Visi Kreatif Bernafas Seni

05/12/2016 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

 

about-a-girl
About A Girl

 

Seni fotografi yang mempunyai momentum, impak serta nafas–nafas seni yang kuat adalah hasil daripada proses liberalisasi konsep dan idea-idea secara kolektif. Ia juga turut disumbangkan oleh proses liberalisasi dalam pengkaedahan penghasilan sesuatu gambar atau karya. Idea-idea yang digagaskan dan disunting dengan kepekaan terhadap modul penceritaan yang baik akan menghasilkan sesuatu karya yang sudah pastinya mempunyai isi kandungan yang bermutu. Proses liberalisasi ini harus sejajar dengan kepekaan jurugambar itu sendiri dalam meneladani proses penghasilan sesebuah gambar. Umum hari ini lebih kepada penghasilan akhiran yang  mutlak dan sering proses liberalisasi idea dan konsep dipinggirkan. Kita masih lagi kurang kesedaran untuk membawa modul–modul seperti ini dalam modul pembentukan ilmiah seseorang jurugambar yang baru bermula dari anak tangga industri ini. Inilah tempias daripada industrialisasi seni fotografi setelah ia dikomersialkan dan diperdagangkan untuk populariti.

the-purple-trees
The Purple Trees

Salah satu daripada modul asas fotografi adalah proses komposisi imej atau ‘ framing’ secara keseluruhan. Rumah yang kukuh mempunyai  struktur kerangka dalaman yang kuat dan begitulah karya fotografi. Karya yang berseni pasti dizahirkan daripada visi kreatif yang di materialisasi kan daripada penghayatan visualisasi yang  berkonsep kreatif. Sepanjang pengembaraan saya dalam terowong masa seni fotografi, kita masih mempunyai stigma takut untuk bervisi secara kreatif di luar kotak dasar kerana corak kita masih bertalikan perkara yang umum rata-rata faham dan apa yang arus perdana industri kehendaki. Kita harus ada satu persembahan visual yang mendasari dua  struktur utama yang sangat penting iaitu proses penghasilan gambar atau karya yang teliti dan penghasilan akhiran  karya yang kuat dan memberikan nafas visualisasi serta impak kepada pemerhati. Kita harus berani untuk mencuba, harus berani untuk bereksperimentasi, harus berani untuk membawakan sesuatu konsep yang di luar skop kebiasaan. Inilah yang kita panggil kreativiti di luar tempurung. Bukan menyongsang tetapi menjulang.

Exif_JPEG_PICTURE
Pujangga X

Bagi pengkarya yang memahami  untuk meletakkan seni fotografi sebagai salah satu daripada kelompok atau cabang seni visual yang lain seperti seni catan, arca dan hasil installasi, mereka pasti meletakkan visi dan kreativiti visual dalam persembahan mereka pada tahap terbaik yang boleh mereka terjemahkan. Saya melihat dan membawa fotografi sebagai satu medium seni halus (fine art) kerana saya memang menerap dan menyulamkan persembahan saya berdasarkan corak manifestasi realisme, abstraction dan `artistik surrealistic approach`. Pendekatan ini agak mencabar kerana kita harus berdepan dengan berbagai faktor luaran dan dalaman  seperti proses penghasilan karya itu sendiri, pengisian dalam penghasilan karya kita dan yang paling merupakan dogma pada ekspresi seni seperti ini adalah penerimaan masyarakat mengenai aspirasi seni itu sendiri. Malahan pendekatan jurugambar dan pengendali kamera  pada hari ini juga adalah cetek terutama bagi yang tidak belajar secara akademik dan pengenalan asas fotografi secara teratur. Maaf saya katakan bahawa inilah virus yang sedang menular di kalangan kita .

bleeding
bleeding

Pengendali-pengendali kamera hari ini lebih seronok dibuai kepesatan dan era pembangunan fotografi secara siber dan laman sosial. Karya dihantar ke laman sosial untuk dikongsi, malangnya gambar-gambar ini tidak menjalani proses “art critics“ yang sepatutnya. Inilah impak pendedahan fotografi secara maya atau siber. Kita sepatutnya menjadikan dasar sumber pembelajaran kita daripada  ahli akademik, buku rujukan, bahan bacaan, journal-journal terdahulu dan jurugambar-jurugambar yang memahami apa itu seni fotografi dan mereka beriltizam untuk mengangkat martabat fotografi sebagai salah satu daripada seni visual yang dapat dihormati ramai. Kehendak seni memerlukan seseorang yang ikhlas untuk mencurahkan ilmu dan bukan yang berdiri untuk kepentingan peribadi, untuk agenda sendiri dan untuk mempromosikan diri atau studio masing-masing . Ini adalah pemangkin untuk kita berubah. Hapuskan hipokrasi dan naikkan semangat ilmiah untuk satu halatuju yang lebih mantap. Maka barulah fotografi  kita berdiri dan dihormati. Bukan untuk dijulang tetapi untuk dihayati akan maksud dan pengisian yang cuba kita sampaikan secara visual. Visualisasi yang baik ialah penceritaan tentang kehidupan kita sendiri dan ramai yang tidak terdorong untuk melakukan visualisasi seperti ini.

love-anthem-copy
Love Anthem

Proses untuk memantapkan kreativiti bukanlah suatu proses yang boleh diperoleh secara tiba-tiba. Ia adalah suatu manifestasi kita tentang episod penjelajahan kita dan bagaimana kita memahami keberadaan kita dalam peradaban sekeliling dan kehidupan ini khususnya. Kreativiti ditunjang oleh beberapa faktor penting seperti proses pembelajaran seseorang pengkarya itu sendiri, tekanan-tekanan positif yang membina kekuatan idea ketika proses penghasilan gambar juga merupakan suatu faktor yang sangat berguna. Perkembangan sains sosial dan politik serta kesedaran seni sesebuah masyarakat juga merupakan penyumbang utama dalam memahami pembawaan sesuatu konsep atau kreativiti seseorang pengkarya melalui fotografi. Sesi ilmiah tentang perkara seperti ini masih kurang di kalangan tentera fotografi kita. Kita seharusnya menjana sesi ilmiah seperti ini sebelum kita menggalakkan pengendali-pengendali kamera terjun ke industri hanya berbekalkan kamera dan perisian suntingan sahaja. Memetik kata sahabat saya saudara Marfizul Azuan Marsuki (Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) , salah konsep yang sering berlaku ialah kita menganggap fotografi itu adalah segalanya tentang DSLR. Satu konsep pemahaman yang memang terkeluar daripada prinsip fotografi yang sebenar. Inilah yang sebenarnya harus kita buka dan sampaikan untuk mengembalikan kita semula ke kampung halaman fotografi yang sebenar. Mesejnya jelas, untuk menaikkan tahap seni fotografi kita di tahap yang lebih baik.

land-of-honour
Land of Honour

Proses ini masih panjang walaupun kita mempunyai deretan tentera-tentera pengendali kamera. Kita harus mempunyai senjata ilmu, imaginasi, kreativiti dan kita harus berperisaikan hasil produktiviti yang kuat dan mempunyai santunan penceritaan visual yang menarik  dan dalam makna pengertiannya. Bruce Barnbaum dalam bukunya yang cukup menarik `The Art of Photography: Approach to Personal Expression‘ menggariskan beberapa perkara yang perlu ada pada seseorang pengkarya fotografi untuk menjadikan hasil fotografi mereka sebagai sesuatu yang dapat diangkat sebagai seni. Antaranya ialah keinginan dan keazaman kita untuk mengangkat hasil karya kita dalam arus pengolahan seni. Kita harus ada corak pemikiran yang kreatif dan kritis untuk memberikan kekuatan pada penghasilan kita.  Pengalaman berkarya dan proses pengulangan eksperimentasi (repetition)  juga sangat penting. Dengannya kita lebih mahir dan cekap dalam penghasilan karya yang bertunjangkan seni secara halus berteraskan kreativiti yang kolektif. Bagi yang mempunyai keseimbangan idea dan pelaksanaan proses penghasilan karya yang teliti,  memang mereka ini akan terbit di aliran seni dengan pendekatan yang berbeza kera visi mereka adalah berbeza.  Visi mereka adalah visi kreatif, misi mereka adalah untuk memartabatkan dan menjulang keampuhan seni fotografi agar berdiri sama tinggi dan duduknya sama rendah. Inilah misi kita. Inilah visi kita.

the-man-who-sold-the-world
The Man Who Sold The World

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 05 (Feb/Mac 2012)

fg-05-cover