat berdua,dan jika imej berdua pun, sentiasa saya pastikan terdapat ruang di antara mereka dan tiada berlaku sebarang sentuhan. Fotografi perkahwinan saya sangat formal dan saya harus hormati itu sebagai seorang Muslim kerana saya bertanggungjawab dalam arahan itu. Tidak dinafikan pada permulaan kerier saya wujud perkara sedemikian, tetapi lama-kelamaan wujud kesedaran mengenai rasa tanggungjawab dan rasa hormat dalam berkarya. Jika kita cuba meniru pun, jangan tiru perkara yang salah, saya juga belajar dari jurugambar-jurugambar luar ketika saya di Amerika Syarikat dan sebagainya, kita belajar banyak daripada mereka, ambil yang baik, itu sahaja.

Ariff: Seorang jurugambar adalah seorang penggiat seni, seorang penggiat seni adalah manusia, seorang manusia itu mesti memiliki pegangan atau fahaman agama. Dalam konteks ini seorang yang beragama itu berbakat seni dan seni yang diperkatakan adalah fotografi. Semua itu harus jelas difahami maka soal menghormati seni dan karya itu akan terjawab. Bangsa ini, agama ini dan mereka yang datangnya daripada daerah ini, begitulah caranya, bukan dunia fantasi dan perilaku melampaui batas yang gigih cuba ditonjolkan dalam industri kita sekarang. Jika ini difahami, maka seni itu akan dihargai dan dihormati.

lentur-buluh-dari-rebung-doa-by-soraya-y-talismail
Lentur Buluh Dari Rebung – Doa Foto oleh Soraya Talismail

Menjawab soalan pertama tadi, mengapa kami tampak berbeza daripada mereka yang berada di dalam industri, jawapan saya kami tidak berbeza apapun, cuma kami lakukan perkara yang betul. Apabila kita lakukan perkara yang betul di dalam sebuah komuniti yang salah dari segi pembawakannya, sudah tentu kita dilihat berbeza. Pada hakikat sebenar, bukan kami yang berbeza, tetapi mereka yang berada di kelompok majoriti itu yang sebenarnya berbeza dari norma asal kehidupan mereka. Bagus anda semua datang bercakap dengan kami mengenai perkara ini supaya hal ini dapat diperjelaskan. Saya dan Soraya selalu berbincang, dengan tangan terbuka kami sedia berkongsi dengan generasi muda mengenai apa-apa yang kami dapat kongsikan.
Aktiviti
Soraya: Pada akhir tahun ini kami akan anjurkan sesi bual bicara seperti yang kami pernah lakukan sebelum ini, sesi perbincangan dua hala dan perkongsian pendapat. Mungkin kami akan lakukannya setiap hujung minggu jika memiliki ruang masa yang cukup. Kami cuba lakukan bahagian kami, apa-apa yang kami mampu berikan kepada mereka yang inginkannya, kepada industri secara tidak langsung.
Ariff: Terdapat juga masalah dalam usaha mengumpulkan jurugambar-jurugambar di dalam industri dalam mencari persefahaman, mencari jawapan dan penyelesaian yang mampu menaikkan industri kita. Susah untuk kita duduk bersama-sama berdiskusi ilmu dan pandangan. Harus diingat, dalam seni visual, jika kita berasa diri kita bagus, jika orang yang melihat kata tidak bagus, tidak bagus juga.

soraya-3
Foto oleh Soraya Talismail

Soraya: Kami bersama-sama rakan-rakan lain sangat terbuka, budaya kritikan ilmiah diterima dengan tangan terbuka. Tiada yang bersifat peribadi, terima teguran secara profesional, kami hanya ingin anda untuk menjadi lebih baik,itu sahaja.

 

Juga masih di dalam kontek menghormati karya seni, ambil contoh fotografi peragaan. Mengekploitasi kecantikan, tubuh badan wanita itu bukan cara kita kerana subjek utama yang ditawarkan itu hadir dalam bentuk nafsu, seninya hadir mungkin kedua terakhir atau, terakhir atau langsung tiada. Kita menyumbang kepada keruntuhan akhlak di tanah air kita sendiri apabila imej wanita-wanita itu dipertontonkan dan diambil sebagai rujukan anak-anak gadis kita. Lihat di timur tengah, filem dari negara Iran contohnya, mereka dalam ertikata menghormati karya, mereka tidak membogelkan perempuan mereka, mereka tidak meletakkan pasangan mereka dalam keadaan tidak senonoh.
Soraya: Buka fikiran kita tidak bermakna kita menerima budaya luar yang tidak senonoh, tetapi buka fikiran kita dalam mendengar pendapat dan ilmu berguna yang cuba dikongsikan dan yang boleh diguna pakai, sesuai dengan budaya kita. Kita mahu berada di taraf antarabangsa tetapi kita tidak mahu bergaul dengan mereka yang sudah berada di persada antarabangsa itu sendiri, itu silapnya.
Ariff: Pesanan kepada jurugambar muda, berhenti bercakap, berbincang itu boleh, tetapi bukan hanya tahu bercakap. Maka dengan itu kita boleh mula menilai tahap kita yang sebenar.

Soraya: kami buka tempat ini untuk sesiapa sahaja yang ingin datang dan berkongsi, dan kami juga membuka tapak tangan kami untuk kami keluar dan berkongsi ilmu dengan mereka di luar sana, persatuan-persatuan fotografi, institusi pengajian dan sebagainya. Namun ada segelintir pihak yang mudah membuat tanggapan awal negatif mengatakan kami sombong dan sebagainya tanpa hadir bertanya.
Ariff: Malah ada beberapa persatuan yang kami sendiri tawarkan diri untuk mengadakan sesi-sesi bicara foto, hanya beritahu tarikh dan tempat. Apakah mungkin antara sebabnya adalah faktor ilmu itu sendiri? Jika kita ini serba kekurangan dari segi ilmu atau serba bodoh secara kasarnya, sudah tentu ada yang tidak mahu orang yang lebih pandai ada di kalangan kita kerana kita akan tampak lebih bodoh. Baik kita mengaku bodoh sekarang dan keluar daripada kebodohan itu. Apa salahnya mengaku bodoh? Maka dengan pengakuan ‘saya tidak tahu’ itu kita bertanya dan ilmu itu akan diperoleh, maka saat selepas itu kita tidak lagi bodoh.
Ashraf: Antara agama, budaya dan kreativiti, di mana garis sempadannya?
Ariff: Tidak wujud soal garis sempadan atau batasan itu dalam hal ini, tidak perlu bersusah payah memikirkan soal batasan. Inilah punca perlunya kebijaksanaan itu.
Soraya: Kita harus tahu secara logiknya bila dan di mana harus kita berhenti. Itu semuanya adalah perkara asas. Itu semua adalah logik akal kita yang dididik dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Moden mana pun kita, jika kita waras, kita mampu berfikir mengenai soal baik buruk, salah dan betul.
Ariff: Kita sangat teruk dalam mempersoalkan siapa diri kita sebenarnya. Bukan dalam fotografi sahaja, malah industri lain juga. Kita hadir sebagai Muslim, sebagai orang Melayu dalam industri ini sememangnya sukar. Cabarannya hebat, mencari sesuap nasi dengan karya fotografi, tepuk dada tanya selera. Kita harus buat pilihan yang betul dan untuk itu, kita harus ada ilmu.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Above the clouds Foto oleh Ariff Awaluddin

 

arrif
Ariff Awaluddin Kokopelli Travellers Bistro Foto oleh KF Choy
soraya-by-pasang-dendi-sherpa
Soraya Yusof Talismail Jurugambar Seni Halus Malaysia Talismail Inc. Foto oleh Pasang Dendi Sherpa

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 08 (Ogos/Sep 2012)

fg-08-cover_o