Menghayati Alam Semulajadi Menerusi Fotografi

03/12/2016 | miza

Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

Canon EOS 1D Mark IV, EF17-40mm, F8, ISO100, 1/15sec. Gabungan subjek bercirikan organik merupakan perencah asas kepada pengadunan gambar alam semulajadi yang sentiasa berbeza walaupun lokasi yang sama dirakam secara berulang kali.
1
Canon EOS 1D Mark IV, EF70-300mm F5.6L, ISO100, 1/125, F5.6 Taman-taman alam semulajadi seperti Taman Rama-rama, Taman Burung atau Zoo boleh djadikan sebagai lokasi latihan untuk memantapkan penguasaan jurugambar memahami karekteristik hidupan liar dengan cara yang lebih mudah, cepat dan ekonomikal

Malaysia kaya dengan khazanah alam seperti flora dan fauna yang terdiri daripada pelbagai spesis dan bentuk tumbuhan yang unik. Keindahan alam semulajadi seringkali mendapat perhatian pelbagai peringkat masyarakat kerana lokasi-lokasi tempatan yang kaya dengan keindahan alam semulajadinya dan berupaya menarik perhatian ramai orang untuk mengunjungi serta menyaksikan sendiri keindahan yang dimaksudkan. Bagi kebanyakan orang, keindahan alam semulajadi biasanya dihayati dan diterjemah secara berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain. Jurugambar tentunya akan mengabadikan keindahan alam dengan menggunakan medium fotografi sebagai alat untuk merakamkan keindahan-keindahan tersebut. Dewasa ini sejajar dengan perkembangan teknologi pengimejan digital yang semakin popular maka sebahagian besar pecinta alam semulajadi memilih untuk menggunakan medium fotografi digital sebagai pilihan utama mereka merakam objek-objek yang berasaskan alam semulajadi seperti flora dan fauna. Jurugambar alam semulajadi akan mudah terpegun apabila melihat melihat keindahan bunga-bungaan yang berkembang mekar di taman, keunikan spesis burung hutan hujan tropika yang berwarna-warni, keunikaan bentuk hidupan liar yang bebas di sekitar taman-taman awam atau keunikan haiwan yang terdapat di Zoo dan Taman Negara. Namum begitu keindahan tersebut perlu dirakam supaya ia dapat dihayati dan dikongsi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan sama ada yang ada berhampiran atau pun mereka yang berjauhan dengan kita. Perkembangan teknologi yang mantap membolehkan gambar-gambar yang dirakam dimuat-turun ke dalam sesawang web yang boleh dilihat dan diakses oleh sesiapa sahaja yang memiliki alamat URL tersebut tanpa mengambil kira jarak dan lokasi asal gambar dirakam.

Canon EOS 1D Mark IV, EF17-40mm, F11, ISO100, 1/15sec. Golden Light adalah keadaan cahaya yang berlaku dalam masa yang singkat. Pada ketika ini, cahaya daripada sinaran matahari memberikan kesan warna yang vibrant yang berupaya menimbulkan mood atau suasana yang sukar diceritakan tetapi hanya dapat dirasakan jika kita berada di lokasi sebenar. Masalahnya, Golden Light hanya berlaku seketika sahaja (antara 2-3 minit) dan jurugambar perlu bersedia menantikaan saat-saat yang amat berharga ini

Syarat utama untuk menjadi seorang jurugambar alam semulajadi ialah perasaan cinta terhadap keindahan alam yang ada di sekilingnya. Hanya dengan rasa cinta yang mendalam terhadap keindahan alam semulajadi maka rakaman gambar akan dilakukan dengan cara yang lebih berseni, unik dan imaginatif. Ini kerana, untuk merakamkan gambar alam semulajadi yang berkualiti, seseorang jurugambar mestilah bersedia mengorbankan masa yang maksimum untuk mendapatkan imej alam semulajadi yang terbaik daripada segi subjek, cahaya dan pendekatan sudut pandangan yang luar biasa. Contohnya untuk menghasilkan gambar pemandangan alam semulajadi yang baik maka jurugambar mestilah bersedia menunggu waktu yang sesuai supaya cahaya yang terbaik menyinari lokasi kawasan yang hendak dirakam. Cahaya ini biasanya dirujuk sebagai ‘the golden lights’ kerana pada ketika inilah cahaya yang menyinari permukaan objek sesuai untuk rakaman pemandangan alam semulajadi. Golden light berlaku pada waktu awal pagi sekitar dua atau tiga minit iaitu sekitar jam 7:00 pagi hingga 7:20 pagi (bergantung pada lokasi) dan untuk cahaya petang waktu yang terbaik adalah antara jam 7:15 petang hingga 7:20 malam. Dalam hal ini pelbagai kebarangkalian seperti keadaan cuaca yang tidak menentu mungkin akan mempengaruhi kualiti cahaya yang bakal diperoleh. Sebaliknya, jika cuaca yang terang berubah menjadi mendung maka sesi rakaman terpaksa ditangguhkan kepada hari yang berikutnya. Faktor inilah yang sering mencabar kesabaran jurugambar kerana terpaksa meluangkan masa yang lebih semata-mata hanya untuk mendapatkan sekeping gambar foto yang terbaik daripada segi pencahayaan dan aspek-aspek lain. Inilah antara persediaan yang mesti ada dan harus dihadapi mereka yang berkecenderungan untuk menjadikan alam semulajadi subjek utama mereka. Dalam erti kata lain, jurugambar hanyalah bertindak sebagai perancang semata-mata tetapi faktor-faktor lain di luar kawalan sebenarnya menyumbang kepada keberhasilan penghasilan rakaman gambar foto alam semulajadi yang berkualiti tinggi. Untuk mendapatkan imej yang terbaik, jurugambar alam semulajadi mestilah bersedia untuk berulang-alik ke lokasi yang sama sekurang-kurangnya lebih 10 kali atau lebih hanya untuk mendapatkan sekeping imej yang benar-benar dianggap karya seni yang terbaik. Cabaran utama jurugambar alam semulajadi ialah untuk mendapatkan pencahayaan yang terbaik supaya karekteristik subjek yang dirakam bukan sahaja dapat dikekalkan malah ia juga berupaya menimbulkan mood yang meninggalkan kesan mendalam kepada jurugambar itu sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang melihat gambar tersebut.

Canon EOS 5D Mark II, EF17-40mm, F11, ISO100, 1/250sec. Tasik merupakan salah satu sumber utama untuk jurugambar mendapatkan subjek-subjek bunga-bungaan seperti bunga kiambang dan bunga-bunga yang lain. Jurugambar perlu sentiasa peka kepada persekitaran untuk melihat dan kemudiannya memilih subjek yang boleh dijadikan bahan dalam karya-karyanya

Ramai yang berpandangan sinis berpendapat bahawa bidang seni foto ini boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang memiliki kamera terutamanya kamera digital model professional.

6
Canon EOS 1D Mark IV, EF85mm F1.2L, F11, ISO100, 1/200sec. Kesan bayang hasil daripada pembalikan juga jika digunakan secara yang terbaik berupaya mewujudkan kesan keseimbangan pada keseluruhan komposisi dalam sesebuah gambar.

Namun begitu setiap bidang seni hanya boleh dikuasai dengan mantap apabila seseorang itu telah melalui proses pemantapan yang pada kebiasaanya memerlukan satu jangka waktu yang agak panjang kerana karya seni yang baik hanyalah boleh dihasilkan jika semua kesedaran elemen-elemen seni reka diaplikasikan secara seamless atau tersusun dalam setiap imej yang dihasilkan. Jurugambar yang memahami aspek-aspek teknikal dan nilai-nilai estetika akan membayangkan gambaran awal terlebih dahulu sebelum merakam sesuatu subjek. Faktor-faktor seperti pencahayaan, komposisi, penegasan, nilai kontra dan seumpamanya akan diberikan penilaian wajar sebelum memutuskan untuk sesebuah subjek dirakam. Hal ini berbeza di kalangan calon jurugambar ataupun peminat fotografi yang masih baru dan kurang memiliki pendidikan asas seni kerana mereka tidak berupaya memilih dan mengenal pasti elemen-elemen estetika yang wujud dalam subjek yang bakal dirakamkan. Sehubungan dengan ini imej foto alam semulajadi yang dihasilkan oleh mereka menjadi hambar, datar dan tidak menarik. Ini bertentangan dengan sifat seni itu sendiri yang indah dan berupaya menenangkan penonton yang melihat imej yang dirakamkan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 03 (Okt/Nov 2011)

fg_03_cover_o